Make your own free website on Tripod.com
Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 24 april 2001

Adakan garis panduan kriteria kekayaan

JOHOR BAHRU 23 April - Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu membincangkan dengan teliti larangan golongan yang terlalu kaya daripada bertanding merebut jawatan dalam parti supaya satu garis panduan mengenainya dapat disediakan.

Setiausaha Biro Agama UMNO Johor, Mahmud Mohamad berpendapat bahawa cadangan itu baik bagi membendung gejala politik wang, tetapi kaedahnya perlu dicari.

Selain itu, menurut beliau, cadangan tersebut juga hendaklah dikaji sedalam-dalamnya oleh MT supaya apa yang dimaksudkan dengan golongan terlalu kaya itu dapat ditentukan.

``Sama ada kekayaan itu diukur dari segi pendapatan, harta atau terlalu banyak jawatan sebagai pengarah syarikat,'' katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad supaya golongan terlalu kaya tidak dibenarkan bertanding merebut jawatan penting dalam UMNO.

Mengulas lanjut, Mahmud berkata, MT juga perlu berhati-hati dalam mengenal pasti kriteria kekayaan itu bagi mengelak timbulnya rasa kurang senang di kalangan ahli.

Menurut beliau, jika tidak ada garis panduan dikhuatiri larangan itu hanya bersifat sementara sahaja atau mereka yang terlibat akan menggunakan kaedah lain.

``Ini termasuk memperalatkan orang lain bagi mencapai kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu,'' katanya.

Beliau juga bimbang bila gejala itu dibiarkan pemimpin yang memimpin parti dan negara tidak lagi mempunyai kualiti seperti yang diharapkan.

Pada masa yang sama Mahmud turut mencadangkan supaya pemimpin-pemimpin terutama barisan pelapis dapat mengikuti kursus-kursus kepimpinan yang memberi penekanan kepada perjuangan dan jati diri.

``Ini kerana yang penting ialah parti harus membina pemimpin UMNO yang ada pegangan termasuk jati diri Melayu berteraskan Islam,'' ujar beliau.

Selain itu, katanya, pemimpin-pemimpin pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi boleh diterapkan sebagai pemimpin pelapis parti kerana mereka ini telah terdedah kepada budaya kepimpinan yang berdasarkan pengorbanan dan keikhlasan.

Oleh: AZNAN BAKAR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum