Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 25 april 2001

Penahanan pemimpin reformasi sah, kata Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR 25 April - Tiga pemimpin Parti Keadilan Nasional dan dua aktivis reformasi hari ini gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan pembebasan daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan harbeas corpus mereka dan memutuskan bahawa penahanan mereka adalah sah.

Semasa menolak permohonan mereka, Hakim Datuk S. Augustine Paul memutuskan bahawa penahanan Ketua Pemuda Keadilan, Mohamad Ezam Mohamed Noor, 34; Naib Presiden Keadilan, Chua Tian Chang @ Tian Chua, 37; anggota majlis tertinggi Keadilan, Saari Sungip, 43; pengarah Kempen Bebaskan Anwar, Raja Petra Raja Kamaruddin, 49; dan aktivis Hishammuddin Rais, 50, adalah sah.

Kelima-lima mereka diwakili oleh peguam R. Sivarasa, Zainur Zakaria dan Kamarul Hisham Kamaruddin, manakala Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, yang mengetuai pasukan pendakwaan, mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, yang dinamakan sebagai responden.

Paul yang mengambil masa sejam untuk membacakan draf penghakimannya setebal 54 muka surat, berkata, beliau berpuas hati bahawa tahanan, melalui peguam-peguam mereka, gagal membuktikan bahawa Norian telah berniat jahat semasa menangkap dan menahan mereka.

Hakim itu berkata beliau bersetuju dengan penghujahan Abdul Gani bahawa Norian mesti dipuji kerana menerangkan sebahagian daripada sebab penahanan mereka dalam kenyataan medianya memandangkan beliau tidak perlu berbuat demikian.

"Ternyata beliau (Norian) berbuat demikian untuk kepentingan awam bagi menjelaskan dalam sebanyak perkataan yang boleh dilakukannya untuk menerangkan sebab penahanan itu berikutan bantahan menggunakan ISA oleh sesetengah kumpulan dan keperluannya pada masa itu," kata Paul.

Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan untuk membebaskan suaminya, isteri Mohamed Ezam, Bahirah Tajul Aris mendakwa antara lain, penahanan mereka tidak sah, tidak rasional, berniat jahat dan bermotifkan politik.

Terdapat empat afidavit lain dengan alasan yang sama yang difailkan bagi mendapatkan pembebasan empat tahanan lain oleh isteri masing-masing.

Dalam afidavit jawapan, Norian mengakui bahawa beliau memberitahu sidang media pada 11 April bahawa polis telah menahan tujuh orang termasuk lima orang mengikut Seksyen 73 (1) ISA, 1960 kerana didakwa cuba menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi militan.

Beliau menggesa mahkamah supaya menolak permohonan bagi membebaskan kelima-lima mereka kerana penahanan mengikut peruntukan itu adalah berlandaskan undang-undang.

Norian juga menafikan bahawa penahanan itu berniat jahat dan bermotifkan politik dan menegaskan bahawa ia dibuat berikutan aktiviti mereka yang boleh mengancam keselamatan nasional. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum