Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 30 april 2001

Pendaftaran dan semakan daftar pemilih bermula Rabu ini

KUALA LUMPUR 30 April - Urusan pendaftaran dan semakan daftar pemilih bagi tahun ini akan dijalankan selama 30 hari mulai Rabu ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini berkata, semua warganegara yang berumur 21 tahun pada atau sebelum 1 Mei 2001 layak mendaftar sebagai pemilih.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, beliau menasihatkan orang ramai yang telah mendaftar supaya menyemak daftar pemilih untuk memastikan nama mereka disenaraikan dalam daftar pemilih 2000 yang disahkan pada 21 Disember tahun lalu.

Katanya, SPR akan membuka kaunter pendaftaran pada waktu pejabat di pejabat pilihan raya negeri, pejabat daerah, pejabat pos, balai raya, pusat rukun tetangga, kilang, pusat membeli-belah dan kaunter bergerak di pasar-pasar malam.

Abdul Rashid berkata, rakyat Malaysia yang belajar atau bekerja di luar negara boleh mendapatkan borang pendaftaran di pejabat perwakilan Malaysia di negara-negara di mana mereka berada.

Katanya, pemohon yang datang mendaftar atau memohon pertukaran alamat dikehendaki datang sendiri dengan membawa kad pengenalan kerana pendaftaran secara longgok atau tanpa persetujuan orang berkenaan tidak akan dilayani.

Beliau berkata orang ramai boleh juga membuat semakan melalui talian telefon 03-88856622/03-88856626, laman web SPR di http://www.spr.gov.my, infoline SPR 600-85-2388 dan pejabat-pejabat pilihan raya di seluruh negara. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum