Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 30 april 2001

Pemimpin UMNO sambut baik seruan Nik Aziz

KUALA LUMPUR 29 April - Beberapa pemimpin UMNO menyambut baik seruan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan ahli parti pembangkang itu berhenti daripada memulaukan orang UMNO.

Bagaimanapun, ada pemimpin UMNO yang merasakan bahawa Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu sepatutnya membuat gesaan itu lebih awal kerana gejala perpecahan orang Melayu sekarang begitu serius ekoran tindakan pemulauan tersebut.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, kenyataan itu membuktikan kebenaran bahawa memang Pas selama ini ada kaitan dalam memecah belahkan orang Melayu terutama di Terengganu dan Kelantan.

``Saya harap ahli-ahli Pas menyambut seruan pemimpin mereka ini dengan hati terbuka demi perpaduan orang Melayu.

``Hasrat Nik Aziz itu akan tercapai jika ahli Pas ikhlas mahu menyatukan orang Melayu tanpa mengambil kira latar belakang politik,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhammad menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz yang menyeru ahli Pas berhenti memulaukan orang UMNO kerana ia merugikan Pas.

Nik Aziz dilaporkan berkata, perbuatan pulau-memulau adalah tidak sejajar dengan Islam yang menghendaki umatnya sentiasa berdakwah.

Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Shahrir Abdul Samad pula berpendapat, kenyataan Nik Aziz itu menandakan satu perkembangan baik bagi politik orang Melayu di negara ini.

Sebenarnya, beliau berkata, kebimbangan UMNO mengenai perkara tersebut berlaku sejak dulu lagi.

``UMNO tidak mahu politik yang memisahkan orang Melayu dan kini Pas sudah menyedarinya.

``Saya berharap ahli Pas dapat memberhentikan tindakan pulau-memulau itu segera dalam urusan harian dan sebagainya,'' jelas beliau.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum