Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 27 april 2001

Usah terpengaruh buku politik

SUNGAI PETANI 26 April - Menteri Kewangan yang juga Bendahari UMNO, Tun Daim Zainuddin menasihatkan anggota UMNO supaya tidak mudah terpengaruh dengan buku politik mengenai individu tertentu yang banyak diterbitkan menjelang hampirnya Perhimpunan Agung UMNO Jun ini.

Beliau berharap anggota UMNO dapat menilai kelahiran buku-buku itu yang kebanyakannya bertujuan membuat keuntungan.

"Kita harap anggota UMNO akan berfikir betul-betul. Ini kerana kebanyakan buku-buku politik seperti itu adalah untuk cari pasaran. Waktu lain tak keluar, waktu ada pemilihan UMNO lagi banyak buku seumpama itu keluar," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas mengenai penerbitan banyak buku-buku politik menjelang Perhimpunan Agung UMNO.

Daim ditemui selepas majlis Jasamu Dikenang sempena ulang tahun ke-55 UMNO, anjuran UMNO Bahagian Merbok di sini hari ini.

Selain majlis berkenaan, Daim turut menghadiri majlis penyampaian bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Pinang, Sungai Lalang.

Pada sebelah petang, Daim merasmikan majlis penyerahan kunci Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar diikuti perasmian Mesyuarat Agung Persatuan-Persatuan Pembekal Makanan Bumiputera Zon Utara di Hotel Holiday Villa, Alor Setar.

Daim berkata, beliau tidak terkejut dengan kemunculan buku-buku seperti itu.

"Itu sudah jadi budaya orang Melayu, UMNO. Suka gosip, surat terbang. Jadi waktu itu (Perhimpunan Agung UMNO) jualan laris, penulis bermusim kekadang guna kesempatan," katanya.

Ditanya mengenai sebuah buku yang ditulis mengenai diri beliau, Daim berkata, beliau belum melihat buku itu dan beliau tidak berhasrat hendak membuat ulasan.

"Saya belum tengok buku itu. Saya tak ada komen. Tiada apa yang boleh dikatakan. Ini adalah sebuah negara bebas, mengamalkan kebebasan bersuara dan melahirkan pendapat. Siapa hendak tulis buku, dia boleh tulis, tapi kalau dia buat salah dari segi undang-undang ...itu lain kira.

"Tapi memang perkara biasa, ada golongan yang suka baca buku macam itu. Ini bukan perkara baru orang tulis macam-macam (mengenai saya). Bukan di sini sahaja, malahan dunia tulis macam-macam. Tidak ada kesan kepada saya," katanya.

Daim yang sedang bercuti dua bulan turut ditanya adakah beliau akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO itu, beliau menjawab: "Jikalau tidak melanjutkan cuti, Insyaallah saya akan hadir". - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum