RENCANA

Utusan Malaysia 13 April 2002

Ajar Israel dengan minyak

Oleh Zin Mahmud
(WARTAWAN UTUSAN)
Iran akan menghentikan eksport minyak mentahnya jika sebuah lagi negara Islam berbuat demikian.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Minyaknya, Bijan Zananeh pada Isnin lalu apabila ditanya sama ada republik Islam itu akan mengikut jejak Iraq.

Tetapi sehingga kini tidak ada negara Islam lain yang menghentikan eksport minyak. Arab Saudi sebagai negara pengeluar minyak terbesar dalam Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) telah menyatakan tidak akan menggunakan minyak sebagai senjata. Iran adalah negara pengeluar minyak kedua terbesar dalam OPEC.

Sebelum ini Kuwait merupakan negara pertama yang menolak cadangan Iraq untuk menggunakan minyak sebagai senjata.

Jadi sehingga kini hanya Iraq yang mengisytiharkan hendak menghentikan eksport minyaknya untuk jangka waktu sebulan. Iraq adalah negara yang mempunyai rizab minyak ketiga terbesar di dunia.

Walaupun banyak pihak termasuk pemimpin Amerika Syarikat (AS) memandang ringan terhadap tindakan Iraq itu dengan menyifatkannya sebagai tidak berkesan tetapi Setiausaha Agung OPEC, Ali Rodriguez mengingatkan dunia bahawa tindakan Baghdad itu boleh mencetuskan suatu krisis minyak.

Menurut Financial Times, Iraq yang mengeksport dua juta tong minyak mentah sehari merupakan pembekal keenam terbesar kepada AS.

Presiden Iraq, Saddam Hussein menyatakan bahawa pemberhentian eksport minyak itu adalah untuk tempoh 30 hari. Sampai waktu itu, Baghdad akan menyemak semula keputusannya. Tetapi jika Israel berundur dari semua wilayah Palestin, maka eksport akan disambung semula.

Saddam menegaskan bahawa sasaran tindakannya itu ialah Israel dan AS. Tidak kepada pihak-pihak lain, yang dimaksudkannya ialah negara-negara Eropah.

OPEC yang menegaskan bahawa sekatan minyak bukan polisi mereka telah mengumumkan bahawa tidak akan ada penambahan pengeluaran bagi menampung kekurangan yang terwujud akibat pemberhentian eksport minyak Iraq.

Bagaimanapun, menurut Financial Times, jika berlaku pun krisis minyak, ia bukan berpunca daripada tindakan Iraq semata-mata. Ia juga berkaitan dengan pengurangan eksport minyak Venezuela yang menghadapi tindakan mogok pekerja minyak. Venezuela merupakan pembekal minyak ke AS yang keempat terbesar dengan eksport 1.281 juta tong minyak sehari.

Di London dan New York, harga masa depan minyak mentah naik mendadak.

Walaupun Washington cuba meremehkan ancaman krisis minyak ini, tetapi Presiden George W. Bush dipercayai amat mengambil perhatian berat terhadap isu ini. Ini kerana politiknya berkisar kepada soal polisi minyak.

AS merupakan negara yang menggunakan 25 peratus daripada minyak di pasaran dunia, sedangkan ia hanya mempunyai tiga peratus rizab bahan itu.

Kuasa besar itu sedar bahawa ia amat bergantung kepada minyak dari luar negaranya. Maka salah satu cara untuk mengurangkan pergantungannya itu, pentadbiran Bush memberikan insentif AS$15 bilion kepada industri minyak AS untuk mencari pengeluaran minyak baru dalam negara itu. Ini merupakan tambahan kepada AS$15 yang telah diberikan.

Sehubungan itu, Bush juga membenarkan usaha cari gali sumber minyak baru di Alaska khususnya kawasan Perlindungan Kehidupan Liar Nasional Artik (ANWR) yang dikecam oleh parti Demokrat dan pencinta alam sekitar. Ini bermakna AS terpaksa mengorbankan alam sekitarnya untuk mengurangkan pergantungannya kepada minyak negara luar.

Menurut Christian Science Monitor, jika sekatan bekalan minyak ini benar-benar dilakukan oleh negara-negara Islam yang menganggotai OPEC, maka kesannya serius.

Memetik analisis ahli-ahli ekonomi, akhbar itu menyatakan bahawa sepanjang enam bulan lalu pun harga minyak berada pada kedudukan tinggi iaitu AS$28 setong. Hanya dengan peningkatan AS$30 setong, sudah akan berlaku `kejutan minyak'.

Bagaimanapun, sebarang kesan tidaklah sebesar seperti yang berlaku dalam sekatan minyak negara-negara Arab pada tahun 1973.

Semasa Perang Ramadan yang mana dunia menyaksikan usaha negara-negara Arab khususnya Mesir, Syria dan Jordan hendak membebaskan wilayah-wilayah mereka yang diduduki Israel, minyak digunakan sebagai senjata pada 16 Oktober 1973.

Mula-mula minyak naik harga sebanyak 70 peratus, kemudian 128 peratus. Tidak ada negara di dunia yang terkecuali daripada krisis minyak ini.

Negara yang paling teruk terkena pukulan adalah negara-negara miskin di Afrika dan Asia. Di Eropah, catuan terpaksa diadakan. Gejala ini membawa kepada stagflasi, sesuatu yang tidak pernah dijangka oleh ahli-ahli ekonomi.

Menurut ahli sejarah, Peter Watson, sebelum perang itu, purata kadar pertumbuhan di Barat ialah 5.2 peratus, iaitu mengatasi purata kenaikan harga iaitu 4.1 peratus. Selepas sekatan minyak itu, pertumbuhan jatuh hingga ke sifar, malah negatif. Tetapi sebaliknya inflasi meningkat 10 ke 12 peratus.

Menurut ahli sejarah, Paul Johnson, peristiwa itu merupakan tamparan ekonomi paling buruk kepada dunia sejak tahun 1945.

Watson berpendapat walaupun negara-negara Islam menggunakan senjata minyak untuk melawan Israel, tetapi mereka tetap kalah dan terus kehilangan wilayah kerana AS datang membantu negara Zionis itu.

Tetapi kini sudah berlaku banyak perubahan hingga tidak memungkinkan gejala krisis minyak tahun 1973 itu berulang.

Pertamanya, OPEC tidaklah bersatu seperti dahulu. Sementara Arab Saudi mengalami pukulan ekonomi daripada tindakannya itu. Selain itu, akibat pengalaman tahun 1973, AS kini mempunyai minyak simpanan dan rancangan bagi menangkis kesan sekatan minyak.

Negara-negara Arab belum bersedia untuk bersatu menggunakan senjata minyak. Menurut seorang pakar runding Arab, jika Yasser Arafat dibunuh Israel, keadaan krisis mungkin berlaku. Sekatan minyak tidak akan mendatangkan kesan kerana hanya ada satu pasaran minyak iaitu New York Mercantile Exchange.

Pasaran ini memastikan walaupun mana-mana negara menghentikan eksportnya ke AS, akhirnya minyak itu akan tiba juga melalui laluan ketiga. Umpamanya walaupun Iraq menghentikan eksportnya ke AS, ia tidak akan mendatangkan kesan kecuali jika Baghdad menghentikan pengeluaran.

Walaupun kalau berlaku satu sekatan minyak oleh negara-negara Islam, harga minyak akan naik di AS, tetapi bekalan tetap ada.

Kalau pada tahun 1973, OPEC mengeluarkan 70 peratus daripada minyak dunia. Kini, terdapat negara-negara pengeluar bukan OPEC seperti Kanada, Rusia dan Mexico. OPEC hanya mengeluarkan 40 peratus daripada minyak dunia.

AS bagaimanapun telah meningkatkan pergantungannya pada minyak asing. Pada tahun 1973, AS mengimport 36 peratus daripada keperluannya. Kini ia mengimport lebih daripada 56 peratus. Pergantungan AS pada negara-negara Timur Tengah telah meningkat.

Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA), sebuah unit dalam Jabatan Tenaga AS, Teluk Parsi menyumbang kepada 25 peratus import minyak AS. Arab Saudi sendiri membekal 15 peratus daripada angka itu.

Dapatlah difahami mengapa AS mahu menundukan Iraq dan menempatkan tenteranya di Arab Saudi dan kawasan Teluk Parsi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi