RENCANA

Utusan Malaysia 09 April 2002

Manfaat bahasa tambahan

Bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa rasmi dalam sistem pendidikan negara. Hasil daripada pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara yang dibentuk pada awal tahun negara mencapai kemerdekaan iaitu dalam usaha membentuk identiti sebuah negara bangsa maka kita melihat generasi muda kita mampu bertutur dalam bahasa Melayu yang baik.

Sebagai sebuah bangsa yang sedang mengorak langkah menuju kepada status negara maju, pengetahuan dalam bahasa-bahasa lain seperti bahasa Mandarin, Tamil dan Arab malah Perancis atau Jerman adalah satu aset dan bonus yang berharga kepada para pelajar kita.

Pada masa ini, hanya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris menjadi mata pelajaran teras bagi para pelajar yang mengikuti pengajian di sekolah-sekolah rendah hingga ke peringkat menengah dan seterusnya ke peringkat pengajian tinggi.

Sehubungan itu, cadangan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan satu mata pelajaran baru iaitu Bahasa Tambahan terdiri daripada bahasa Mandarin, Tamil dan Arab sebagai mata pelajaran pilihan sudah tentu dianggap langkah positif yang patut mendapat sokongan daripada setiap pihak terutama ibu bapa.

Sebenarnya, pada masa ini pun, mata pelajaran bahasa Mandarin, Tamil dan Arab sememangnya ada ditawarkan kepada para pelajar sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah sebagai mata pelajaran bahasa ibunda. Jika ada pelajar Melayu ingin mempelajari bahasa Mandarin, Tamil atau Arab mereka mengikutinya secara sukarela.

Tetapi ia bukanlah sebagai mata pelajaran pilihan, cuma sekadar untuk mengisi masa terluang. Maknanya, pelajar boleh mengikutinya jika mereka berminat. Dan subjek ini diajar selepas tamat waktu persekolahan rasmi.

Biasanya ia tidak mendapat sambutan daripada para pelajar kerana beban pembelajaran yang sedia ada sudah menuntut banyak masa dan tenaga mereka.

Oleh itu kita berpendapat, jika Kementerian Pendidikan mahu melaksanakan mata pelajaran Bahasa Tambahan, ia mestilah diajar dalam tempoh waktu pembelajaran rasmi seperti mana subjek-subjek teras demi keberkesanannya.

Penilaian dari segi gred juga mestilah diberikan. Jika tidak, kita khuatir ia tidak akan mendorong atau merangsang para pelajar untuk mengikutinya dengan penuh tumpuan. Apa yang berlaku dengan pencapaian rendah mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam adalah bukti jelas bahawa para pelajar tidak begitu mengambil hirau dari segi pencapaian.

Kita khuatir jika kelas Bahasa Tambahan diajar selepas waktu rasmi persekolahan, ia akan memberi banyak kesan sampingan dari segi pengurusan pengangkutan khususnya bas sekolah dan ibu bapa yang akan mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah. Kita tidak menafikan manfaat yang bakal diperoleh oleh para pelajar yang mengikuti kelas Bahasa Tambahan ini kerana penguasaan apa-apa bahasa pun akan menjadi seseorang itu lebih versatil apabila mereka keluar dari alam persekolahan dan memasuki dunia pekerjaan.

Perancangan yang teliti perlu dibuat dengan mengambil kira waktu dan lain-lain aspek positif dan negatif sebelum ia dilaksanakan dan kita percaya jika ia dilaksanakan selepas satu kajian yang rapi dibuat, maka hasilnya akan terserlah dan menguntungkan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi