Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Batal muzakarah tamatkan tekanan

KUALA LUMPUR 3 Mei - Pembatalan cadangan muzakarah Amanat Haji Hadi dapat menamatkan tekanan pihak tertentu yang mendakwa Majlis Fatwa Kebangsaan condong kepada parti politik tertentu.

Sehubungan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin menyifatkan keputusan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim membatalkan muzakarah itu sebagai wajar.

``Kita merasakan bahawa muzakarah tersebut tidak perlu diadakan selepas memikirkan dengan mendalam,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Dr. Ismail yang membatalkan cadangan muzakarah itu yang sepatutnya dijadualkan berlangsung bulan ini.

Dr. Ismail menjelaskan, pembatalan tersebut disebabkan oleh isu itu telah dipolitikkan sehingga menimbulkan reaksi dan tekanan yang tidak wajar.

Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pada 25 April lalu berkata, beliau telah menghantar surat kepada Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan persetujuannya mengadakan muzakarah berhubung isu itu.

Abdul Hadi menghantar surat persetujuan itu selepas menerima surat bertarikh 14 April lalu daripada majlis tersebut yang meminta supaya diadakan perundingan mengenai perkara berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid menjelaskan, pembatalan muzakarah itu juga bertujuan menamatkan kekeliruan orang ramai terhadap pihak yang bertanggungjawab menganjurkan majlis itu.

``Banyak pihak yang keliru dengan mempersoalkan mengapa Majlis Fatwa Kebangsaan masih mahu berbincang dengan Abdul Hadi walaupun amanat itu telah diwartakan,'' tegasnya.

Muzakarah itu, jelasnya, menggunakan platform Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), bukannya Majlis Fatwa Kebangsaan.

Katanya, platform Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh digunakan memandangkan amanat tersebut telah diwartakan oleh majlis itu sebagai bertentangan dengan Islam sejak 1986.

Fatwa berhubung amanat itu, jelas beliau, adalah muktamad dan tidak perlu dipersoalkan lagi.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi meminta Abdul Hadi menarik balik amanatnya yang didapati merosakkan akidah umat Islam.

Mengulas mengenai arahan supaya semua negeri mewartakan segera fatwa oleh majlis itu kerana bercanggah dengan Islam beliau berkata:

``Terpulang kepada setiap negeri untuk mewartakannya kerana mereka mempunyai prosedur masing-masing,'' jelasnya.

Oleh: YUSRI SAHAT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum