Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 22 april 2001

PM: Terlalu kaya dilarang -- Bertanding merebut jawatan-jawatan penting dalam UMNO

JITRA 21 April - Golongan terlalu kaya tidak akan dibenarkan bertanding merebut jawatan-jawatan penting dalam UMNO sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun Majlis Tertinggi (MT).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah itu bertujuan membendung amalan politik wang dalam parti.

Beliau menambah, langkah tersebut adalah untuk menentukan mereka yang terlalu kaya tidak menabur wang semata-mata untuk mendapat sokongan supaya dipilih menjadi pemimpin.

Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun menegaskan larangan berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat MT terlebih dulu.

``Ini merupakan cadangan dan kita akan mengkaji setakat mana ia boleh menghalang orang kaya daripada menjadi ketua.

``Kita juga akan mencadangkan dalam mesyuarat MT, mereka yang menjadi ketua di peringkat cawangan, bahagian dan MT tidak diberikan lagi kontrak oleh kerajaan,'' katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu, di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir lagi, kalau mereka yang terlalu kaya telah menjadi ketua bahagian dan ahli MT, mereka akan disenaraihitamkan daripada menerima kontrak kerajaan.

Sementara itu, katanya, setiap calon yang bertanding di cawangan, bahagian dan MT juga perlu mengisytiharkan harta mereka bagi menentukan tahap kekayaan masing-masing.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa cadangan tersebut bukan untuk menutup atau membunuh peluang orang Melayu untuk berniaga dan menjadi kaya.

``Kita tetap mahu melihat orang Melayu menjadi kaya dan maju agar taraf mereka seimbang dengan kaum-kaum lain,'' ujar Dr. Mahathir.

Katanya, mereka yang tidak mempunyai pengaruh dalam UMNO akan diberi layanan dan peluang supaya menjadi kaya-raya tetapi bukan menggunakan kekayaan itu untuk menjadi pemimpin dengan cara memberi rasuah.

Dr. Mahathir menarik perhatian, cadangan melarang orang kaya bertanding bukan juga untuk melihat UMNO dikuasai oleh pemimpin yang daif, tetapi langkah itu bertujuan untuk melihat parti milik orang Melayu bersih daripada gejala politik wang.

Beliau bimbang masalah rasuah di dalam parti akan menjadi budaya di kalangan orang Melayu dan jika ia berterusan, orang Melayu akan mudah dibeli sehingga mengtenepikan perjuangan parti.

Dr. Mahathir juga percaya, rakyat tidak mahu negara ini dipimpin oleh menteri, Menteri Besar dan ahli-ahli Exco yang membeli jawatan.

``Jika ini berlaku, negara akan menjadi korup dan orang ramai tidak lagi akan menyokong dan percaya kepada UMNO,'' ujarnya.

Dalam hal ini, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak agar pemimpin UMNO terdiri daripada mereka yang bersih dalam setiap aspek supaya rakyat terus memberi sokongan.

Beliau mengingatkan ahli UMNO agar tidak menerima sogokan walaupun sedikit kerana rasuah tetap salah sekalipun dalam jumlah yang kecil.

Menurutnya lagi, jika negara ini mempunyai rakyat dan kakitangan yang dididik menerima rasuah di peringkat awal, ia bermakna tiada lagi keadilan di Malaysia kerana semuanya boleh disogok.

Oleh: SOPHA SULAIMAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum