Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 24 april 2001

Calon kaya perlu isytihar harta - PM

KUALA LUMPUR 23 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, ahli-ahli UMNO yang dikatakan kaya perlu mengisytiharkan harta terlebih dahulu sebelum menawarkan diri bertanding jawatan-jawatan penting dalam parti.

Menurut Presiden UMNO, mereka perlu berbuat demikian sebagaimana juga menteri-menteri kabinet.

``Tetapi ini hanya pendapat saya, belum lagi dipersetujui oleh Majlis Tertinggi (MT). Fasal apa, dia (ahli UMNO yang kaya) bertanding tiba-tiba duit dia merosot, fasal apa?'' Katanya selepas membentangkan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas lanjut pandangannya kelmarin bahawa golongan terlalu kaya tidak akan dibenarkan bertanding merebut jawatan-jawatan penting dalam UMNO sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun MT.

Kata Dr. Mahathir, cadangan itu adalah pendapat beliau sendiri yang bertujuan membendung amalan politik wang dalam parti.

Beliau selanjutnya menjelaskan, pandangan itu bukan bermaksud melarang golongan kaya daripada menyertai UMNO tetapi hanyalah menghalang mereka daripada bertanding.

``Tak payahlah bertanding, tak payah jadi ketua bahagian, dan kita akan tentukan cara-cara orang yang betul-betul ikhlas hendak bertanding tidak tersekat kerana semata-mata mereka yang kaya,'' katanya.

Beliau menegaskan pandangannya itu tidak ditujukan kepada sesiapa yang kaya di dalam UMNO tetapi disentuh secara umum.

Mengenai pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) untuk tempoh 2001-2010 yang turut mengandungi RMK8, Perdana Menteri yakin rakyat akan menerimanya selagi tidak dihasut oleh pihak-pihak tertentu.

``Semua ini adalah untuk kebaikan rakyat tetapi akan ada orang yang melempar fitnah agar rakyat jangan terima ini. Ini semua cerita lama, bila kita nak buat sesuatu yang baik, datanglah orang untuk halang menimbulkan tentangan.

``Kerana hasutan ini banyak benda yang terbengkalai dan kita tidak boleh buat, kadang-kadang sengaja hasut rakyat minta jangan pindah dan macam-macam lagi,'' katanya.

Justeru kerajaan terpaksa menjelajah seluruh negara untuk memberi penerangan semula kepada rakyat agar mereka tidak termakan hasutan pihak-pihak berkenaan.

Mengenai program penswastaan sepanjang RMK8 pula, Perdana Menteri berkata, ia akan diteruskan tetapi akan dijalankan dengan lebih teliti.

``Kita nak tahu kekukuhan kewangan mereka (syarikat yang akan menjalankan program penswastaan), latar belakang dan pengalaman mereka.

``Biasanya kita pilih yang sudah berpengalaman, baru kita beri. Kita tak beri kepada sesiapa sahaja, jadi semua ini kena ambil (kira), tetapi kalau ada kegawatan ekonomi kita tak boleh nak elak,''katanya.

Oleh: LOKMAN OTHMAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum