Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 30 april 2001

Anwar dijangka pilih kembali ke penjara _ Wan Azizah

KUALA LUMPUR 29 April - Isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suaminya dijangka memilih untuk kembali semula ke Penjara Sungai Buloh daripada menjalani pembedahan tulang belakang di negara ini.

Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) menjelaskan bahawa keputusan itu terpaksa dibuat kerana pihaknya tidak mempunyai pilihan lain.

Ini kerana, menurutnya, hasrat Anwar untuk menjalani pembedahan endoskopik di luar negara menggunakan khidmat Dr. Thomas Hoogland telah ditolak oleh kerajaan walaupun pelbagai hujah mengenainya telah diberikan.

``Nampak gayanya dia (Anwar) memilih untuk tidak dibedah di sini. Kemungkinan kalau tak ada pilihan dia akan baliklah (ke penjara) sebab kerajaan tidak ambil kira hujah kami,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan hari keluarga Keadilan sempena ulang tahun kedua parti itu di sini, hari ini.

Kelmarin, Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Abdul Razak Kechik berkata, pihaknya telah mengeluarkan satu surat kepada Anwar yang memberi tempoh seminggu kepadanya untuk membuat keputusan sama ada bersetuju menjalani pembedahan di HKL atau dihantar semula ke Penjara Sungai Buloh.

Arahan itu berkuat kuasa sejak Rabu lalu selepas surat berkenaan diserahkan sendiri kepada Anwar.

Kata Dr. Abdul Razak lagi, jika bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih gagal membuat keputusan sehingga tempoh tersebut tamat, beliau akan ditempatkan semula ke penjara itu untuk menjalani rawatan secara konservatif, tanpa melibatkan pembedahan.

Pada masa yang sama, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Omar Mohamed Dan memberitahu, jabatan itu telah membelanjakan kira-kira RM65,000 untuk mengendalikan segala urusan berkaitan Anwar sejak beliau dirawat di HKL mulai 25 November tahun lalu.

Menurut Omar, kes banduan dimasukkan ke hospital dalam tempoh terlalu lama kerana masalah kesihatan tidak pernah berlaku di negara ini sebelum ini kecuali dalam kes Anwar.

Mengulas lanjut, Dr. Wan Azizah berkata, keputusan muktamad mengenai pendirian suaminya berhubung perkara itu bagaimanapun akan diketahui selepas perbincangan dengan peguam mereka yang dijadualkan esok.

``Itu saya kena bincang dengan peguam saya. Pilihan kami ialah Dr. Hoogland,'' katanya.

Dr. Wan Azizah mengakui, pihaknya sukar membuat keputusan mengenai perkara itu kerana tidak mempunyai banyak pilihan sedangkan pada masa yang sama Anwar terpaksa menanggung segala kos pembedahan serta dibebankan dengan pelbagai risiko.

``Sepatutnya Anwar diberikan haknya untuk memilih doktor serta jenis rawatan yang diinginkan,'' tegas beliau lagi.

Menurutnya lagi, walaupun suaminya seorang banduan, tetapi sebagai pesakit, beliau harus dilayan sebagai seorang manusia.

``Dia tak hilang hak dia untuk mendapatkan peguam dan rawatan. Anwar juga ada hak memilih dibedah dalam negara atau di luar,'' katanya.

Ditanya adakah wajar Anwar dihantar semula ke penjara jika tidak mahu menjalani pembedahan di dalam negara, Dr. Wan Azizah berkata, suaminya tidak boleh dihantar semula ke sana.

``Doktor kata Anwar tidak sihat ke mahkamah. Jadi jika demikian, kita berpendapat Anwar juga tidak sihat untuk dihantar balik ke penjara,'' ujarnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum