Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

Keputusan kerajaan muktamad walaupun pelbagai pihak mengemukakan rayuan

KUALA LUMPUR 1 Mei - Keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani pembedahan tulang belakang di luar negara adalah muktamad walaupun pelbagai pihak mengemukakan rayuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan muktamad itu diambil kerana doktor-doktor berpendapat penyakit yang dialami oleh Anwar itu boleh dirawat di negara ini.

Menurutnya, kerajaan telah mempertimbangkan segala faktor dan rayuan yang dikemukakan sebelum mengambil keputusan itu.

``Tidak ada sebab dia (Anwar) hendak pergi luar negeri kerana pendapat doktor ialah penyakit dia boleh dirawat di Malaysia. Hendak pergi ke luar negeri ini tidak pernah kita buat.

``Keputusan muktamad. Bukan kita tidak ada belas kasihan,'' katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2001 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai rayuan 108 individu dalam satu surat yang dihantar kepadanya supaya membenarkan Anwar dirawat di Munich, Jerman di bawah kelolaan Dr. Thomas Hoogland.

Dr. Mahathir menjelaskan, pegawai kerajaan pun tidak dibenarkan mendapat rawatan di luar negara melainkan penyakit yang dihidapinya disahkan tidak boleh dirawat di negara ini.

Justeru katanya, tidak ada sebab untuk Anwar, sebagai seorang banduan, mendapat lebih keistimewaan daripada apa yang diperolehi oleh pegawai kerajaan.

Beliau juga berkata, sakit tulang belakang yang dihidapi oleh Anwar bukannya satu penyakit yang luar biasa sehingga seorang doktor di Jerman sahaja yang boleh merawatnya.

``Banyak orang sakit pinggang macam itu. Bukan dia seorang sahaja. Beratus orang sudah dirawat di Malaysia.

``Takkanlah dia seorang dalam Malaysia ini, hanya boleh satu doktor daripada enam bilion manusia di dunia ini yang boleh merawat dia dan mesti dibuat di Jerman. Saya tidak pernah dengar ini. Saya pun doktor juga,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, Dr. Hoogland juga tidak boleh diiktiraf sebagai seorang doktor pakar terutama apabila beliau berkata bahawa peralatan yang diperlukan untuk pembedahan itu tidak boleh dibawa ke negara ini, selain mempertikaikan kemudahan bilik bedah di negara ini.

``Tidak ada alatan di dunia ini yang tidak boleh dipindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain,'' kata Dr. Mahathir.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia mempunyai peralatan perubatan yang mencukupi dan doktor-doktor yang terbukti kemampuannya.

``Saya sendiri dibedah lebih teruk lagi daripada hendak bedah belakang orang. Belakang orang tak ada apa.

``Saya bedah jantung, kena hentikan jantung saya, kena hentikan paru-paru saya, baru boleh bedah. Doktor buat pembedahan lebih empat jam. Doktor kita sendiri buat dan peralatan kita punya,'' jelasnya.

Perdana Menteri menjelaskan, sebenarnya Anwar mahu mempolitikkan isu pembedahannya itu daripada benar-benar mahu mengubati penyakitnya itu.

``Macam mana hari itu, dia tuduh kita bagi racun (Arsenik) kepada dia. Ini bohong semua. Dia buat masalah ini bukan pasal apa, pasal politik sahaja,'' katanya.

Katanya, Anwar akan menggunakan apa sahaja kesempatan untuk dipolitikkan termasuk ketika kerajaan memberi kebenaran untuk beliau melawat jenazah ibunya yang meninggal dunia baru-baru ini.

Katanya, semasa menziarahi jenazah ibunya itu, Anwar menggunakan kerusi roda untuk menagih simpati dan juga supaya media asing dapat menunjukkan ke seluruh dunia bahawa dia benar-benar menderita.

Ditanya kemungkinan niat Anwar ialah untuk mendapat perlindungan politik semasa di luar negara, Dr. Mahathir berkata, kerajaan tidak pernah mempersoalkan niat Anwar.

``Apa niat dia kita tak tahu. Kita tidak peduli, kita tidak soal tentang niat dia tetapi hakikatnya ialah penyakit itu boleh diubati di Malaysia. Kalau tidak secara pembedahan, secara konservatif pun boleh juga,'' katanya.

Dr. Mahathir mengakui bahawa itulah cara Anwar berpolitik iaitu dengan menghasut dan menimbulkan perasaan marah orang supaya berlaku tunjuk perasaan.

``Ini cara dialah. Saya ingat dia dah baik dan tak buat kerja macam itu bila dia masuk dalam UMNO, tetapi bila dah jadi macam ini, dia balik cara lama,'' katanya.

Mengenai pembabitan ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan golongan intelek dalam surat rayuan itu, Dr. Mahathir berkata, ia bukan sesuatu yang menghairankan kerana Fauzi adalah kawan akrab Anwar.

``Orang intelek, itu dia punya pendapat, dia punya pendapatlah. Kita nak kata apa,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum