Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 22 april 2001

Ikrar Dr. M setia dengan UMNO walau tidak jadi PM

JITRA 21 April - Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau akan terus menjadi ahli UMNO dan menyokong pemimpin akan datang sekiranya tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Katanya, beliau juga bersedia untuk meletak jawatan pada bila-bila masa sekiranya parti tidak berkehendakkan kepimpinannya lagi.

Beliau membangkitkan perkara itu kerana mungkin ada pihak yang mempertikaikan kepimpinannya yang terlalu lama dalam parti dan kerajaan.

Dr. Mahathir menjelaskan, walaupun tidak menjadi Perdana Menteri, beliau tidak akan lupa jasa-jasa UMNO yang terlalu banyak dan akan menyokong pemimpin akan datang.

Beliau yang juga Presiden UMNO menyatakan demikian semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Kubang Pasu di Dewan Jitra di sini hari ini.

Dr. Mahathir turut membidas pemimpin yang tidak terpilih bertanding dalam pilihan raya kerana sanggup menggagalkan kemenangan calon baru yang dipilih oleh parti dengan menyokong pihak pembangkang.

Perdana Menteri menyifatkan orang tersebut sebagai mereka yang tidak tahu mengenang budi dan tidak bersyukur kerana mereka dulu pun menang kerana disokong oleh orang lain.

Sementara itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan mesyuarat berkenaan, Dr. Mahathir meminta semua ahli UMNO memujuk anak-anak mereka yang layak menyertai Puteri UMNO agar menjadi ahli dengan segera kerana ia dapat membantu merealisasikan matlamat perjuangan parti itu.

Katanya, penyertaan golongan muda di dalam parti Melayu itu penting memandangkan mereka adalah penyambung kepimpinan masa hadapan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum