Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 30 april 2001

Pak Lah dedah punca Pas gagal tadbir kerajaan negeri

KEPALA BATAS 29 April - Pas telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dalam menerajui kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan kerana tidak mampu merancang kewangan negeri.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, apa yang Pas tahu ialah asyik menyalahkan kerajaan Pusat apabila menghadapi masalah itu berikutan pemberhentian wang royalti minyak di Terengganu dan pemberian wang ihsan terus kepada rakyat oleh Pusat.

``Para pemimpin parti pembangkang itu kini asyik menyalahkan orang lain (kerajaan Pusat) dan mengatakan kerajaan Pusat menganiaya kerajaan negeri Terengganu.

``Yang menghairankan ialah mereka (kerajaan negeri) itu tidak langsung berbuat sesuatu atau memikirkan satu strategi lain untuk mengatasi masalah kewangan negeri,'' katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di Penang Golf Resort di sini hari ini.

Pada persidangan itu, Abdullah diisytiharkan menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Bahagian manakala Speaker Dewan Undangan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Datuk Yahaya Abdul Hamid juga menang tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Ketua dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Hilmi Rashid, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sebagai Naib Ketua.

Abdullah memberitahu, sebelum mengambil alih negeri-negeri tersebut, para pemimpin parti itu pernah mendakwa jika Pas dipilih memerintah mereka juga berupaya membangunkan negara ini.

``Malangnya, hari ini, mereka gagal melaksanakan tugas sebagai pemerintah untuk membangunkan Kelantan dan Terengganu, dan asyik menyalahkan orang lain kerana masalah kewangan yang dihadapi,'' katanya.

Abdullah memberitahu, Pas sepatutnya mencontohi kerajaan negeri Pulau Pinang sewaktu menjadi pembangkang di bawah pimpinan Tun Dr. Lim Chong Eu.

Kata beliau, apabila kerajaan Pusat menarik balik taraf bebas cukai ke atas Pulau Pinang, kerajaan negeri itu tidak goyah walaupun sumber kewangan mereka semakin merosot.

``Kerajaan negeri Pulau Pinang ketika itu telah berusaha mencari jalan terbaik bagi menjana ekonominya dengan memperkenalkan pelbagai rancangan pembangunan,'' katanya.

Dr. Lim kata Abdullah, telah berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri perindustrian dan atas inisiatif itu, mereka berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu negeri termaju dalam Malaysia.

Berikutan itu juga, tambah beliau, parti Gerakan terbuka hati untuk menyertai BN dan diterima sebagai salah satu parti komponen.

Abdullah yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, Islam mahukan umatnya berjaya bukan sahaja untuk akhirat tetapi juga berjaya untuk dunia kerana kedua-dua penting.

``Apabila penganut Islam berjaya, secara langsung agama Islam dipandang tinggi dan umat Islam akan menjadi orang yang maju dan berjaya.

``Inilah yang diperjuangkan oleh UMNO demi agama, bangsa dan negara tanpa mengetepikan keperluan kaum lain di negara ini,'' katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa, walaupun orang Melayu cuma 1/3 daripada penduduk negeri ini, tetapi barisan kepimpinan UMNO dalam kerajaan negeri mempunyai suara dan berpengaruh kerana sokongan padu daripada penduduk Pulau Pinang.

Pada perkembangan lain, Abdullah mengucapkan tahniah kepada Bendahari UMNO bahagian Kepala Batas, Datuk Abdul Rahman Abbas yang telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang baru mulai bulan depan.

Hari ini, Abdul Rahman menjalankan tugas terakhirnya sebagai Bendahari apabila membentangkan laporan kewangan bahagian itu pada Persidangan Perwakilan.

``UMNO Bahagian Kepala Batas rasa berbangga dengan pelantikan Abdul Rahman yang bakal menjadi Yang Dipertua Negeri yang baru,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum