RENCANA

Utusan Malaysia 02 April 2002

Memahami makna keganasan

Terjemahan teks ucaptama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada perasmian Sesi Khas Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam (ICFM) mengenai Keganasan di Kuala Lumpur semalam.

Saya sangat berbesar hati kerana dijemput berucap di Sesi Khas Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam mengenai Keganasan.

Keganasan telah lama wujud. Ia bukan satu fenomena baru. Apa yang baru ialah, kaedah-kaedah yang lebih kejam digunakan bagi membunuh dan mencederakan lebih ramai orang dan menyebabkan kemusnahan yang lebih dasyhat.

Tetapi kita sering samar-samar mengenai apakah keganasan yang berlaku di negara-negara lain bukan sebenarnya keganasan malahan perjuangan sah rakyat menentang kerajaan yang menindas ataupun penjajahan asing. Tanggapan kita ialah selagi membabitkan orang lain, kita tidak perlu berbuat sesuatu.

Pastinya kita merasakan tidak ada perlunya satu usaha sejagat untuk memerangi keganasan.

Tetapi kini kita sedar hakikat bahawa tiada negara yang selamat, tiada siapa pun yang selamat.

Kita kini mengakui bahawa keganasan ialah satu bentuk jenayah, satu jenayah kejam terhadap umat manusia. Ia adalah jenayah terhadap seluruh dunia tidak kira siapa atau apa atau negara mana yang menjadi sasaran.

Serangan pada 11 September seperti yang kita ketahui, memberi kesan kepada seluruh dunia dan membawa kemusnahan bukan sahaja kepada negara tertentu dan penduduknya tetapi ia menjejaskan asas ekonomi dunia dan ia menyebabkan kematian dan kemusnahan bagi negara dan yang penduduknya didakwa menjadi tapak pelancaran serangan itu. Ia telah menghakis keyakinan dunia dan menimbulkan ketakutan.

Padah daripada serangan yang menakutkan itu belum berakhir lagi. Yang lain juga akan sengsara, akan kehilangan kebebasan mereka, hak mereka dan juga akan kehilangan nyawa mereka. Mereka perlu melarikan diri dari negara masing-masing dan hidup dalam sengsara dan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.

Sehinggakan negara-negara yang terkaya dan paling berkuasa yang terletak jauh daripada tempat berlakunya serangan ganas akan menanggung kerugian dalam cara lain.

Mungkin serangan 11 September agak luar biasa jika dilihat dari segi padahnya. Tetapi serangan pengganas sebelum ini juga membawa kesan terhadap dunia. Kita mungkin tidak menyedarinya tetapi sebenarnya untuk bertahun-tahun kita telah hidup dalam ketakutan. Sebab itulah kita menerima langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh setiap negara. Kita tahu bahawa yang tidak berdosa di kalangan kita pun boleh ditembak mati, atau diculik dan dibunuh.

Pada satu ketika dahulu perjalanan menggunakan kapal terbang begitu selamat sehinggakan tiada siapa pun memeriksa bagasi kita. Kemudian berlaku rampasan pertama kapal terbang. Sejak itu kita perlu melalui pemeriksaan yang lebih rapi, menyusahkan kita. Tetapi kita masih berasa takut, kerana walaupun pemeriksaan rapi kapal terbang masih boleh digunakan sebagai peluru berpandu. Kita menjadi lebih tegas sekarang, tetapi tidak ada jaminan bahawa kapal terbang yang kita naiki tidak terdedah kepada kaedah keganasan yang baru. Dalam pada kita mengalami kesusahan akibat pemeriksaan keselamatan, kita tetap meneruskan perjalanan dalam ketakutan.

Berjuta-juta orang perlu mengembara sama ada dengan menggunakan penerbangan ataupun jalan darat tetapi kita sentiasa akan terdedah kepada serangan pengganas, penculikan, dijadikan tebusan dan mungkin terus dibunuh.

Dunia pula sedang mencipta lebih banyak lagi senjata baru bagi perang konvensional. Setiap negara bersiap sedia bagi serangan berdepan. Dan oleh itu perlumbaan senjata berterusan, membebankan negara terbabit dan yang lain kerana mereka dipaksa memperoleh senjata-senjata ini yang tidak pula digunakan untuk berdekad-dekad lamanya.

Tetapi sepanjang masa itu akan ada golongan tertentu, yang mungkin terpesong dan mengikuti perkembangan senjata itu. Orang seperti inilah yang merancang melancarkan serangan pengganas. Dan sememangnya banyak orang yang tamak dan sanggup mengumpul dan menjual senjata terbaru kepada bakal pengganas.

Pada ketika ini tidak lagi mustahil bagi pengganas memperoleh senjata yang boleh membawa kemusnahan besar-besaran. Tidak sukar untuk mendapatkan satu bebuli kecil bakteria atau virus yang boleh membawa maut. Sebenarnya senjata nuklear pun boleh diperoleh sekarang. Sama ada dunia sedar atau tidak kita semua sebenarnya menjadi tebusan.

Kita membayar harga yang tinggi untuk melindungi diri tetapi pada satu hari nanti, walaupun apa sahaja langkah berjaga-jaga atau langkah keselamatan yang kita ambil, kita mungkin menyaksikan senjata-senjata itu digunakan bukan oleh pasukan keselamatan tetapi oleh kumpulan pengganas ataupun pengganas individu.

Kos mempertahankan diri daripada ancaman pengganas, sama ada dari segi kewangan, kemudahan serta gaya hidup kita semakin melambung.

Kita semua perlu memerangi pengganas dan keganasan kerana tiada siapa antara kita yang benar-benar selamat. Tetapi mustahil bagi kita untuk melawan musuh yang kita sendiri tidak kenal.

Memerangi pengganas bukan seperti berperang dengan sebuah negara lain. Kita boleh meranapkan negara musuh sehingga menjadi padang jarak padang terkukur. Ini boleh dilakukan sekarang, dan pernah dilakukan.

Tetapi pengganas masih boleh membolosi kita kerana kita tidak tahu siapa mereka dan di mana mereka berada. Mereka mungkin tidak berada di negara yang kita musnahkan atau mereka berada di tempat lain dan mungkin mereka berada di negara kita sendiri.

Hari ini umat dunia mudah bergerak ke sana-sini dan tiada negara yang murni etniknya. Pengembaraan memudahkan penghijrahan mengakibatkan hampir semua negara menjadi berbilang kaum, agama dan etnik. Pengakuan taat setia mereka tidak menjamin apa-apa.

Di kalangan kita akan sentiasa terdapat pendatang asing. Mustahil bagi kita untuk memantau semua pendatang asing di semua negara. Malahan kita sendiri tidak boleh memberi jaminan bahawa rakyat kita sendiri tidak akan menjadi pengganas ataupun berpotensi menjadi pengganas.

Kita tidak boleh memburu pengganas sehingga kita semua dapat mencapai kata sepakat siapa mereka dan bekerjasama dalam menjejaki mereka. Kita perlu mencapai persetujuan mengenai cara mengenal pasti pengganas dan apa yang dimaksudkan dengan keganasan. Jika kita mendiskriminasi semata-mata kerana mereka sebangsa atau seagama dengan pengganas ini akan hanya menimbulkan kemarahan lebih ramai orang dan mungkin menyebabkan munculnya pengganas baru. Ia tidak produktif.

Kita telah pun mengetahui bahawa pejuang kebebasan yang menentang penindasan disalah anggap atau sengaja dicap sebagai pengganas oleh penjajah mereka. Akibatnya pejuang-pejuang kebebasan seperti Jomo Kenyatta, Robert Mugabe, Nelson Mandela, Sam Nujoma kesemuanya dilabel sebagai pengganas dan diburu dan hukuman penjara menunggu mereka jika mereka ditangkap.

Tetapi hari ini mereka diterima sebagai pemimpin negara yang dihormati.

Apa yang jelas, pada hari ini seseorang mungkin menjadi pengganas tetapi esok harinya dia boleh ditakrif sebagai pejuang kebebasan dan sebaliknya seorang pejuang kebebasan hari ini boleh ditakrifkan sebagai pengganas esoknya bergantung kepada keadaan. Sekiranya kita memburu setiap orang yang dirujuk sebagai pengganas oleh pihak tertentu, kita mungkin telah sangat melakukan ketidakadilan.

Di sebaliknya orang yang terpesong dan negara-negara yang melindungi dan menyokong pengganas kerana bertanggapan perjuangan mereka adalah bagi tujuan yang sah. Di negara-negara Barat yang liberal terdapat beberapa kumpulan kecil pengganas yang bersubahat dengan pertubuhan-pertubuhan pengganas di negara lain. Negara-negara ini tidak banyak berbeza daripada Afghanistan yang menjadi tempat perlindungan bagi pangganas Al-Qaeda.

Jadi bagaimana kita mengenal pasti pengganas? Bagaimana kita membezakan pejuang kebebasan daripada pengganas, bagaimana kita menentukan kerajaan manakah yang harus dikutuk kerana melakukan keganasan ataupun melindungi pengganas?

Peperangan melibatkan pembunuhan rakyat. Jadi apa pentingnya bagaimana mereka dibunuh? Hari ini konvensyen antarabangsa melarangkan penggunaan gas beracun dalam peperangan.

Tetapi bolehkah konvensyen antarabangsa menetapkan senjata-senjata dan bentuk serangan yang boleh digunakan oleh pejuang menentang penindasan? Adakah mereka yang berkuasa juga bertindak ganas dan sepatutnya dikutuk dan dihukum.

Pengganas tidak akan menghormati perjanjian. Jadi apa gunanya konvensyen dalam memerangi pengganas? Tiada gunanya langsung. Tetapi adalah menjadi tanggungjawab bagi kerajaan-kerajaan bertindak terhadap mereka yang mencabuli konvensyen.

Sebelum kita boleh bersetuju dengan konvensyen-konvensyen kita perlu membuat keputusan apakah yang dimaksudkan sebagai keganasan dan siapa yang harus disifatkan sebagai pengganas.

Saya suka mencadangkan di sini sebarang serangan bersenjata ataupun dalam bentuk lain terhadap orang awam hendaklah dianggap sebagai tindakan keganasan dan mereka yang melakukannya dianggap sebagai pengganas. Sama ada penyerang itu bertindak sendiri ataupun atas arahan kerajaan mereka, atau sama ada mereka itu tentera atau bukan tentera, jika serangan itu dilakukan terhadap orang awam, maka mereka mesti dianggap sebagai pengganas.

Kumpulan-kumpulan ataupun kerajaan-kerajaan yang menyokong serangan terhadap orang awam mesti dianggap sebagai pengganas, tidak kira apa kewajaran bagi tindakan mereka itu, dan tidak kira kemuliaan perjuangan mereka.

Bagaimanapun, jika orang awam terperangkap dan menjadi mangsa kepada pertempuran, penyerang tidak harus dilabel sebagai pengganas.

Berdasarkan takrifan sebegini, serangan di Pusat Dagangan Dunia pada 11 September, serangan bom berani mati oleh warga Palestin dan Tamil Tigers, serangan terhadap orang awam oleh tentera Israel, pembunuhan umat Islam Bosnia dan mereka yang lain mesti dianggap sebagai tindakan keganasan dan mereka yang melakukannya mesti dikutuk sebagai pengganas. Dan sesiapa yang menyokong mereka juga mesti dianggap sebagai pengganas.

Apabila negara-negara mendalangi keganasan, seluruh kerajaan mesti dikutuk. Tetapi jangan pula dikutuk mana-mana bangsa atau agama semata-mata kerana orang sebangsa atau seagama terlibat dalam kegiatan pengganas.

Dalam pada kemungkinan kita sekata mengenai takrif tindakan keganasan dan siapa yang harus dikutuk sebagai pengganas, adalah penting dicapai persetujuan antarabangsa mengenai kecaman terhadap sebarang kejadian keganasan oleh pengganas. Hanya setelah perkara itu dipersetujui barulah masyarakat dunia boleh bekerjasama dan mengambil bahagian dalam apa jua tindakan yang akan dilaksanakan terhadap mereka yang melaksanakan keganasan.

Dalam hal ini tidak ada pihak berkuasa yang lebih arif daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membuat keputusan-keputusan itu. Apabila PBB telah membuat keputusan, seluruh dunia harus bekerjasama sepenuhnya untuk membanteras pengganas terlibat.

Sementara kita perlu mengenal pasti pengganas di mana sahaja dan bertindak dalam apa cara yang boleh, kita juga perlu mencari cara-cara untuk menyekat kecenderungan kumpulan orang atau kerajaan tertentu daripada menggunakan keganasan. Kita perlu mengenal pasti punca rasa tidak puas hati dan kemarahan mereka dan kita perlu mengatasi punca ini. Saya tidak fikir sesetengah orang rela dan sengaja suka meletupkan diri mereka. Ini dilakukan oleh orang yang terdesak, oleh mereka yang tidak nampak jalan lain untuk melepaskan diri daripada kesengsaraan. Kita tidak boleh menolak mereka hanya orang sewel yang suka mengganasi orang lain.

Jika kita mahu hentikan keganasan baru kita perlu menangani punca rasa terbuku hati dan kemarahan mereka dan perlu cuba menghapuskannya. Kita perlu cuba melakukan ini dengan bersungguh-sungguh.

Pada hari ini kita hidup dalam dunia yang sangat ketara ketidaksamaannya. Sementara ada negara yang begitu kaya dan berkuasa, ada yang lain pula sangat miskin. Sehinggakan dalam negara-negara sedemikian sendiri terdapat jurang yang besar antara yang kaya dan miskin.

Pada hari ini kapitalisme mengatasi segala-galanya dan tiada lagi pilihan untuk berpaling kepada sistem sosialis ataupun komunis. Golongan kaya hari ini tidak langsung cuba menyembunyikan sikap tamak dan nafsu mereka untuk menguasai segala-galanya. Malahan pada pandangan golongan yang termiskin, golongan kaya nampaknya terlalu menindas, serta memaksa mereka menerima sistem-sistem, ideologi dan nilai-nilai yang mereka belum bersedia untuk menerimanya.

Seluruh dunia mengalami rasa tidak puas hati, kemarahan yang memuncak di kalangan golongan terpinggir akibat daripada wujudnya jurang antara kaya dan miskin, yang kuat dan lemah. Inilah faktor-faktor yang membawa kepada tindakan-tindakan ganas.

Secara serius, dunia mesti membetulkan ketidakadilan ini dan tidak sekadar menguwar-uwarkan nilai-nilai toleransi dan persefahaman sedangkan pada masa yang sama mengabaikan kesan buruk daripada ``nilai-nilai'' itu.

Bagi umat Islam, rintihan mereka adalah benar dan keperitan mereka sesungguhnya tidak dapat ditanggung lagi, dan telah melampaui had pemahaman dan toleransi. Bagi lima dekad lepas, sebagai contoh tanah air rakyat Palestin bukan sahaja dirampas malahan mereka juga diusir dari negara sendiri oleh Israel.

Percubaan mereka secara kecil-kecilan untuk mendapatkan kembali wilayah mereka secara peperangan konvensional dengan bantuan negara-negara sahabat gagal dan ini mengakibatkan mereka kehilangan lebih banyak wilayah. Di tanah yang diduduki Israel, rakyat Palestin ditindas dan dianiayai. Mereka ditembak dan dibunuh, termasuk kanak-kanak hanya kerana membaling batu terhadap pihak Israel.

Bagi Israel tindakan balas bukan sekadar hutang darah dibayar dengan darah tetapi perlu dibayar dengan nyawa walaupun puncanya akibat terkena seketul batu. Mereka percaya mereka boleh menghentikan pertumpahan darah sekadar bertindak ganas terhadap pengganas.

Bagi pengebom berani mati di kalangan orang Palestin mereka menganggap diri mereka sudah pun mati dan akan ke syurga. Mereka tidak akan tunduk walaupun nyawa mereka terancam. Membunuh pemimpin mereka juga tidak akan mengubah keadaan.

Pemimpin yang lebih ganas akan muncul menggantikan yang tewas dan serangan keganasan akan berterusan. Pembunuhan beramai-ramai rakyat Yahudi semasa Perang Dunia Kedua tidak mengalahkan kaum Yahudi. Pembunuhan beramai-ramai rakyat Arab juga tidak akan mengalahkan kaum Arab. Rakyat Israel harus kembali waras dan meredakan keganasan dan tidak meruncingkan lagi keadaan.

Jika rakyat Israel enggan menghentikan keganasan, maka dunia mesti perlu memaksa mereka berbuat demikian. Jika kita benar-benar serius dalam membanteras pengganas, jadi kita perlu menghalang rakyat Palestin dan Israel saling berbunuh-bunuhan.

Di Bosnia-Herzegovina, pembunuhan lebih daripada 100,000 orang Islam disaksikan oleh penonton-penonton televisyen dan sebegitu lama tiada apa yang dilakukan. Orang Islam sebenarnya dihalang daripada mendapatkan senjata untuk mempertahankan diri demi mengelakkan lebih banyak pembunuhan, yakni kematian musuh mereka boleh meningkatkan jumlah yang terkorban.

Jika hanya orang Islam dibunuh dan warga Serbia diselamatkan sudah pasti angka kematian lebih rendah. Kita telah melihat bahawa dunia boleh menghentikan pembunuhan umat Islam, tetapi dunia bertindak lewat. Tetapi warga Slovakia dan Croatia dapat dilindungi dan mereka mendapat kemerdekaan tanpa banyak pertumpahan darah.

Negara-negara Islam yang lain pula menjadi sasaran serangan dan sekatan ekonomi menyebabkan jumlah kematian yang besar akibat pelbagai bentuk penindasan. Semua ini menyebabkan terpendamnya kegeraman dan menimbulkan kemarahan pada umat Islam.

Kekecewaan dan kemarahan ini dan ditambah pula dengan ketidakupayaan negara-negara Islam untuk melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Sementara sebahagian besar daripada mereka menyerah kepada takdir, sebilangan kecil pula merasakan perlunya melepaskan kegeraman mereka mengikut cara lain.

Mereka ini mungkin terpesong dan mungkin tersilap bertanggapan bahawa mereka melancarkan jihad, iaitu peperangan suci. Mereka mungkin tidak mencapai apa-apa untuk menamatkan masalah mereka.

Malahan mereka mungkin lebih merosakkan perjuangan mereka, dan umat yang seagama dengan mereka, serta kepada Islam sendiri. Tetapi hakikatnya ialah mereka masih marah dan geram dan sanggup bertindak ganas secara dahsyat sekalipun mereka kehilangan nyawa dalam proses itu.

Dunia mesti menangani mereka yang terpesong ini bukan sekadar memburu mereka tetapi juga dengan membasmi punca kemarahan dan kekecewaan mereka.

Di Malaysia kita terpaksa menentang pengganas selama 42 tahun - dari 1948 kepada 1990. Kita memburu mereka dan menghukum mereka. Kita juga mengkaji sebab-sebab kebangkitan mereka. Kita mendapati sebahagian besar daripada mereka adalah orang Cina yang terpinggir kerana tidak diberikan kerakyatan oleh penjajah British. Kebangkitan mereka disokong oleh majoriti masyarakat Cina yang bersimpati dengan mereka dan juga turut terasa terpinggir.

Sejajar dengan itu, selepas mencapai kemerdekaan kerajaan Malaysia memberikan kerakyatan kepada lebih sejuta orang Cina, melindungi mereka, menyediakan tanah bagi mereka, membolehkan mereka meneruskan dengan urusan mereka, dan terbabit secara berkesan dalam kerajaan dan negara.

Inilah apa yang dikatakan oleh kerajaan Malaysia sebagai menawan hati dan minda rakyat. Dan hati masyarakat Cina pun berjaya ditambat.

Secara perlahan-lahan mereka berhenti membantu pengganas, berhenti daripada mengambil anggota baru dan malahan merekalah yang membantu kerajaan memberkas ramai anggota komunis.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan mungkin nampak seperti memujuk mereka. Ia mungkin menggalakkan orang ramai untuk berpaling kepada keganasan untuk mencapai objektif masing-masing. Tetapi dengan menghapuskan kekecewaan dan punca kemarahan mereka, mereka terpaksa mengaku yang perjuangan mereka cuma sia-sia sahaja. Akhirnya mereka meletakkan senjata. Pada hari ini masyarakat Cina di Malaysia mencintai keamanan dan setia kepada negara.

Seandainya pengalaman Malaysia ini boleh dijadikan teladan dalam memerangi keganasan di seluruh dunia, punca kekecewaan pengganas mesti dipertimbangkan. Kita perlu memenangi hati dan fikiran orang yang besar kemungkinan menyokong dan mengamalkan keganasan.

Jurang amat dalam antara golongan kaya dan miskin mestilah dirapatkan selain membasmi kemiskinan, dan syarat ketat yang memaksa semua orang supaya menerima ideologi dan nilai-nilai yang sama harus dilonggarkan dan bagi hal umat Islam penindasan rakyat Palestin dan umat Islam lain serta negara-negara mereka mesti ditamatkan.

Tetapi umat Islam di pelosok dunia harus mengecam keganasan sebaik sahaja takrifnya jelas. Melakukan keganasan bukan cara Islam. Dan pasti sekali membunuh mereka yang tidak bersalah bukanlah ajaran Islam. Walau bagaimana marah dan terbukunya hati, kita harus menunjukkan kepada dunia bahawa umat Islam adalah rasional dalam memperjuangkan hak kita dan kita tidak memilih untuk melakukan keganasan. Kita mesti membantah sekeras-kerasnya terhadap sebarang tindakan mengaitkan umat Islam dengan keganasan semata-mata kerana segelintir kaum Muslimin terbabit dalam keganasan.

Kita mesti menunjukkan yang penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Yahudi dan yang lain-lain juga sama-sama turut bersalah melakukan keganasan. Pengganas mesti dikenal pasti melalui tindak-tanduk mereka, dan tidak lebih daripada itu. Dan sebagai umat Islam yang bertanggungjawab kita mesti menyumbang kepada usaha memerangi keganasan dengan membantu mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan keganasan dan siapa dia pengganas. Dan apabila ini telah dilakukan kita semua boleh berganding bahu dalam memerangi pengganas, sama ada mereka beragama Islam, Kristian, Hindu, ataupun bangsa Yahudi.

Serangan 11 September di New York dan Washington ialah malapetaka yang tidak diundang oleh umat Islam di seluruh dunia. Imej kita yang sudah pun buruk, telah bertambah buruk lagi. Tiada apa yang kita boleh lakukan jika kita semua lemah dan tidak bersatu.

Jika krisis yang melanda dunia Islam hendak diatasi kita mesti bersungguh-sungguh menanganinya. Saya percaya kehadiran anda di sini ialah kerana anda sedar akan bahaya yang kita hadapi. Selagi kita tidak dapat mengalih kemarahan dunia ekoran serangan pengganas pada 11 September menjadi satu kempen sejati terhadap semua pengganas tanpa mengira agama mereka, selagi itulah kita akan dapati tindakan menindas umat Islam akan terus memuncak dan perjuangan kita untuk meringankan kesengsaraan berjuta-juta umat Islam yang tertindas akan gagal.

Kita di sini memikul tanggungjawab terhadap ummah, terhadap Islam dan Allah s.w.t. Marilah kita ketepikan lain-lain persoalan dan sebaliknya berusaha mencapai kata sepakat dalam memerangi kemarahan membabi buta dan kekecewaan serta membuktikan bahawa Islam sebenarnya adalah satu cara hidup yang membawa kesejahteraan dan kecemerlangan kepada ummah dan umat manusia keseluruhannya.

Saya berdoa yang persidangan ini akan berhasil dan semoga Allah s.w.t memberi petunjuk. - Bernama.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi