RENCANA

Utusan Malaysia 08 April 2002

Johor sedia bersaing dengan Singapura

Oleh: AZNAN BAKAR (Wartawan Utusan)
JOHOR bakal keluar dari bayang-bayang Singapura untuk menjadi pusat pengangkutan perdagangan utama di rantau ini apabila hasrat kerajaan mengintergrasikan tiga sistem pengangkutan utama iaitu laut, darat dan udara menjadi kenyataan.

Walaupun kedudukannya di selatan Semenanjung dilihat sebagai bertuah kerana berjiran dengan Singapura yang dikatakan dapat membantu pembangunan negeri ini dalam pelbagai bidang, namun ia tidak semudah yang disangka.

Berdekad lamanya kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Pusat menyusun dan merangka strategi untuk menjadikan Johor sebagai koridor ekonomi serta hub kepada sistem pengangkutan bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau ini.

Usaha itu nampaknya semakin menampak hasil apabila Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang baru memasuki tahun ketiga operasinya telah muncul sebagai pelabuhan terbesar di negara ini dari segi pengendalian kontena.

PTP yang lebih merupakan pelabuhan pindah muat kapal mengendalikan lebih dua juta TEU (unit berukuran 20 kaki) kontena pada tahun lalu.

Malah kejayaannya menarik dua gergasi perkapalan dunia iaitu Maersk Sealand dan Evergreen Corp untuk memindahkan operasi mereka dari pelabuhan Singapura ke PTP, dilihat sebagai keupayaannya untuk memberikan saingan kepada pelabuhan-pelabuhan dunia yang lain.

Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, Johor kini bersedia untuk bersaing terutama dengan Singapura dalam industri pengangkutan kargo perkapalan.

Katanya, setelah sekian lama hanya berperanan sebagai `pelengkap' kepada industri negara jiran itu, kini tiba untuk pelabuhan negeri ini untuk turut sama sebagai pemain utama.

``Kita tidak akan lagi menjadi pelengkap, kita kini dalam masa yang tepat untuk bersaing,'' kata beliau.

Kerajaan negeri begitu yakin untuk bersaing kerana mempunyai kelebihan dan mampu menawarkan pakej menarik seperti mana yang ditawarkan oleh negara jiran itu.

``Kesimpulannya, kita lebih berdaya saing dari segi kos,'' tegas Abdul Ghani.

Selain kemudahan asas, sumber semula jadi yang banyak di Johor menyumbang kepada kemajuan industri pengangkutan kargo perkapalan di negeri ini.

Semua itu memberi kelebihan kepada pelabuhan di negeri ini terutama PTP untuk muncul sebagai pelabuhan terkemuka.

``Johor juga mempunyai beberapa kelebihan untuk bersaing dengan pelabuhan di Singapura terutamanya kedudukan strategik di Selatan Semenanjung yang mendekatkan perjalanan perdagangan laut di antara Hong Kong dan India di samping dekat dengan pusat perdagangan, Singapura,'' kata beliau.

Malah kedudukan PTP di laluan paling sibuk di dunia juga merupakan kelebihan di samping sokongan kerajaan melalui pelaburan untuk meningkatkan rangkaian infrastruktur.

Dalam usaha merealisasikan Johor sebagai gerbang pengangkutan utama di Malaysia, ia turut disokong dengan pelaburan oleh pihak kerajaan untuk mempertingkatkan rangkaian infrastrukturnya.

Oleh itu kejayaan PTP itu tidak dibiarkan bersendirian sebaliknya ia disokong oleh kemudahan pengangkutan darat dan udara. Pelabuhan itu turut dihubungkan dengan satu rangkaian lebuh raya serba moden yang mana kontena yang perlu dihantar ke Singapura hanya mengambil masa 15 minit sahaja untuk ke negara jiran itu melalui Laluan Kedua.

Laluan kedua pula dihubungkan terus dengan Lebuh Raya Utara Selatan serta Lebuh Raya Pasir Gudang yang menghubungkan terus ke satu lagi pelabuhan di Johor iaitu Pelabuhan Pasir Gudang.

Kerajaan negeri sendiri telah merancang dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) untuk menghubung setiap daerah di negeri dengan sistem lebuh raya yang serba lengkap terutama di bahagian pantai timur negeri ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut membantu melengkapkan prasarana di PTP dengan membangunkan sistem rel yang menghubungkan pelabuhan itu dengan rangkaian rel utama negara.

Projek bernilai RM500 juta melibatkan jarak sejauh 31.5 kilometer melibatkan sambungan rel dari PTP ke Kulai.

Sistem rel ini menyediakan satu lagi alternatif pengangkutan kepada pelanggan-pelanggan PTP untuk mengangkut kontena mereka sama ada ke utara hingga ke Thailand atau Singapura di Selatan.

Bagi melengkapkan lagi hasrat menjadikan Johor sebagai pusat pengangkutan bersepadu, kerajaan pusat juga telah bersetuju menjadikan Lapangan Terbang Senai sebagai pusat hub-kargo selatan Malaysia.

Menurut Abdul Ghani, semua itu akan menjadikan Johor sebagai lokasi yang strategik untuk menguasai perdagangan di rantau ASEAN.

``Dengan kemudahan infrastruktur dan perhubungan darat, air dan udara yang baik, pusat ini dijangka dapat memberi kesan pertumbuhan kepada ekonomi Johor,'' katanya.

Melalui kemudahan yang bertaraf dunia itu juga, ia bukan sahaja mempercepatkan usaha menjadikan Johor sebagai pusat pengangkutan serantau tetapi juga dapat menarik peluang-peluang perniagaan baru.

Pada tahun lalu misalnya Johor telah meluluskan 180 projek bernilai RM2.45 bilion yang melibatkan pelaburan dari dalam dan luar negara. Ini menjelaskan bahawa walaupun ekonomi negara belum pulih sepenuhnya daripada kesan kegawatan ekonomi, Johor melalui rangkaian infrastrukturnya berjaya menarik pelaburan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduknya tetapi juga negara.

Bagaimanapun seperti kata Abdul Ghani, dalam suasana mengejar pembangunan ancaman-ancaman baru sama ada dalam bentuk ekonomi atau politik tidak boleh diketepikan.

Ketika ekonomi dunia berhadapan dengan ketidakpastian dan ketidaktentuan kerja keras amat penting jika ingin terus kekal untuk bersaing dalam era globalisasi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi