Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Nik Aziz: Saya cuba perangkap UMNO

KOTA BHARU 4 Mei - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini berkata, beliau cuba memerangkap UMNO apabila membuat kenyataan meminta ahli Pas tidak memulaukan ahli UMNO kerana tindakan itu merugikan Pas.

Kata beliau, kenyataannya itu bertujuan supaya pemimpin-pemimpin UMNO pula membuat kenyataan yang sama selepas ini meminta ahli-ahli UMNO tidak membuat `khianat' kepada ahli Pas.

Menurut Nik Aziz, ekoran daripada kenyataannya itu, pelbagai pihak termasuk dari Sabah dan Sarawak memberi pujian kepadanya sehingga mendapat liputan meluas daripada media massa selama dua hari berturut-turut.

``Tapi dia tidak tahu kita buat perangkap untuk dia. Bila puji saya apabila saya minta orang Pas tidak pulau orang UMNO, kini giliran UMNO pula buat kenyataan kepada orang UMNO jangan buat khianat kepada orang Pas.

``Baja tak beri. Di Terengganu ambil duit royalti minyak, di Kelantan pula kontrak-kontrak orang Pas hanya tengok sahaja.

``Jadi, (apabila) saya buat kenyataan kepada orang Pas, (sekarang) giliran awak (UMNO) pula buat kenyataan,'' katanya ketika berucap merasmikan Majlis Mahabbah Pas Kota Bharu di Padang Perdana di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tindakan UMNO yang hanya berdiam diri dengan kenyataannya meminta orang Pas jangan memulaukan ahli UMNO menunjukkan parti itu tidak ada semangat muhibah atau berkasih sayang.

``Semangat begini nak ditanam antara kita supaya tidak ada berbalah sesama kita,'' katanya.

Pada 27 April lalu, Nik Aziz membuat kenyataan meminta anggota Pas menghentikan perbuatan memulau anggota UMNO kerana tindakan itu merugikan Pas.

Katanya, perbuatan pulau-memulau adalah tidak sejajar dengan Islam yang menghendaki umatnya sentiasa berdakwah.

Nik Aziz juga berkata, keengganan sesetengah anggota Pas untuk mengunjungi rumah anggota UMNO atau menziarahi jenazah anggota UMNO merupakan perbuatan tidak betul di segi Islam.

``Kalau kita nak berdakwah kita kena panggil orang, kalau kita dok pulau orang, nak panggil (dakwah) siapa lagi,'' katanya.

Oleh: YULPISMAN ASLI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum