Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 24 april 2001

Hormati pembangkang dapat atasi perseteruan

KUALA LUMPUR 23 April - Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Dr. Chandra Muzaffar yakin, politik perseteruan akan dapat diatasi jika parti memerintah menghormati parti-parti pembangkang dan perbezaan pendapat dalam masyarakat.

Beliau berkata, sikap permuafakatan akan dapat diwujudkan sekiranya parti memerintah mengelakkan konfrantasi dengan parti-parti pembangkang.

``Politik yang bersifat hancur-menghancur hanya dapat diatasi sekiranya pemerintah membuktikan mereka benar-benar menghormati pembangkang.

``Jika pemerintah menurunkan suhu politik konfrontasi, kemungkinan besar pembangkang menunjukkan respons yang sama,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin yang meminta parti-parti pembangkang lain mencontohi Dr. Chandra yang menolak konsep politik perseteruan.

Menurut Zainuddin, penjelasan Dr. Chandra itu tepat pada masanya kerana penjelasan tersebut dapat menamatkan satu keadaan keselamatan yang tidak pasti.

Ahad lalu, dalam ruangan wawancara Mingguan Malaysia, Chandra menolak konsep politik perseteruan dan beliau sendiri menerima gagasan Wawasan 2020 dan pencapaian Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga menunjukkan kefahamannya tentang bahaya politik jalanan di negara ini kerana Malaysia mempunyai latar belakang sejarah berdarah militan komunis.

Mengulas lanjut, Dr. Chandra berkata, sebagai langkah untuk mewujudkan permuafakatan, parti memerintah harus menerima cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya perhimpunan secara aman dibenarkan.

Beliau menjelaskan, perhimpunan secara aman merupakan hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

``Malangnya, warga yang ingin menikmati hak ini kerap kali menghadapi sekatan yang tidak adil.

``Sekiranya hak berhimpun secara aman menjadi amalan biasa, tiada siapa dalam masyarakat kita yang akan cenderung pada demonstrasi jalanan sebagai pendekatan untuk menggulingkan kerajaan,'' tegasnya.

Dr. Chandra turut menentang penguasaan media oleh parti memerintah.

``Saya sedar bahawa penguasaan pemerintah terhadap media telah lama berlaku, sejak merdeka,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu majlis media berautonomi dibentuk supaya usaha untuk memastikan media tidak melanggar etika dan tidak dipengaruhi oleh pertimbangan-pertimbangan politik.

Beliau juga mencadangkan penubuhan satu suruhanjaya bebas untuk menyiasat fenomena kronisme yang didakwa telah berlaku sejak 20 tahun lalu.

``Suruhanjaya yang bebas boleh membuktikan siapakah yang mengamalkan kronisme dan apakah kesannya terhadap masyarakat kita,'' tambahnya.

Oleh: YUSRI SAHAT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum