Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 27 april 2001

Badaruddin aktivis ke-10 ditahan bawah ISA

KUALA LUMPUR 26 April - Seorang aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Badaruddin Ismail ditangkap mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Medan Selera Jalan Negara, Taman Melawati di sini, hari ini.

Penangkapan ke atas Badaruddin itu menjadikan jumlah mereka yang ditangkap di bawah akta itu meningkat kepada 10 orang.

``Dia ditahan kira-kira pukul 8.50 pagi,'' menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Sebelum ini, polis telah menangkap sembilan orang aktivis reformasi yang kebanyakannya pemimpin Parti Keadilan Nasional (Keadilan).

Antaranya ialah Tian Chua, Ezam Mohd. Nor, Gobalakrishnan, Dr. Badrul Amin Baharum dan Lokman Nor Adam.

Turut ditangkap ialah Saari Sungib, Hi-shamudin Rais dan Raja Petra Kamaruddin serta seorang aktivis reformasi Abdul Ghani Haroon.

Difahamkan inilah kali pertama aktivis Suaram ditahan di bawah ISA sejak penubuhannya pada tahun 1989.

Badaruddin atau dikenali sebagai Pak Din juga merupakan salah seorang penyumbang artikel dalam laman web proreformasi, Komentar.

Sementara itu, Setiausaha Agung Keadilan, Mohd. Anuar Tahir dalam kenyataannya mendakwa tangkapan terbaru itu menunjukkan polis sengaja melakukannya secara berterusan dan berperingkat-peringkat untuk mewujudkan suasana yang menakut-nakutkan orang ramai.

Beliau berkata, Keadilan membantah sekeras-kerasnya penangkapan Badaruddin hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda Keadilan, Mustaffa Kamil Ayub sekali lagi mendesak agar kesemua yang ditangkap di bawah ISA dibebaskan.

``Pergerakan Pemuda Keadilan menyeru agar kerajaan mengambil langkah bertenang dan tidak provokatif dalam mempertahankan keharmonian negara,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP, Teng Chang Khim pula melahirkan rasa kecewa dengan alasan penghakiman dalam kes permohonan habeas corpus untuk membebaskan lima tahanan ISA di Mahkamah Tinggi, semalam.

Selain itu, beliau juga kesal kerana hakim tidak mengambil kira pandangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ketika membuat keputusannya.

Oleh: SYAHRIL A. KADIR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum