Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Daim tidak perlu turunkan kuasa kepada sesiapa

KUALA LUMPUR 4 Mei - Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin tidak perlu menurunkan kuasanya kepada sesiapa, biarpun beliau kini sedang bercuti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana Daim masih menjalankan urusan kerja seperti biasa.

Beliau menjawab soalan wakil kesatuan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kelaziman syarikat itu menangguhkan keputusan pembayaran bonus kakitangan disebabkan belum mendapat kelulusan Menteri Kewangan.

Pada hal, katanya, Kementerian Kewangan mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah TNB.

Sehubungan itu, pekerja berkenaan mencadangkan kepada Dr. Mahathir supaya kuasa membuat keputusan dalam perundingan mengenai bonus diturunkan kepada wakil Kementerian Kewangan.

Ini, katanya, bagi meringankan bebanan kerja Daim dan membolehkannya bercuti.

Wakil kesatuan sekerja itu mengemukakan cadangan tersebut semasa sesi dialog dengan Dr. Mahathir sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke ibu pejabat TNB Bangsar di sini, hari ini.

Mengulas cadangan itu, Dr. Mahathir dengan nada berseloroh berkata:

``Menteri Kewangan ini dia cuti tapi kerja juga. Tapi gaji dia ambil juga kot. Kalau cuti tanpa gaji bolehlah.''

Perdana Menteri kemudian dengan selamba meminta wakil kesatuan pekerja TNB itu mencadangkan sendiri kepada Daim supaya mengambil cuti tanpa gaji.

``Tapi kita bayar dia (Daim) pun tak banyak...tak banyak,'' katanya disambut deraian ketawa oleh para hadirin.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum