RENCANA

Utusan Malaysia 14 April 2002

Bagaimanapun ia bukan bukti perlumbaan senjata di Asia Tenggara - Malaysia perkukuh pertahanan

Oleh Aziz Ishak
Tahun 2002 boleh disifatkan tahun durian runtuh bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila kerajaan menyambung semula program utama pemodenan pertahanan dengan pemerolehan beberapa kelengkapan dan persenjataan canggih setelah tertangguh berikutan krisis kewangan pada 1997.

Bermula awal tahun ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan persetujuan kerajaan membeli sistem pelancar roket pelbagai guna (MLRS) dari Brazil yang merupakan antara yang tercanggih di dunia.

Ini diikuti dengan keputusan untuk membeli empat buah kapal selam bagi memantapkan pertahanan maritim setelah hampir 20 tahun ia tergantung di peringkat cadangan.

Setakat ini, kapal selam dari firma DCN Perancis mendahului senarai pilihan setelah melalui proses penilaian TLDM dan keputusan mengenainya akan dimuktamadkan tahun ini.

Tidak lama selepas itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan rancangan kerajaan untuk membeli pesawat pejuang Su-30MK dari Rusia dan kereta kebal tempur utama (MBT) PT-91 dari Poland semasa mengadakan lawatan ke kedua-dua negara berkenaan.

Yang terbaru ialah tujuh perjanjian pembelian dengan kontrak lebih RM2 bilion semasa DSA 2002 termasuk sistem JERNAS daripada firma MBDA UK Ltd. iaitu sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak dekat paling canggih bernilai lebih RM1.188 bilion.

Selain itu, Kementerian Pertahanan sedang merancang untuk memperoleh pelbagai kelengkapan seperti helikopter tempur, sistem radar pengawasan dan peralatan komunikasi canggih, yang kini masih dalam peringkat kajian.

Para pegawai kanan ATM tentunya lega dengan pemerolehan kelengkapan-kelengkapan tersebut kerana sebahagiannya telah lama dicadangkan bagi tujuan perancangan dan percaturan strategik pertahanan yang lebih berkesan tetapi masalah kewangan menjadi hambatan.

Perkembangan rancangan pembelian itu sudah menghampiri kepada matlamat `angkatan impian' bagi ATM tetapi sesetengah pihak merasakannya seakan peningkatan besar-besaran dalam perbelanjaan pertahanan Malaysia.

Bagi pensyarah bebas pengajian strategik dan keselamatan, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Idris Ismail, pemerolehan beberapa kelengkapan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia lebih kepada meneruskan perancangan dan komitmen kerajaan sebelum ini.

``Saya tidak menganggapnya sebagai suatu peningkatan yang besar. Sepatutnya kita sudah lama ingin memiliki kelengkapan tertentu seperti kapal selam sementara ada yang perlu diganti baru seperti kereta kebal ringan Scorpion,'' katanya kepada Mingguan Malaysia.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih belum dibekalkan dengan kapal selam walaupun Malaysia merupakan sebuah negara maritim dan perlu mempertahankan Sea Line Of Communication (SLOC) selain dipisahkan oleh dua wilayah iaitu Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak.

``Sedangkan Singapura yang jauh lebih kecil saiznya dan bukan dianggap negara maritim sudah memiliki empat kapal selam,'' kata Idris.

Pensyarah Pengajian Strategik dan Antarabangsa Universiti Malaya, K.S Balakrishnan pula berpendapat program pembelian terbaru ini lebih menumpukan kepada tentera darat seperti kereta kebal tempur utama, sistem peluru berpandu pertahanan jarak dekat, MLRS dan jambatan taktikal.

``Ini melengkapkan pusingan pembelian untuk ketiga-tiga perkhidmatan ATM,'' katanya merujuk kepada program pembelian untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan TLDM.

Antara kelengkapan utama yang diperoleh oleh TUDM pada dekad 1990-an ialah pesawat pejuang Hawk, MiG-29, F-18 manakala kapal friget bagi TLDM selain kapal-kapal peronda yang telah ditempah.

Kedua-dua penganalisis pertahanan itu juga sependapat bahawa rancangan pemerolehan dan perjanjian pembelian terbaru ini tidak boleh dilihat sebagai senario perlumbaan senjata kerana ia tidak bersifat mendadak dan melibatkan peratusan perbelanjaan yang kecil.

``Lagipun Malaysia belum pernah melepasi lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk perbelanjaan ketenteraan,'' kata Balakrishnan.

Perbelanjaan ketenteraan Malaysia ialah sebanyak 2.5 peratus daripada KDNK tetapi masih kecil berbanding negara lain termasuk Singapura.

Singapura membelanjakan hampir 6 peratus daripada KDNK dan merupakan negara terkuat dari segi ketenteraan di Asia Tenggara. Pada tahun 1998 ketika peruntukan ketenteraan banyak negara termasuk Malaysia dikurangkan, Singapura memperuntukkan AS$4.3 bilion untuk ketenteraan.

Najib telah menjelaskan perbelanjaan ketenteraan Malaysia yang terbaru ini kepada Menteri Pertahanan Kedua Singapura Teo Cheen Hean semasa DSA 2002, yang dalam reaksi awalnya menyatakan republik itu memahami situasi Malaysia.

Mengulas perkara yang sama, Najib menyatakan pembelian beberapa kelengkapan dan persenjataan canggih untuk ATM tidak harus menimbulkan kesangsian mana-mana negara dan ia bukan bertujuan untuk bersaing apalagi berlumba.

``Perancangan dan pembelian kelengkapan adalah atas keperluan pertahanan negara, bukannya atas faktor negara tertentu. Kesemua ini dilakukan secara berperingkat-peringkat dan bukannya sederap,'' katanya yang telah dua kali menyandang jawatan Menteri Pertahanan.

Bagaimanapun Najib percaya dengan ekonomi kebanyakan negara Asia Pasifik semakin pulih, akan berlaku unjuran kenaikan dalam perbelanjaan pertahanan.

Selain faktor ekonomi, era pasca Perang Dingin dan isu-isu keselamatan yang tidak pernah lenyap menyebabkan negara-negara Asia Tenggara mengkaji semula dasar dan membuat orientasi baru kepada keperluan pemodenan pertahanan masing-masing.

Isu-isu seperti tuntutan bertindih khususnya di Kepulauan Spratly dan hubungan bilateral yang tegang serta sentiasa pasang-surut terus menghantui rantau ini biarpun dinaungi semangat muafakat ASEAN dan Forum Kerjasama Serantau (ARF) khusus bagi keselamatan.

Aliran tersebut turut dipengaruhi dengan tamatnya ancaman subversif gerila komunis di sebahagian negara ASEAN, membolehkan tumpuan beralih daripada menentang insurgensi kepada konsep pertahanan lebih meluas terutama peperangan konvensional.

Faktor yang lebih penting ialah kekosongan kuasa berikutan pengunduran Amerika Syarikat (AS) dari rantau ini yang dikhuatiri akan diambil alih oleh kuasa Asia seperti China dan Jepun selain India yang mempunyai keupayaan armada di Lautan Hindi.

Selaras dengan pengisytiharan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) pada 1971, Asia Tenggara diyakini akan bebas daripada kuasa besar dunia lebih-lebih lagi dengan tamatnya Perang Dingin. Setakat ini, matlamat ZOPFAN masih belum tercapai sepenuhnnya kerana AS masih mempunyai perjanjian ketenteraan dengan Filipina dan Singapura serta pelbagai kerjasama kemudahan dan latihan ketenteraan dengan Malaysia, Indonesia, Thailand dan beberapa lagi negara ASEAN.

Apabila dibangkitkan persoalan ini, Balakrishnan berkata: ``Dalam situasi geostrategik yang begini, negara-negara ASEAN mula memikirkan dasar pemerolehan senjata canggih.''

Program pemodenan di rantau ini didahului jauh ke hadapan oleh Singapura yang merasakan kurang selamat kerana dikelilingi negara rumpun Melayu (Malay World) lebih besar seperti Indonesia dan Malaysia selain dibelenggu mentaliti kiasu dan mentaliti kubu (siege mentality). Ia sedikit sebanyak mempengaruhi negara-negara lain sehingga Filipina yang ketandusan wang terpaksa meningkatkan perbelanjaan pertahanan sebanyak tiga kali ganda di samping mendepani isu keselamatan Kepulauan Spratly.

Malaysia yang bersempadan dengan enam negara ASEAN dan terlibat dalam isu sempadan serta tuntutan bertindih terutama di Kepulauan Spratly yang kesemuanya belum diselesaikan tidak dapat lari daripada melaksanakan program pemodenannya sejak awal 1990-an.

Dalam kerancakan pemodenan ketenteraan di rantau ini khususnya dalam pembinanan kuasa udara (air power), ada juga keputusan yang membimbangkan seperti langkah Thailand untuk membeli aircraft carrier yang boleh dilengkapi 14 helikopter dan pesawat pejuang.

Maka reaksi daripada kalangan negara ASEAN tidak dapat dielakkan seperti juga kenyataan Menteri kanan Singapura Lee Kuan Yew yang seakan mencabar negara jiran supaya menyerang republik itu sebaik sahaja mengumumkan pembelian 100 peluru berpandu jarak sederhana udara ke udara, dua tahun lalu.

Kenyataan Kuan Yew bukan sahaja menimbulkan rasa tidak senang malah meninggalkan kesan tersendiri kepada negara serantau yang kemudian menyaksikan peningkatan kepada trend pertahanan peluru berpandu (missile defence).

Mesejnya ialah jika pun tidak dianggap perlumbaan senjata, persaingan berikutan pemerolehan kelengkapan canggih berlaku dengan sendirinya di kalangan negara serantau.

Bagaimanapun, menurut Balakrishnan, trend tersebut tidak akan meningkat lebih besar dalam tempoh 10 tahun akan datang.

``Ini kerana ia menelan kos yang tinggi dan perubahan teknologi yang amat pesat sehingga senjata yang baru berusia lima tahun sudah tidak relevan lagi,'' katanya.

Pun begitu, seorang lagi penganalisis, Lt. Kol. (B) Abdul Rahman Adam yang banyak membuat kajian mengenai Revolusi Ketenteraan (RMA) iaitu gagasan penguasaan teknologi tinggi yang disesuaikan dengan strategi dan doktrin ketenteraan, percaya masa depan pertahanan sesebuah negara akan dicorakkan oleh pencapaian RMA.

``Jika Malaysia boleh menjayakan RMA maka ATM kita akan lebih kredibel dan bersifat deteren sepenuhnya,'' kata beliau.

Menurut seorang pakar RMA, Mejar Jeneral (B) Dipankar Banerjee, penggemblengan RMA pada masa depan akan lebih memberi impak kepada empat aspek iaitu tahap kesempurnaan misi serangan, peperangan maklumat, peperangan angkasa lepas dan penguasaan manuver.

``Pencapaiannya turut bergantung kepada kemampuan ekonomi, akses dan mengadaptasi teknologi, budaya saintifik, kekuatan industri pertahanan dan pembinaan persepsi ancaman,'' katanya.

Beliau meletakkan Malaysia setaraf dengan Singapura pada kelompok kedua pencapaian RMA di Asia Pasifik, walaupun agak ketinggalan dalam pemilikan senjata canggih berbanding republik itu. Kelompok negara pertama antaranya ialah Jepun, China, Taiwan, Australia, India dan Korea Selatan sementara Thailand, Indonesia dan beberapa lagi negara dalam kelompok ketiga.

Tetapi cabaran lebih besar, menurut seorang sarjana James F. Dunnigan dalam bukunya Digital Soldiers, ialah wang yang banyak diperlukan untuk membiayai ketenteraan moden supaya tidak berlaku seperti kejatuhan Kesatuan Soviet.

Bekas pemimpin Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev membuat perakuan yang hampir sama bahawa kuasa besar itu tidak lagi mampu menguruskan tentera bertaraf kelas satu dengan ekonomi kelas tiga.

Itulah juga masalah yang menanti kebanyakan negara termasuk Malaysia, yang dari segi idealnya memerlukan RM9 bilion setahun untuk pertahanan. Maka kecemerlangan ekonomi harus menjadi tuntutan utama dan ia mesti dijayakan oleh semua peringkat rakyat, parti-parti politik tanpa mengira ideologi dan badan-badan bukan kerajaan.

Apa pun, pembelian beberapa kelengkapan terbaru untuk ATM akan memberi dimensi baru kepada pertahanan negara supaya Malaysia tidak boleh diambil mudah oleh sesiapa sahaja yang bermuslihat jahat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi