Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Dua tahanan ISA diarah dibawa ke mahkamah

SHAH ALAM 4 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan perintah supaya dua orang aktivis reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibawa ke mahkamah pada Selasa ini dalam permohonan habeas corpus untuk membebaskan mereka.

Dua aktivis itu, Abdul Ghani Haron dan N. Gobalakrishnan telah ditahan di bawah Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus membuat keputusan demikian setelah mendengar penghujahan berhubung isu awal yang dibangkitkan oleh peguam bela dan hujah bantahan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Ketua Polis Negara sebagai responden

Sejurus sahaja keputusan diumumkan, Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Abdul Wahab Mohd. dan Abdul Rashid Sudin yang mewakili responden memohon supaya perintah itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Bagaimanapun, selepas mendengar penghujahan, Hakim Hishamudin menolak permohonan untuk menangguhkan keputusan yang dibuatnya.

Selepas itu, Abdul Wahab memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan memfailkan notis rayuan secepat mungkin di Mahkamah Persekutuan.

R. Sivarasa yang mengetuai lima peguam bela memohon supaya kedua-dua anak guamnya dibenarkan hadir di mahkamah dalam permohonan tersebut.

Hakim Hishamudin ketika membaca penghakimannya pagi ini berkata kedua-dua pemohon, Abdul Ghani dan Gobalakrishnan adalah pegawai-pegawai Parti Keadilan Nasional.

Menurut beliau, Gobalakrishnan telah ditahan pada pukul 11.50 malam pada 10 April lalu, di Balai Polis Kuah, Langkawi manakala Abdul Ghani ditahan pukul 1.25 pagi, 11 April di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.

Writ habeas corpus kedua-dua tahanan itu dikemukakan di mahkamah tersebut melalui keluarga masing-masing.

Menurut Hakim Hishamudin, beberapa hari sebelum permohonan itu didengar pada 23 April lalu, Timbalan Pendaftar telah mengeluarkan notis kepada pihak responden untuk mengemukakan kedua-dua tahanan tersebut supaya hadir di mahkamah.

``Ini adalah amalan biasa dalam semua prosiding habeas corpus,'' ujar beliau.

Tetapi, kata hakim berkenaan, responden telah gagal untuk mematuhi perintah tersebut.

Tambah beliau, responden tidak ada niat untuk tidak mematuhi perintah mahkamah kerana menurut responden dalam undang-undang pemohon-pemohon itu tidak mempunyai hak untuk hadir mendengar permohonan tersebut.

Namun, kata Hakim Hishamudin, peguam bela pemohon mengatakan sebaliknya bahawa kedua-duanya ada hak untuk hadir di mahkamah bagi permohonan mereka.

Dalam penghakimannya, kata hakim Hishamudin, dengan peruntukkan Artikel 5(2) itu hak untuk memohon writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi bukan sahaja hak di sisi undang-undang tetapi juga hak dalam perlembagaan kepada sesiapa yang mempercayai bahawa mereka ditahan secara salah.

Oleh demikian, jelas beliau, pemohon ada hak untuk hadir di mahkamah seperti peruntukan dalam perlembagaan untuk mendengar permohonannya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum