RENCANA

Utusan Malaysia 09 April 2002

Rogol didorong naluri ganas

Oleh NOOR AZAM SHAIRI
(Wartawan Utusan)
TIDAK sulit untuk kita memahami kenapa cadangan kerajaan mahu mengkaji Kanun Keseksaan dengan hasrat mahu mengetatkan hukuman ke atas salah laku jenayah seksual setelah mendapat reaksi positif yang cukup hangat daripada pelbagai pihak.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik cadangan itu bukan saja kerana melihat trend semasa yang membimbangkan, selebihnya kerana isu itu telah mereka bangkitkan sejak 16 tahun lalu.

Tempoh itu boleh dianggap sebagai satu jangka masa yang agak panjang tetapi bagi orang berjuang seperti aktivis NGO, apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan itu adalah buah manis perjuangan mereka yang tidak mengenal putus asa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan bercadang mahu menaikkan hukuman ke atas pesalah sumbang mahram dan kesalahan rogol gadis bawah umur.

Kanun Keseksaan itu baru saja dipinda bagi mengenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan ke atas pesalah jenayah sumbang mahram tetapi Abdullah ada pandangan yang lain tentang itu.

Beliau melihat perkembangan sejak kebelakangan ini sebagai sesuatu yang cukup membimbangkan sehingga memberikan gambaran keganasan sumbang mahram kini semakin menjadi-jadi.

Sebenarnya cadangan untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan jenayah seksual itu bukan saja baru dikemukakan sekarang.

Tidak lama selepas pindaan ke atas Kanun Keseksaan itu dikemukakan ke Parlimen pada pertengahan tahun lalu pun masalah itu sudah disuarakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim ketika itu dipetik berkata, kerajaan akan melihat cadangan-cadangan itu sungguhpun undang-undang berkenaan baru saja dipinda.

Dalam reaksi terbarunya bagi mengulas cadangan Abdullah itu, Rais berpendapat hukuman sumbang mahram yang sedia ada seperti yang baru dipinda tahun lalu itu sudah memadai.

Bagaimanapun katanya, hukuman baru yang lebih berat itu - penjara minimum enam tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan sehingga 24 kali - belum lagi dikenakan oleh mahkamah.

Dalam memberikan pandangannya, Rais tidak menolak seratus peratus apa yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri.

anan

Apa yang dikatakan oleh Rais adalah sebarang pindaan hendaklah dibuat hanya setelah mengambil kira keberkesanan undang-undang yang baru dipinda tahun lalu.

Kita boleh bercanggah pendapat tentang setimpal atau tidaknya bentuk hukuman yang dikenakan. Namun tiada siapa yang dapat berbalah bahawa dua kesalahan seksual itu - sumbang mahram dan rogol bawah umur - adalah jenayah yang paling keji, terkutuk dan tidak boleh dimaafkan dengan mudah.

Masyarakat mudah tersentuh dengan berita jenayah seksual yang selalu menjadi tajuk berita sejak kebelakangan ini. Apatah lagi kalau mangsanya melibatkan kanak-kanak - ada yang seawal usia 4 tahun - yang terlalu mentah dan tidak memahami apa-apa.

Malah bukan orang biasa saja, hakim pun kecewa dengan undang-undang yang ada. Hakim R.K. Nathan ketika menolak satu rayuan seorang pesalah rogol bawah umur di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang akhir tahun lalu mencadangkan supaya kesalahan rogol dikenakan hukuman kembiri.

Cadangannya itu menimbulkan debat yang panjang di akhbar. Ada yang bersetuju tetapi ada juga yang membantah. Pada akhirnya, pandangan mereka yang membantah itu terasa lebih waras dan berasas.

Kalau ingatan kita baik, kita tentu sedar bahawa hampir setiap kali akhbar melaporkan kejadian rogol bawah umur atau sumbang mahram, hampir setiap kali itulah masyarakat kita berdebat tentang hukuman ke atas pesalahnya.

Bagaimanapun apa yang disuarakan oleh mereka tentang hukuman yang dirasakan tidak memadai itu tidak boleh ditolak begitu saja. Suara mereka itu adalah suara kemanusiaan yang simpati dengan nasib mangsa dan marah kepada kegilaan pemangsa.

Tetapi mereka tentu tidak dapat mengelak daripada bertanya, kalau hukuman yang ada sekarang itu tidak memadai kenapa ia mahu dipinda lagi sedangkan ia baru saja dipinda sebelum ini?

Tidak dapat tidak, ia hanya memberikan satu gambaran bahawa pindaan yang dilakukan pada tahun lalu itu dibuat berasaskan satu kajian yang tidak cukup masak.

Oleh itu, barangkali apa yang wajar dilakukan sekarang ialah membuat satu kajian terperinci tentang jenayah seksual di negara ini sebagai langkah pertama untuk memperkemaskan undang-undang yang sedia ada.

Mungkin kajian yang melibatkan NGO, ahli psikologi, pendidik, pakar undang-undang serta tokoh masyarakat, dan bukan hanya melibatkan segelintir elit boleh menjadi panduan untuk kita memperkemaskan undang-undang jenayah seksual.

Pada masa yang sama, kita harus sedar bahawa rogol dan sumbang mahram bukanlah satu kesalahan yang digerakkan oleh naluri seks semata-mata.

Kebanyakan pengkaji tentang rogol seperti Nicolas Groth dan Jean Birnbaum dalam buku mereka Men Who Rape: The Psychology of the Offender (1979) misalnya, menyifatkannya sebagai satu tindakan ganas yang menjadikan seks sebagai saluran melepaskan keganasan itu.

Oleh itu, ia dianggap bukan lagi satu jenayah seksual tetapi jenayah keganasan. Apabila kita menerima ia sebagai satu jenayah keganasan, kita juga perlu diingatkan bahawa tidak semua manusia dilahirkan dengan ciri-ciri untuk menjadi ganas.

Satu kajian di Amerika Syarikat yang dibuat pada tahun 1969 menunjukkan bahawa keganasan dalam masyarakat negara itu berpunca daripada faktor luaran, terutamanya tekanan ekonomi dan kehidupan moden yang pantas berubah.

Hukuman ke atas pesalah jenayah rogol dan sumbang mahram yang dirasakan tidak setimpal dan dicadang mahu ditingkatkan sekarang adalah satu daripada pelbagai aspek undang-undang salah laku seksual.

Memahami jenayah rogol sebagai satu budaya keganasan dalam masyarakat adalah satu perkara yang lain pula.

Kalau kita menerimanya sebagai satu budaya keganasan, kita tentu akan dapat memahami segala cabang budaya lain yang ada kaitan dengan jenayah rogol dan sumbang mahram itu.

Hanya dengan memahami jenayah rogol dan sumbang mahram itu sebagai satu budaya keganasan dan berkait dengan pelbagai cabang budaya lain saja, kita akan dapat menangani masalah sosial yang makin mendesak dan membimbangkan itu.

Kita belum terlalu lewat untuk melakukan itu, dan kita ada contoh yang boleh dipelajari.

United Kingdom misalnya baru saja dalam masa dua tahun lalu menerbitkan satu kajian terperinci yang dibuat untuk mengemaskan undang-undang salah laku seksual di negara itu.

Ia meluaskan takrifan sumbang mahram sehingga mencakupi rogol yang dilakukan oleh saudara tiri dan oleh orang yang ada kuasa di dalam rumah atau merogol anak angkat.

Maknanya sumbang mahram di UK sekarang tidak lagi terikat kepada pertalian darah tetapi telah diberi satu tafsiran moden yang lebih melindungi bakal mangsa.

Begitu juga dengan kesalahan rogol bawah umur. Kertas cadangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negerinya itu juga mencadangkan hukuman penjara seumur hidup ke atas pesalah rogol kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.

Kertas cadangan itu turut menyentuh isu kerelaan dalam kesalahan rogol yang melibatkan mangsa di bawah umur berikutan satu kes penting baru-baru ini yang tidak lagi menjadikannya sebagai satu kesalahan berkanun (statutory offence).

Kalau kita bersedia untuk meminda hukuman sedia ada untuk kali kedua dalam masa setahun dua ini, biarlah pindaan kali ini kita lakukan dengan mengambil kira segala kekurangan dalam undang-undang jenayah seksual itu.

Ini termasuk soal perlindungan dan sokongan moral ke atas mangsa, yang selama ini dikenal pasti sebagai faktor yang menghalang mangsa tampil membuat aduan.

Kajian itu tentulah tidak terlalu sukar memandangkan kita ada NGO yang telah 16 tahun menyuarakan tentang betapa tidak bertaringnya undang-undang jenayah seksual yang ada di negara ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi