RENCANA

Utusan Malaysia 13 April 2002

Bertindak halang sumbang mahram

Mengikut keterangan para ulama bahawa nafsu merupakan sejenis makhluk Allah yang dijadikan untuk menjadi komponen kepada kehidupan manusia dan haiwan. Ia tidak diberikan kepada para malaikat. Justeru malaikat tidak mempunyai keinginan nafsu sama sekali.

Untuk mengimbangi kehendak nafsu itu Allah menganugerahkan kepada manusia akal fikiran. Tugasnya antara lain adalah untuk mencernakan segala maklumat dan menapisnya untuk dipilih yang mana terbaik bagi digunakan dalam kehidupan sosial manusia.

Manakala haiwan-haiwan pula tidak langsung dikurniakan akal fikiran kepada mereka. Dengan sebab itu semua tindak-tanduk mereka hanya berasaskan kepada tuntutan nafsu semata-mata.

Maka di sinilah letaknya garis pemisah antara ketiga-tiga jenis makhluk Allah itu. Ia bukan sahaja menjadi angkubah kepada bentuk kejadian ketiga-tiga makhluk Allah itu tetapi juga kepada status kejadian itu sendiri.

Dalam hal ini secara logiknya status manusia tentulah lebih baik daripada makhluk yang lain kerana mereka dikurniakan akal dan nafsu dan agama untuk dianuti supaya seluruh kehidupan mereka dikawal melalui peraturan agama.

Di samping itu, oleh kerana manusia itu dikurniakan akal fikiran, Allah membekalkan mereka agama untuk dianuti. Dalam agama ada tertulis peraturan yang perlu dipatuhi sejajar dengan kejadian manusia yang mengandungi dua unsur penting iaitu akal dan nafsu.

Dalam konteks ini sumbang mahram adalah antara beberapa isu yang terang-terang menyalahi tuntutan semula jadi kejadian manusia. Dalam apa pun keadaan yang dikaitkan dengannya, nyata sekali bahawa perlakuan tersebut amat memalukan.

Akal yang waras dan apa lagi kepercayaan yang kukuh dalam mana-mana anutan agama, maka perlakuan seumpama itu tidak boleh diterima sama sekali dalam nilai kehidupan sebenar manusia sejagat.

Oleh itu cadangan kerajaan untuk meminda Kanun Keseksaan bagi kesalahan sumbang mahram dan rogol itu supaya hukuman ke atas pesalah bagi kedua-kedua kes tersebut ditingkatkan kadar minimum penjara dan juga dikenakan sebatan adalah sesuatu yang cukup relevan dan logik.

Langkah kerajaan itu sudah tentu bukan sahaja untuk melindungi mangsa tetapi nampaknya ia lebih daripada itu, iaitu untuk memelihara kesucian kejadian semula jadi manusia itu sendiri.

Di samping menguatkuasakan undang-undang yang lebih berat, aspek-aspek lain juga perlu dilihat. Mungkin aspek-aspek pendidikan agama dan moral di semua lapangan kehidupan seperti di institusi pendidikan, institusi keluarga, institusi kemasyarakatan, keagamaan dan sebagainya.

Pengabaian aspek pendidikan moral dan agama juga mungkin menjadi salah satu faktor penyumbang kepada perlakuan yang menjijikkan itu. Satu mekanisme baru perlu dicari agar pendidikan moral dan agama menjadi perkara penting dalam kehidupan manusia sekarang.

Program ke arah pendidikan keibubapaan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa di semua peringkat dan sektor sosial dan ekonomi. Ia boleh diterapkan melalui program yang direncanakan seperti menerusi kurus-kursus tertentu atau menerusi penyiaran media massa.

Penerapan nilai-nilai agama dan moral tidak seharusnya disalurkan hanya melalui ceramah agama, khutbah di masjid, atau forum agama yang diadakan di seluruh negara tetapi nilai-nilai tersebut mungkin boleh disalurkan melalui papan-papan iklan yang boleh dipasang di merata-rata tempat strategik di tepi lebuh raya, jalan raya, dalam bandar dan sebagainya.

Ia perlu dilaksanakan dalam bentuk kempen yang berterusan. Peranan itu boleh diambil oleh agensi-agensi yang berwibawa dalam bidang pendidikan moral dan keagamaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lain-lain seumpamanya.

Mesej-mesej yang dikirimkan itu, paling tidak pun dapat mengingatkan kesedaran anggota masyarakat terhadap kejijikan perbuatan tersebut. Kehidupan manusia memerlukan peringatan yang berterusan agar mereka tidak terlupa atau lalai daripada melakukan sesuatu yang baik atau meninggalkan sesuatu yang tidak baik.

Dengan cara itu, dan mungkin banyak cara lain lagi, saya yakin masyarakat kita dapat menghindari atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan gejala besar ini, di samping kita memperkukuhkan pelbagai hukuman dalam bentuk undang-undang. - SALLEH SAAD, Pendang, Kedah.

Kirim pendapat anda melalui faks 03-92239854

atau pendapat@utusan.com.my

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi