Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 30 april 2001

Keputusan Mokhzani hak peribadi - Daim

LANGKAWI 29 April - Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menganggap keputusan Datuk Mokhzani Mahathir mengundurkan diri daripada dunia korporat sebagai hak peribadi dan perlu dihormati.

Beliau menjelaskan, Mokhzani tentunya telah membuat pertimbangan yang mendalam sebelum mengumumkan keputusannya itu pada Khamis lalu.

``Dia bebas buat keputusan, fasal apa kita nak kata betul atau tak betul, itu hak dia dan kita kena hormat,'' kata Daim pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini hari ini.

Beliau dan Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, yang turut hadir pada mesyuarat itu, adalah Pengerusi Bersama Lembaga Pengarah LADA.

Daim diminta mengulas keputusan Mokhzani melepaskan pegangan dalam Tongkah Holdings Bhd. dan Pantai Holdings Bhd. kerana kecewa dengan fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya serta bapanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Ditanya pendirian beliau terhadap perbuatan memfitnah golongan korporat yang terbabit dalam politik, Daim menjawab: ``Ia telah menjadi satu budaya yang tidak menguntungkan sesiapa.''

Beliau percaya, kegiatan itu berleluasa kerana masyarakat di negara ini suka pada surat layang dan khabar angin sedangkan apa yang perlu ditegaskan ia sepatutnya berasaskan fakta sebenar.

Daim juga menarik perhatian bahawa kerajaan tidak menyekat ahli korporat terbabit dalam politik.

``Kita tidak tahan ahli perniagaan bergiat dalam politik. Yang kita tidak suka ialah kalau dia guna wang untuk cari pengaruh, itu kita tak setuju. Kalau dia popular, sanggup berkhidmat dan rakyat pilih dia, kita terimalah,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum