Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 21 april 2001

Badrulamin ditahan bawah ISA

KANGAR 20 April - Seorang lagi aktivis reformasi, Badrulamin Bahron ditahan polis di bawah Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 di rumahnya di Kepong, Selangor, pada pukul 1.30 pagi ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai.

Beliau berkata, penahanan Badrulamin, 40, merupakan sambungan dari siri tangkapan tujuh aktivis reformasi pada 10 dan 11 April lalu.

Sebelum ini, polis telah memberkas tujuh aktivis reformasi iaitu Ketua Pemuda Parti Keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Noor, Naib Presiden Keadilan, Chua Tian Chang (atau Tian Chua), Hishamuddin Rais, Saari Sungid, N.Gobala Krishnan, Raja Petra Raja Kamarudin dan Abdul Ghani Haron.

Menurutnya, polis berkemungkinan akan menahan beberapa orang lagi yang dikehendaki selepas ini berhubung dengan kegiatan demonstrasi jalanan serta lain-lain kesalahan yang menyalahi undang-undang.

``Saya suka maklumkan bahawa ia (penahanan Badrul) bukanlah menandakan bermulanya satu siri tangkapan yang baru. Ini adalah sambungan tangkapan awal.

``Kita mempunyai beberapa lagi orang sasaran tetapi saya tidak mahu menyatakan secara tepat berapa orang,'' katanya pada sidang akhbar di Hotel Putra Palace di sini hari ini.

Norian, bagaimanapun, memberitahu alasan penahan Badrul juga sama seperti yang dijelaskan pada sidang akhbar yang awal semasa penahanan tujuh orang sebelum ini.

Pada sidang akhbar itu, beliau mendedahkan satu kumpulan sulit yang dianggotai oleh lebih 20 orang aktivis reformasi telah diwujudkan bagi mencetuskan demonstrasi jalanan besar-besaran bercorak militan menjelang pilihan raya umum 2004.

Kumpulan tersebut didapati telah mengadakan 12 perjumpaan sulit sejak 6 Januari tahun ini hingga 4 April lalu bagi merealisasikan perancangan mereka itu.

Norian berkata, tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan itu adalah sebahagian daripada keputusan yang dibuat oleh aktivis reformasi tersebut pada akhir tahun lalu.

Demonstrasi jalanan yang dipanggil `Black 14' yang diadakan pada Sabtu lalu juga merupakan perancangan terpenting aktivis reformasi tersebut.

Dalam pada itu, Norian menegaskan bahawa penahanan lapan aktivis reformasi itu di bawah ISA bukan mewakili parti-parti pembangkang sebaliknya sebagai individu yang didapati mempunyai hubungan dengan kegiatan demonstrasi jalanan dan kesalahan-kesalahan lain yang menyalahi undang-undang serta menjejaskan keselamatan.

``Tujuan penahanan (aktivis reformasi) antara lain untuk membuat siasatan lanjut terhadap maklumat yang sedia ada dan menentukan kesahihan maklumat keselamatan yang kita kumpul,'' ujarnya.

Selain itu, beliau menambah, siasatan ke atas tahanan ISA itu akan dijalankan selama 60 hari dan apabila siasatan selesai polis akan membentangkan kes setiap seorang untuk pertimbangan Kementerian Dalam Negeri.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum