Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 24 april 2001

Amanat Hadi sudah lapuk - Nik Aziz

KOTA BHARU 23 April - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa penyokong-penyokong parti itu dan beliau sendiri tidak lagi mempedulikan `Amanat Haji Hadi' dengan menyifatkannya sebagai sudah lapuk.

Nik Aziz turut menyifatkan amanat tersebut dikeluarkan oleh Abdul Hadi Awang, yang kini Menteri Besar Terengganu, ketika beliau baru hendak belajar mengenali dunia politik.

``Sekarang ini orang dah tak cakap dan tak ambil tahu fasal Amanat Haji Hadi. Orang-orang Pas termasuk saya sendiri sudah tak cakap lagi sebab semua orang sudah tahu amanat itu dibuat masa zaman dahulu.

``Zaman orang itu (Abdul Hadi) baru nak kenal alif, ba, ta dalam politik tapi sekarang orang Pas sudah pandai membaca sendiri alif, ba ta, jadi tak payah baca amanat dia lagi,'' katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai arahan Majlis Fatwa Kebangsaan agar semua pihak berkuasa agama negeri termasuk Kelantan dan Terengganu mewartakan keputusan yang dibuat pada 3 Disember 1984 bahawa Amanat Haji Hadi bercanggah dengan Islam.

Kesan daripada amanat itu amat mendalam sekali di kalangan pengikut bawahan Pas. Dalam ruangan Forum Utusan hari ini seorang penulis dari Baling meluahkan perasaannya mengenai kejadian yang menimpa sanak-saudaranya gara-gara Amanat Haji Hadi itu.

Penulis yang menggelarkan dirinya sebagai B.A.S Baling itu menceritakan bagaimana ibunya disingkirkan oleh keluarganya kerana berlainan parti politik.

``Disebabkan terlalu taksub dengan Pas, mereka (keluarga ibunya) sanggup menyakiti hati ibu saya dengan kata-kata yang amat memilukan. Antara cakap mereka ialah amal ibadat ibu saya tidak diterima oleh Allah seperti sembahyang, berpuasa dan ibadah haji. Mereka tidak akan berjemaah dengan ayah saya selagi dia tidak masuk Pas,'' katanya.

Menurut Nik Aziz, keadaan akan tetap sama jika amanat itu diwartakan atau sebaliknya.

``Warta tak warta serupa aje sebab orang-orang Pas sudah meningkat fikirannya dan kita memang sudah tidak peduli pada Amanat Haji Hadi yang ada bangkitkan isu kafir mengkafir,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, terpulanglah kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk mewartakan arahan tersebut.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri tidak terbabit dalam urusan tersebut kerana ia terletak di bawah pengendalian dan bidang kuasa MAIK.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mahu pihak akhbar berlaku adil dengan tidak hanya menyiarkan fatwa berhubung arahan MAIK tentang penyelewengan pihak tertentu yang mengkafirkan ahli-ahli UMNO.

Sebaliknya beliau mahu akhbar turut menyiarkan fatwa yang terkandung di dalam kitab Mastika Hadis yang ditulis oleh Allahyarham Datuk Mufti Mohamad Nor terbitan Jabatan Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri berhubung isu dakwaan kononnya hukum Islam tidak layak digunapakai pada zaman moden.

``Akhbar perlu bersikap adil dan mendedahkan sekali fatwa berhubung orang yang mendakwa al-Quran dan hukum Islam sesuai di zaman unta dan padang pasir,'' katanya.

Oleh: NORLIZA ABDUL RAHMAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum