Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 20 april 2001

Anwar tidak rela mati dalam buangan

KUALA LUMPUR 19 April - Presiden Parti Keadilan Nasional, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail hari ini berkata, suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim `rela mati di Malaysia daripada mati dalam buangan'.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menolak dakwaan pihak tertentu bahawa tujuan Anwar meminta dibedah di luar negara adalah bertujuan untuk mendapatkan perlindungan politik.

Dr. Wan Azizah turut menolak kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng yang mempertikaikan kewibawaan pakar bedah Jerman, Dr. Thomas Hoogland sebagai tidak mempunyai pengalaman.

Dr. Hoogland, ujar beliau, adalah pakar bedah yang terkenal dan mustahil bagi Menteri Kesihatan mendakwa tidak menemui tulisan-tulisan beliau dalam jurnal kesihatan antarabangsa.

``Apa yang susah sangat kerana artikel Dr. Hoogland boleh didapati dalam Internet.

``Bolehkah Menteri Kesihatan memberitahu berapakah tulisan-tulisan pakar-pakar bedah tempatan di dalam jurnal tersebut?,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2000 bagi Kementerian Kesihatan pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Kesihatan memberitahu Dewan Rakyat bahawa Dr. Hoogland yang diminta oleh keluarga Anwar untuk membedahnya hanya melakukan pembedahan endoskopik sebanyak 30 hingga 40 kali dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Menurut Chua, hasil penyelidikan pegawainya juga tidak menemui sebarang esei atau artikel Dr. Hoogland dalam jurnal antarabangsa dalam tempoh lima tahun lalu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum