Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 25 april 2001

Kenyataan bukti tindakan tak berlandas al-Quran

KUALA LUMPUR 24 April - Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyifatkan `Amanat Haji Hadi' sudah lapuk merupakan pengakuan terbuka bahawa tindakan Pas mengkafirkan UMNO selama ini tidak berlandaskan al-Quran dan sunah Rasul.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ini kerana jika amanat itu sudah lapuk, umat Islam tidak boleh menjadikannya panduan lagi berbanding al-Quran dan sunah yang kekal sepanjang zaman.

``Al-Quran dan sunah bersifat kekal bagi panduan umat Islam sehingga sepanjang zaman dan tidak lapuk,'' tegasnya.

Menurut Mustapa isu ini hidup setiap minit sepanjang 20 tahun lalu dan yang menanggung kesannya bukan pemimpin atau penyokong Pas tetapi orang Islam yang terkena `bahana' amanatnya.

Katanya, mereka yang menerima kesan ialah orang yang dipulaukan dan dikeji sebagai kafir, mereka yang diceraikan, yang terpaksa mengambil akad nikah dua kali, sembelihan tidak dimakan dan sebagainya.

Menurutnya, Pas kini mahu `cuci tangan' dan berusaha lari daripada memikul tanggungjawab.

``Soal mengkafirkan orang adalah perkara yang amat serius. Sesiapa juga yang membuat kenyataan ini mesti bertanggungjawab,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mustapa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nik Aziz semalam yang mendakwa beliau dan penyokong parti itu tidak lagi mempedulikan `Amanat Haji Hadi' dan menyifatkannya telah lapuk.

Mustapa menegaskan, amanat itu bercanggah dengan Islam seperti yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malah, katanya, ia mewujudkan keadaan benci membenci, pulau memulau dan persengketaan dalam masyarakat Islam.

Sementara itu, tokoh-tokoh agama mempertikaikan kenyataan Nik Aziz itu dan berpendapat beliau tidak wajar lepas tangan dalam menangani perkara membabitkan masalah akidah umat Islam negara ini.

Pengerusi Amal Islami Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim), Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, Pas harus bersikap telus menangani isu itu.

Menurutnya, pemimpin Pas harus mengamalkan sikap berani kerana benar dan mengaku kesilapan sekiranya terbukti salah.

Zainal Abidin menyeru Pas supaya merujuk kembali kepada al-Quran dan sunah untuk mencari penyelesaian.

``Al-Quran dan hadis Nabi telah menjelaskan kepada kita bahawa perkara yang paling mulia di sisi Allah ialah mengakui kesilapan.

Yang Dipertua Yadim, Datuk Nakhaie Ahmad turut mempertikaikan kewajaran Pas yang masih lagi mempertahankan Amanat Haji Hadi itu sedangkan pada masa yang sama masih menganggap amanat itu sudah lapuk.

Tambahnya, Nik Aziz sepatutnya menasihati Hadi supaya menarik balik amanatnya dan memberitahu pengikut Pas agar jangan lagi berpegang kepada amanat itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum