RENCANA

Utusan Malaysia 14 April 2002

BISIK-BISIK MINGGUAN -- AWANG SULUNG

Mampukah Malaysia - Singapura berperang?
MUHYIDDIN Yassin mendedahkan bahawa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, dalam satu rundingan rasmi menegaskan bahawa negaranya sedia berperang dengan Malaysia jika bekalan air dari Johor dihentikan.

Bagaimanapun Muhyiddin yang ketika itu Menteri Besar Johor tidak pasti sama ada Kuan Yew serius atau sekadar bergurau.

Pada hemat Awang, dia tidak bergurau. Pun begitu, dia bukanlah hendak berperang. Mesej yang hendak disampaikan ialah betapa pentingnya bekalan air Johor kepada Singapura.

Dalam ruangan ini pada 9 September tahun lalu, Awang ada menulis sepucuk surat terbuka kepada Lee Kuan Yew (lihat sebelah). Antara yang Awang sentuh ialah tentang perang Malaysia-Singapura. Awang ada menyebut kalau Singapura hendak berperang, marilah kita berperang.

Hari ini, hal perang dengan republik itu kedengaran lagi bila tercetus isu baru - penambakan laut. Tapi kali ini dibangkitkan oleh segelintir rakyat Malaysia yang menjadi emosional.

Mereka itu, yang tidak memahami sepenuhnya permasalahan yang dihadapi, mahu kerajaan menghentikan bekalan air dan mengambil tindakan bercorak konfrontasi.

Awang pernah mendengar tentang apa yang disifatkan sebagai rancangan perang Singapura. Di bawah rancangan itu, Singapura akan menggunakan kekuatan udaranya untuk menyerang Johor bagi menguasai instalasi air dan kemudian bertahan di situ. Mungkin inilah maksud Kuan Yew.

Cerita ini bukanlah rahsia. Ramai rakyat Malaysia bercakap tentangnya. Mereka juga suka bercakap tentang kehebatan tentera Singapura dan tentang bermacam-macam lagi kehebatan republik itu. Memang orang kita begitu - bangga dengan kehebatan orang sehingga terlupa menghargai apa yang kita miliki. Mentaliti ini telah membuat sesetengah daripada kita berasa kecil diri.

Sebenarnya, kita tidaklah berada dalam kedudukan di mana kita sudah tidak lagi mampu untuk berdepan dengan Singapura. Bagi Awang, tingkah laku Singapura kebelakangan ini lebih merupakan tingkah laku orang yang resah kerana mula berasa tertekan. Pembangunan di Malaysia semakin hebat - Pelabuhan Tanjung Pelepas, KLIA, pusat kargo Johor, sebagai contoh.

Mungkin betul Singapura mempunyai kelebihan dalam beberapa aspek ketenteraan. Tapi perang tidak membawa sebarang erti jika yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu. Kepimpinan Singapura faham hakikat ini.

Awang tidak fikir rakyat Singapura yang siuman akan menyokong perang. Kuan Yew telah menyediakan kehidupan yang terlalu baik untuk mereka. Nikmat dunia adalah segala-galanya bagi mereka. Sanggupkah mereka kehilangan semua itu dalam perang?

Singapura akan terus provok kita dan memberi gambaran mereka kuat dan sedia berperang. Ini mentaliti negara terkepung. Kita tidak boleh melatah dan masuk perangkap mereka.

Surat terbuka kepada Lee Kuan Yew - Ulangan
Saudara Lee,
Saudara telah datang ke negara saya dua kali dalam masa yang singkat dengan niat baik untuk membantu negara saudara menyelesaikan isu-isu tertangguh yang menjadi duri dalam daging dalam hubungan Singapura-Malaysia.

Ini bukan suatu kebiasaan. Saudara pernah sepuluh tahun tidak jejak bumi Malaysia. Hanya saudara tahu kenapa. Mungkin tidak ada keperluan, agaknya. Tidak mengapa.

Yang penting, usaha saudara telah membuahkan hasil. Semua isu yang menjadi masalah itu terutama sekali isu bekalan air telah dapat diselesaikan. Begitu juga isu penggunaan ruang udara Malaysia oleh Tentera Udara Singapura.

Penyelesaian itu dapat dicapai bukanlah semata-mata kerana usaha saudara atau kerana Singapura semata-mata. Ia dapat dicapai kerana sikap pragmatik Dr. Mahathir Mohamad dan sikap tolak ansur Malaysia.

Saudara menganggap Dr. Mahathir seorang yang tidak boleh diambil mudah dan bukan mudah berunding dengannya. Memanglah. Jika Singapura sering menekan-nekankan bahawa ia akan mempertahankan kepentingannya walaupun terpaksa menggunakan tentera, Dr. Mahathir juga akan mempertahankan kepentingan Malaysia. Bezanya, Malaysia tidak pernah bercakap tentang menggunakan tentera dan kemungkinan perang walaupun Singapura paranoid tentang hal ini.

Saudara Lee,

Saudara juga mendapati lebih sukar berunding dengan Malaysia hari ini berbanding masa lalu. Tentulah. Malaysia hari ini bukan Malaysia yang saudara kenali 30 tahun lalu. Mungkin saudara sendiri tidak dapat mempercayai apa yang saudara lihat di Malaysia hari ini.

Mungkin saudara tidak pernah terbayang bahawa pembangunan Malaysia boleh sampai ke peringkat sekarang dengan masa depan yang begitu fokus menuju 2020. Mungkin saudara tidak terlintas Malaysia mampu membina KLIA dan Menara Kembar Petronas atau Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Mungkin saudara tidak pernah terlintas rakyat Singapura hanya menunggu masa untuk lari dari hutan batu Singapura mencari ketenangan bersama alam semula jadi di Malaysia. Mungkin saudara juga tidak terlintas rakyat Singapura akan berpusu-pusu ke Malaysia untuk membeli-belah dan mengisi tangki kereta setelah sekian lama rakyat Malaysia sanggup tidur dalam bas rombongan untuk membeli-belah di Singapura.

Saudara Lee,

Dulu, Singapura boleh mengambil sikap angkuh semasa berunding dengan Malaysia. Hari ini ia tidak lagi berada dalam kedudukan itu.

Bagi saya, itulah sebabnya semua isu tertangguh itu dapat diselesaikan dalam lawatan kerja saudara kali ini. Singapura akhirnya sedar menangguhkan isu-isu tersebut tidak akan menguntungkannya. Dan saudara sendiri tahu Malaysia mampu menunggu dan tidak perlu tergesa-gesa mencapai penyelesaian itu.

Saya, sebagai rakyat Malaysia yang berpijak di bumi nyata (bukan berkhayal, tidak paranoid) menghargai apa yang telah dicapai antara saudara dengan Perdana Menteri kami.

Sebab itu, saya merasakan adalah tidak wajar bagi saudara cuba mencari sebab lain yang ternyata tidak kukuh untuk menjawab kenapa Singapura tiba-tiba sahaja bersetuju dengan apa yang ia tidak mahu setuju selama ini.

Ketakutan saudara akan kemungkinan Malaysia diperintah oleh parti lain yang akan menyukarkan lagi rundingan dengan Singapura tidak kelihatan seperti alasan yang bijak dan tumpat.

Saudara orang lama dalam politik dan sudah melalui pelbagai sepak terajangnya. Sekilas ikan di air, saudara tahu jantan betinanya. Tentulah saudara tahu bagaimana hendak berurusan dengan pihak yang memerintah Malaysia kalaupun mereka daripada golongan militan yang saudara takuti itu.

Saudara juga mempunyai reputasi seorang yang bijak, tajam pemikirannya dan berterus terang. Mungkin sebab itu saudara mendapati tidak salah membuat kenyataan bahawa UMNO mungkin kehilangan beberapa kerusi lagi pada pilihan raya akan datang. Mungkin juga beberapa negeri lagi.

Saudara Lee,

Saudara orang Cina, saya orang Melayu. Tapi kita sama-sama orang Timur yang terkenal dengan budi bahasa dan sopan santun. Kita tidak akan menyebut perkara seperti itu dalam keadaan macam mana sekalipun ketika masih berada di rumah tetamu kita.

Apa perasaan saudara kiranya Dr. Mahathir berkunjung ke Singapura dan membuat kenyataan bahawa PAP akan kehilangan beberapa kerusi dalam pilihan raya republik itu?

Di sebuah negara di mana toleransi terhadap pembangkang tidak tinggi, sudah pasti Dr. Mahathir akan dibelasah kiri dan kanan. Beliau akan disuruh balik ke Malaysia dan menjaga tepi kainnya sendiri.

Saudara Lee,

Perjalanan kita masih jauh. Walaupun saudara merasakan sudah berada di hadapan, tidak rugi apa-apa jika saudara menoleh ke belakang sesekali, kalaupun tidak selalu.

Usahlah disebut lagi tentang perang. Janganlah bercakap tentang menyambung sendiri bekalan air yang dihentikan. Usahlah diulang-ulang kenapa Singapura terpaksa melengkapkan diri dengan pesawat canggih dan peralatan perang.

Kita boleh berperang jika itulah yang kita mahu. Tapi di merata-rata tempat yang berperang untuk mencari penyelesaian, negara dan manusia musnah. Saudara lebih tahu. Tentera Amerika yang gagah perkasa pun pernah kalah perang di tangan askar kurus kering berkaki ayam.

Seperti Israel, Singapura merasakan dirinya terhimpit oleh jiran-jiran yang berpotensi bertukar menjadi musuh. Seperti Israel, Singapura merasakan perlu baginya kuat dari segi persenjataan untuk mempertahankan diri. Ini saya faham.

Saudara Lee,

Sekadar peringatan, rakyat Israel tetap hidup dalam ketakutan dan darah terus mengalir di kedua-dua belah pihak walaupun negara itu lengkap persenjataannya kerana dibantu kuasa tunggal dunia.

Seperti saudara sendiri pernah katakan, hanya pemimpin Singapura yang tidak waras akan berperang dengan Malaysia. Dan saya katakan, hanya pemimpin Malaysia yang tidak waras akan menghentikan bekalan air ke Singapura.

Sama-samalah kita berdoa agar negara saudara dan negara saya tidak akan diperintah oleh pemimpin tidak waras.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi