Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 27 april 2001

Korporat: Mokhzani berundur -- Kecewa tohmahan yang memburukkan diri dan bapanya

KUALA LUMPUR 26 April - Datuk Mokhzani Mahathir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pantai Holdings Bhd. dan Tongkah Holdings Bhd. hari ini mengumumkan pengundurannya dari dunia korporat.

Keputusan ini dibuat kerana anak Perdana Menteri itu kecewa dengan tohmahan dari pihak tidak bertanggungjawab yang memburukkan nama beliau serta bapanya Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

"Dalam masa kebelakangan ini banyak tohmahan dan cerita-cerita yang karut yang menyangkutpautkan saya dengan projek-projek kerajaan atau projek gergasi yang memang tidak benar dan saya rasa ini adalah satu usaha yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya dan ayahanda saya," katanya kepada Bernama di pejabatnya, di sini hari ini.

Mokhzani berkata, penjualan keseluruhan pegangannya dalam syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) terutamanya Pantai Holdings dan Tongkah Holdings dibuat tanpa pengetahuan Dr. Mahathir yang juga Presiden UMNO.

"Saya tahu kalau saya cakap kepadanya, beliau akan kata `jangan undur.' Beliau kini di Dubai. Saya buat panggilan tapi tak sempat nak cakap. Saya hanya tinggalkan pesanan katakan saya nak undurkan diri dari Tongkah dan Pantai," katanya.

Mokhzani mempunyai 12.6 peratus kepentingan langsung dalam Tongkah Holdings dan 32.9 peratus dalam Pantai Holdings.

Pantai Holdings, yang terlibat dalan perniagaan penjagaan kesihatan menamatkan dagangan di BSKL hari ini lapan sen lebih tinggi kepada RM2.92 manakala Tongkah Holdings yang mempunyai perniagaan yang lebih pelbagai naik 1.5 sen kepada 55.5 sen.

Mokhzani, yang juga Penolong Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO, berkata, pengundurannya itu juga tiada kaitan langsung dengan cadangan Presiden UMNO untuk melarang golongan terlalu kaya daripada bertanding dalam UMNO.

"Ia tiada kaitan langsung dengan perkara itu. Orang hanya nampak aset tetapi tak nampak liabiliti," katanya.

Ditanya sama ada pengundurannya akan menamatkan tohmahan yang dilemparkan, beliau percaya ia tidak akan berhenti.

"Mereka akan mencari jalan untuk menyalahtafsirkan apa yang saya buat, walaupun kita telah membuktikan berkali-kali bahawa tohmahan mereka salah, mereka tetap akan mencari jalan untuk memburuk-burukkan saya dan ayahanda saya,'' jelasnya.

Bagaimanapun, Mokhzani yakin keputusannya mengundurkan diri mungkin akan menghentikan penganiayaan golongan yang tidak bertanggungjawab ke atas orang-orang yang rapat dengan beliau.

Sama ada pengundurannya akan diikuti oleh adik-beradiknya yang turut terlibat dalam dunia korporat, Mokhzani berkata:

``Saya rasa ini keputusan individu. Mungkin strategi saya dalam lima enam tahun ini saya tumpukan usaha dalam perniagaan dalam Malaysia dan yang lain itu mungkin dah langkah ke negeri lain dan tidak bergantung pada bisnes di Malaysia,'' katanya.

Mokhzani juga berkata, keputusannya menarik diri daripada dunia korporat dengan menjual semua kepentingan langsung dan tidak langsung dalam syarikat tersenarai di BSKL bukanlah kerana merajuk.

``Saya tak merajuk. Siapalah nak merajuk. Nak kata merajuk daripada dunia korporat itu tidaklah tepat,'' katanya.

Jelasnya, sejak diambil alih pada tahun 1996 Pantai Holdings telah menunjukkan prestasi yang baik cuma prestasi Tongkah Holdings sejak beberapa tahun kebelakangan ini kurang baik sehingga terpaksa membawa masuk pemegang saham baru.

Ditanya sama ada pengunduran beliau daripada dunia korporat itu menunjukkan trend tohmahan dan fitnah yang semakin hebat, katanya, beliau tidak tahu sama ada ia adalah suatu trend tetapi sesetengah orang dengan sengaja enggan melihat fakta sebenar.

``Sama ada ia akan jadi trend saya tak tahu, memang ada yang gemar masuk dalam dunia korporat dan ada yang gemar dalam dunia politik, tapi ada dapat nasihat daripada pucuk pimpinan, kedua-dua tidak semestinya bergabung,'' katanya.

Katanya, tohmahan terbaru melibatkan khabar angin menamakan beliau sebagai pemegang saham terbesar dalam Kamunting Berhad dan kononnya syarikat itu telah mendapat tender National Exhibition and Convention Centre.

"Sebenarnya yang saya dapat tahu tender dan projek belum diberikan lagi tapi ini dah heboh dalam Parlimen oleh pembangkang," katanya.

Mokhzani berkata, kepentingannya dalam Kamunting adalah secara tidak langsung menerusi penjual tanah dari syarikat bersekutu, Avenue Assets Bhd.

Mengenai rancangannya selepas ini, katanya, beliau mempunyai lebih masa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dan suami serta sebagai Penolong Bendahari Pemuda UMNO.

``Mingkin kita buat bisnes cara kecil-kecil sahajalah,'' katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum