Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Puteri UMNO tumpu program kebajikan

KUALA LUMPUR 4 Mei - Puteri UMNO tidak berhasrat untuk menjadikan agenda politik sebagai program utamanya kerana peranan tersebut boleh dimainkan dengan lebih baik oleh Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO.

Sehubungan itu, Ketua Penaja Puteri UMNO, Azalina Othman Said berkata, aktiviti pertubuhan itu akan lebih difokuskan terhadap projek-projek kebajikan untuk rakyat berbanding program politik.

``Puteri UMNO lebih menekankan program kebajikan dahulu dan apabila ahli Puteri berumur melebihi 35 tahun, secara automatik mereka akan menyertai Wanita UMNO dan mengikuti program pergerakan itu yang menjurus ke arah politik. Oleh itu di peringkat Puteri, kita fokuskan kepada program kebajikan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyempurnakan Program Membaca Untuk Orang Cacat Penglihatan anjuran bersama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) serta Puteri UMNO dan Biro Tindakan Sivil (BTS) UMNO di Kompleks MAB di Jalan Tun Sambanthan di sini, hari ini.

Azalina berkata, program Membaca Untuk Orang cacat Penglihatan itu merupakan antara program Kempen Prihatin yang dijalankan oleh Puteri.

Program yang akan dijalankan di peringkat Pusat dan negeri itu, jelas beliau bertujuan melibatkan penyertaan pemimpin-pemimpin UMNO dalam projek kebajikan untuk rakyat khususnya golongan kurang upaya dan orang miskin.

Katanya, sehingga kini 99 pembaca yang terdiri daripada pemimpin UMNO termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali telah mendaftarkan nama mereka untuk menyertai program membaca itu.

Turut mendaftar ialah Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed.

``Setakat ini 30 orang telah membaca dan hari ini giliran Perdana Menteri untuk membaca. Mereka diberi dua pilihan untuk membaca iaitu dengan merekodkan suara atau pilihan dalam Braille,'' katanya.

Beliau berkata, Puteri UMNO akan memberikan penekanan dalam aspek pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial untuk orang ramai dalam program-program kebajikannya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum