Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 24 april 2001

Dr. M jawab soalan hubungan dengan Daim


DAIM Zainuddin bersalaman dengan Presiden Tadbir Urus Korporat Malaysia (ICGM), Megat Najmuddin Megat Khas selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus Korporat di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 23 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini secara berseloroh dan sinis menjawab pertanyaan wartawan asing sama ada beliau mempunyai masalah dengan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

``Saya baru lepas bergaduh dengannya, sebab itu dia datang untuk mendengar suara saya sebentar tadi (ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8),'' katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh wartawan-wartawan asing di bangunan Parlimen di sini.

Sejak beberapa bulan lalu media asing memberi perhatian besar terhadap isu hubungan Dr. Mahathir dan Daim termasuk spekulasi kononnya Daim akan melepaskan jawatan kabinet kerana perselisihan dengan Perdana Menteri.

Minggu lalu, Dr. Mahathir sendiri menafikan bahawa Daim ada menyatakan niat untuk berhenti atau berselisih pendapat dengannya.

Dr. Mahathir selanjutnya menjelaskan Daim hadir di Dewan Rakyat hari ini adalah untuk mendengar ucapannya membentangkan RMK-8.

Katanya, walaupun Daim sedang bercuti dua bulan, beliau seperti orang lain yang mahu mendengar ucapannya.

``Saya tidak tahu kenapa (kehadiran Daim), dia sedang bercuti, tetapi dia nak dengar ucapan, macam orang lain jugalah,'' katanya.

Semasa ditanya apakah benar desas-desus kononnya bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah akan kembali ke dalam kabinet, Dr. Mahathir berkata: ``Tak tahulah, saya tak pernah dengar. Inilah baru saya dengar, (khabar) angin mana, anda punyakah?''

Sementara itu, Daim ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen mengesahkan beliau sihat dan mengambil cuti dua bulan untuk berehat.

``Saya sihat, Alhamdulillah. Saya mahu berehat,'' katanya ketika ditanya mengenai kesihatannya dan tujuan beliau bercuti selama dua bulan.

Daim yang juga ahli Parlimen Merbok, memasuki Dewan Rakyat pada jam 11.05 pagi dengan diiringi oleh tepukan tangan dan meja oleh barisan penyokong-penyokong kerajaan.

Ketika diajukan pertanyaan lanjut mengenai tempoh cuti yang disifatkan terlalu lama, beliau membalas dengan pertanyaan: ``Kenapa, adakah saya tak berhak untuk mengambil cuti?''

Menjawab soalan mengenai kewajarannya bercuti dalam keadaan ekonomi semasa, Daim menjelaskan: ``Ia hanyalah kelembapan.''

Mengenai spekulasi bahawa beliau sedang bersedia untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan pula, Daim berkata: ``Itu awak yang kata.''

Daim turut menyatakan tidak akan ke luar negara sepanjang tempoh percutiannya kecuali untuk menghadiri mesyuarat Bank Pembangunan Asia (ADB) di Honolulu, Hawaii pada bulan depan.

Percutian Daim menjadi isu selepas pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Pembangkang Lim Kit Siang, mengkritiknya dengan menyatakan masa percutian itu tidak sesuai dengan keadaan ekonomi Malaysia yang berhadapan dengan kemelesetan berikutan jangkaan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Daim dilaporkan tetap menjalankan tugas-tugasnya setiap hari di pejabat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum