Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 25 april 2001

Pemimpin Pas perlu beri penjelasan - Pak Lah

KOTA BHARU 24 April - Pemimpin-pemimpin Pas perlu bertanggungjawab dengan memberi penjelasan kepada para penyokong mereka jika benar `Amanat Haji Hadi' tidak lagi dipedulikan dan sudah lapuk.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan ia tidak memberikan kesan tidak baik kepada masyarakat yang mungkin mempercayainya.

``Apa yang pasti kalau ada orang yang ikut amanat itu dan mempercayainya kerana menganggap itu sebagai fatwa, ini memberi kesan tidak baik dalam masyarakat,'' katanya.

Abdullah menegaskan bahawa para penyokong-penyokong Pas perlu diberitahu bahawa amanat tersebut tidak boleh dipakai.

``Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang berkenaan sama ada Hadi Awang sendiri atau Nik Aziz beritahu semua orang terutamanya pengikut Pas supaya jangan pakai amanat itu dan menjadi salah jika diamalkan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2001, di Dewan Majlis Perbandaran Kota Bharu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam bahawa penyokong parti itu tidak lagi mempedulikan `Amanat Haji Hadi' kerana sudah lapuk.

Abdullah yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang sebelum ini pernah mengatakan beliau tidak bertanggungjawab dan terpulang kepada ahli-ahli parti itu untuk membuat tafsiran.

Abdullah menegaskan, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa Amanat Haji Hadi terbukti terpesong.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum