Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 21 april 2001

Kerajaan tetap tidak benarkan Anwar dibedah di luar negara

JASIN 20 April - Kerajaan tetap dengan pendirian tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara bagi menjalani pembedahan tulang belakang.

Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng menegaskan, pembedahan itu tidak perlu dilakukan di luar negara kerana pakar-pakar perubatan tempatan telah membuktikan kemampuan melakukan pembedahan yang lebih besar.

``Kenapa nak terbang ke Jerman sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan saya menjalani pembedahan yang lebih besar di sini. Kita bagi kumpulan (pakar) terbaik merawat beliau (Anwar).

``Kalau Anwar tak mahu buat, kita tak boleh lakukan apa-apa tetapi saya dah bagi jaminan kita akan beri rawatan sebaik- baiknya kepada beliau,'' katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Selandar, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, pakar bedah tulang belakang dari Jerman, Dr. Thomas Hoogland yang diminta keluarga Anwar untuk membedahnya, juga boleh melakukannya di sini kerana negara mendapat pengiktirafan piagam emas antarabangsa bagi pembedahan mikroskopik desektomi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Terserah kepada pihak Anwar untuk membawa pakar Jerman itu melakukan pembedahan di sini dan bukan di luar negara, tambahnya.

Selasa lalu, Chua memberitahu Dewan Rakyat bahawa Dr. Hoogland yang diminta oleh keluarga Anwar untuk membedahnya, hanya melakukan pembedahan endoskopik 40 kali dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Menurut Chua, penyelidikan pegawainya juga tidak menemui sebarang esei atau artikel Dr. Hoogland dalam jurnal antarabangsa dalam tempoh lima tahun lalu.

Presiden Parti Keadilan Nasional yang juga isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dalam kenyataannya semalam menolak kenyataan Chua yang mempertikaikan kewibawaan Dr. Hoogland itu.

Dr. Hoogland, ujar Dr. Wan Azizah, adalah pakar bedah yang terkenal dan mustahil tulisan-tulisan beliau sukar ditemui dalam jurnal kesihatan antarabangsa.

Pada sidang akhbar tersebut, Chua turut melahirkan rasa kesalnya terhadap kenyataan Dr. Wan Azizah yang mendakwa tidak mempercayainya selaku Menteri Kesihatan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum