Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 30 april 2001

Diskriminasi punca pulau UMNO - Fadzil

KUALA LUMPUR 29 April - Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor mendakwa, tindakan penyokong parti itu memulau anggota UMNO berpunca daripada diskriminasi oleh parti pemerintah terhadap parti pembangkang berkenaan.

Beliau menegaskan, perbuatan memulau itu hanya akan terhenti apabila anggota UMNO sedia menerima anggota Pas sebagai sebahagian daripada masyarakat.

``UMNO selaku kerajaan yang terlebih dahulu meminggirkan anggota Pas dalam projek pembangunan,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta anggota parti itu menghentikan perbuatan memulau anggota UMNO kerana tindakan itu merugikan Pas.

Kata Nik Aziz, perbuatan sedemikian tidak sejajar dengan Islam yang menghendaki umatnya sentiasa berdakwah.

Ekoran kenyataan Nik Aziz itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam mahu Pas membuktikan dulu sama ada mereka mematuhi seruan Menteri Besar Kelantan itu.

Dr. Mahathir yang juga Presiden UMNO berkata, hendak bercakap mengenai perkara itu memang senang tetapi apakah ia akan disusuli dengan amalan atau tidak.

Fadzil selanjutnya berkata, perbuatan memulau anggota UMNO oleh Pas merupakan manifestasi kekecewaan anggota parti pembangkang itu terhadap sikap parti pemerintah.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, para pemimpin parti pembangkang itu tidak pernah meminta anggotanya memulau anggota UMNO.

``Perbuatan itu hadir dengan sendirinya selepas anggota UMNO yang bertindak sedemikian,'' katanya.

Sikap UMNO yang sering mengetepikan Pas dalam pembangunan, tegasnya, telah berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan.

Beliau mendakwa, bukti yang paling jelas ialah sikap Kerajaan Pusat yang sering meminggirkan Kelantan dan Terengganu dalam arus pembangunan.

Anggota UMNO cawangan juga, jelasnya, sering memandang serong dan seterusnya menekan anggota-anggota Pas sehingga diketepikan oleh masyarakat.

Malah, tegas beliau, berlakunya kejadian sembahyang dua imam juga berpunca daripada sikap anggota UMNO yang tidak mempedulikan anggota Pas.

``Kita golongan minoriti dan tidak ada kuasa lain untuk menentang golongan majoriti yang dikuasai oleh UMNO,'' jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta UMNO bersikap lebih telus dan adil dalam membuat keputusan berhubung dengan parti itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum