Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 27 april 2001

Dr. M sampaikan amanat kepada Pemuda UMNO 29 Mei

KUALA LUMPUR 26 April - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad akan menyampaikan amanatnya kepada Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 29 Mei ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, amanat tersebut akan menentukan hala tuju pergerakan itu yang kini dipimpin oleh 70 peratus muka-muka baru di peringkat bahagian.

Menurut beliau, amanat itu dijangka mengandungi harapan dan wawasannya terhadap perjuangan pergerakan itu bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar kepada bangsa Melayu.

``Ini akan membuka lembaran baru kepada anggota Pemuda terutama di kalangan pemimpin baru,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pergerakan itu yang berlangsung lebih dua jam di Bangunan UMNO di sini hari ini.

Hishammuddin seterusnya berkata, amanat Dr. Mahathir itu akan menyuntik semangat baru kepada anggota pergerakan itu untuk terus berusaha memajukan negara, bangsa dan agama tanpa kepentingan lain.

Mengulas mengenai pemilihan Ketua Pemuda di peringkat bahagian, beliau memberitahu, sebanyak 153 dari 165 bahagian telah menyelesaikan mesyuarat agung masing-masing.

Menurutnya, baki yang belum bermesyuarat dijangka selesai pada hujung minggu ini.

``Daripada jumlah 153 bahagian itu, sebanyak 102 bahagian diketuai oleh muka baru, manakala 51 bahagian lagi dipimpin oleh muka lama,'' jelasnya.

Dalam pada itu, tambahnya, seorang Ketua Pemuda negeri dan empat Exco telah tewas dalam pemilihan tersebut.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum