Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 27 april 2001

Saya bukan diktator - Mahathir

DUBAI 26 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau bukan diktator kerana Malaysia adalah negara yang ditadbir melalui kedaulatan undang-undang.

Katanya, jika beliau seorang diktator tentu beliau sentiasa dalam ketakutan dan tidak akan bebas pergi ke mana-mana sahaja seperti yang sering dilakukannya.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan seorang wartawan asing pada sidang akhbar selepas berucap di Forum Antarabangsa Amiriah di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada perkembangan politik di Malaysia sekarang, termasuk larangan ke atas demonstrasi jalanan menunjukkan bahawa beliau seorang diktator.

Dr. Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak bimbang terhadap demonstrasi untuk menjatuhkannya, tetapi demonstrasi perlu disekat kerana ia mencetuskan kekacauan, kerosakan dan kerugian harta benda banyak pihak.

Menurutnya, di Malaysia tiada siapa yang bebas daripada tindakan undang-undang termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tahanan politik amat tidak benar kerana beliau telah dihadapkan ke mahkamah kerana melakukan kesalahan jenayah.

``Beliau bukan tahanan politik kerana beliau didapati bersalah oleh mahkamah dalam perbicaraan yang mana beliau dibela oleh para peguam,'' jelasnya.

Bagaimanapun, kata Dr. Mahathir, mereka yang memusuhi beliau akan tetap menganggap Anwar sebagai tahanan politik.

Dr. Mahathir menegaskan, orang-orang asing tidak berhak campur tangan dalam soal ini kerana yang berhak menentukannya hanyalah rakyat Malaysia.

``Biarlah rakyat Malaysia yang membuat ketentuan dan mereka telah pun memberikan jawapan dengan terus memberikan kemenangan (kepada Barisan Nasional) dalam pilihan raya lalu,'' tegasnya.

Menjawab satu lagi soalan, Dr. Mahathir menegaskan bahawa demonstrasi bukanlah sebahagian daripada demokrasi jika ia bertujuan untuk menggulingkan kerajaan melalui kekerasan. - Utusan

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum