Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Anwar tidak boleh saman kerajaan - Rais

KUALA LUMPUR 3 Mei - Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan ekoran larangan beliau mendapatkan rawatan tulang belakang di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim menjelaskan di bawah Akta Penjara 1995, tidak ada peruntukan yang membolehkan Anwar berbuat demikian.

``Dalam Akta Penjara tidak ada peruntukan perlunya diberi rawatan kesihatan khusus di luar negara atau di mana-mana peringkat yang tertentu, cuma seorang pesakit di kalangan banduan boleh mendapatkan rawatan dari hospital dan punca-punca yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Penjara.

``Justeru soal menidakkan rawatan kepada Anwar tidak timbul sebab kesemua kemudahan dalam negara dibenarkan kepada beliau,'' katanya kepada Utusan ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan peguam-peguam Anwar yang sedang memikirkan kemungkinan mendakwa kerajaan kerana dikatakan telah menafikan hak Anwar memilih kaedah rawatan di luar negara seperti dinyatakan di bawah Seksyen 37 Akta Penjara 1995.

Semalam isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memberitahu sidang akhbar bahawa suaminya telah menolak tawaran untuk menjalani pembedahan mikroskopik disektomi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Rais berkata, walaupun mengikut konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu, hak seseorang banduan mendapatkan rawatan adalah hak asasi, tetapi Anwar tidak boleh menimbulkan persoalan beliau boleh dirawat di luar negara.

Ini kerana ia bercanggah dengan undang-undang negara meliputi seseorang banduan yang telah dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah.

Lagipun, katanya tidak ada kes selama ini yang membuktikan bahawa seseorang pesakit di kalangan banduan dibenarkan keluar negara kerana ia bercanggah dengan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan, yang telah diputuskan oleh mahkamah.

Ketika ditanya adakah kerajaan akan bertanggungjawab jika penyakit tulang belakang Anwar semakin teruk ketika menjalani rawatan konservatif di penjara, Rais berkata, kerajaan tidak boleh dibebani dengan tanggungjawab itu.

``Apabila Anwar memilih menolak rawatan dalam negeri sekali gus ia memutuskan itu ke atas dirinya sendiri, beliau tidak mengenakan apa-apa risiko kepada kerajaan,'' jelasnya.

Tambah Rais, kerajaan hanya akan bertanggungjawab setakat tahap profesionalisme para doktor yang merawat Anwar dan tidak lebih daripada itu.

Namun katanya lagi, sekiranya apa-apa berlaku, Anwar bebas mengambil tindakan sivil melalui proses undang-undang.

Katanya, bagi kerajaan tidak timbul Anwar tidak diberi hak mendapatkan rawatan dan peluang itu telah diberikan seluas-luasnya.

``Saya juga telah dimaklumkan bahawa kerajaan telah menyediakan semua rawatan di penjara dan soal beliau tidak akan dirawat sebaik-sebaiknya tidak timbul, cuma sekiranya rawatan itu diterjemahkan dalam bentuk pembedahan tentulah perlukan kepakaran di hospital besar,'' ujarnya.

Oleh: LOKMAN OTHMAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum