Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 22 april 2001

MT cari cara baru tarik profesional sertai UMNO

JITRA 21 April - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Majlis Tertinggi akan mencari cara-cara baru agar ahli-ahli baru daripada kalangan profesional boleh menyertai UMNO sekiranya permohonan mereka ditolak oleh cawangan dan bahagian.

Katanya, UMNO mahu memberi peluang kepada semua orang Melayu termasuk mereka yang berkelulusan tinggi berpeluang menjadi pemimpin.

Beliau mendedahkan terdapat cawangan dan bahagian yang menolak kemasukan ahli baru kerana bimbang ketua bahagian atau cawangan akan hilang jawatan kerana ahli baru itu akan menjadi lebih popular.

``Perkara ini berlaku di cawangan-cawangan dan bahagian kerana ramai ketua yang tak rela memberi tempat kepada mereka yang berkelulusan tinggi,'' kata Dr. Mahathir semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Kubang Pasu hari ini.

Dr. Mahathir berkata, mereka yang enggan menerima ahli baru ini akan menyebabkan UMNO tidak mempunyai ramai cerdik pandai apabila pemimpin sekarang tiada lagi.

``Mereka yang menghalang kemasukan ahli baru itu juga bimbang tidak akan dipilih menjadi calon bila pilihan raya kelak,'' ujarnya.

Dalam hal ini, Dr. Mahathir mengingatkan bahawa kerajaan rela memberi peluang kepada bukan ahli UMNO untuk memegang jawatan di dalam kabinet.

``Ramai yang mengkritik saya kerana melantik menteri daripada kalangan bukan pemimpin UMNO,'' katanya.

Menurut beliau, UMNO tidak boleh menjadi kelab eksklusif sehingga orang lain tidak boleh menjadi ahli dan berpeluang menjadi pemimpin.

Atas alasan itu juga katanya, beliau pilih bukan ahli UMNO memegang jawatan menteri dan sebagainya hingga mereka yang dipilih itu tidak pernah bermimpi untuk memegang jawatan tersebut.

Sementara itu, beliau juga menjelaskan bahawa tiada jaminan pemimpin UMNO akan dipilih menjadi calon dalam pilihan raya dan mereka yang tidak memegang jawatan di cawangan dan bahagian akan dipertimbangkan berdasarkan kebolehan mereka.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum