Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 22 april 2001

Sokong parti lawan tidak ditukar - PM

JITRA 21 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, guru-guru dan kakitangan kerajaan yang menjadi penyokong parti pembangkang tidak akan ditukarkan ke tempat lain kerana percaya pendirian mereka akhirnya akan berubah.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak berminat untuk menukarkan mereka kerana yakin penyebaran maklumat secara meluas tentang usaha yang dilakukan oleh kerajaan mampu menyedarkan golongan terbabit tentang hakikat sebenar.

Katanya, pendekatan menukarkan tempat kerja seseorang itu terutamanya ke kawasan pedalaman bukanlah satu cara yang berkesan sebaliknya memberi peluang kepada mereka menghasut pula orang lain di tempat baru.

``Mereka yang ditukar ke tempat lain akan marah dan biasanya tindakan mereka menjadi lebih agresif.

``Jad, mereka akan menghasut pula orang tempatan di tempat baru. Lama-kelamaan orang tempatan ini boleh termakan hasutan yang ditaburkan,'' katanya yang juga Presiden UMNO dalam ucapan penggulungan pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu, di sini hari ini.

Kata Dr. Mahathir lagi: ``Ramai juga yang sebelum ini menentang termasuk guru dan pensyarah-pensyarah, tetapi apabila dijelaskan tentang apa yang sedang kita buat, mereka akhirnya terima kembali UMNO. Sebab itu saya tidak berminat hantar mereka ini ke tempat lain.''

Dr. Mahathir berkata, ahli-ahli UMNO pula perlu turut berperanan memperbetulkan tanggapan salah yang dipropagandakan oleh pembangkang.

Oleh kerana berada di pihak yang benar, katanya, mereka harus berani mencabar pihak lawan sambil mengemukakan soalan-soalan yang konkrit.

``Kita tanya kepada dia, dia pergi ke sekolah atas usaha siapa? Dapat biasiswa kerana siapa? Macam-macam kita boleh tanya.''

Kata Perdana Menteri, jika itu dapat dilakukan maka bukanlah sesuatu yang mustahil mereka yang membenci UMNO dan kerajaan akan kembali semula ke pangkal jalan.

``Moga-moga mereka melihat cahaya dan tidak lagi terpengaruh dengan pendapat-pendapat yang disebarkan oleh pembangkang,'' tegasnya.

Dalam ucapan yang sama, Dr. Mahathir turut mengingatkan ahli-ahli UMNO agar tidak lagi menghantar anak-anak mereka ke taman didikan kanak-kanak yang dikelolakan oleh Pas.

Ini kerana katanya, apa yang diajar di taman bimbingan tersebut bukannya tentang mendalami pengetahuan agama tetapi menjurus kepada perjuangan serta kepentingan parti itu semata-mata.

Oleh: SITI MARIAM MD. ZAIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum