Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Siemens bantu perkhidmatan ERL Malaysia

Oleh:ZULKIFLI JALIL (Yang membuat liputan pelancaran tren pertama Express Rail Link di Austria baru-baru ini)
EXPRESS Rail Link Sdn. Bhd. (ERLSB) dan Siemens dianggap dua penggerak penting kepada kunci kejayaan pelancaran tren laju pertama menghubungkan bandar raya metropolitan Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Walaupun sumbangan TH Technologies Sdn. Bhd. dan YTL Corporation tidak boleh diketepikan dengan pegangan saham dalam projek RM2.4 bilion ini, gabungan ERLSB dan konglomerat dari Jerman ini terbukti menghasilkan perkongsian bijak.

Dalam ucapan sempena pelancaran tren pertama ERL di Vienna, Austria baru-baru ini, Pengerusi Eksekutif ERLSB, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh melahirkan keyakinan terhadap kerjasama kedua-dua syarikat.

``Saya diberitahu bahawa pelancaran tren pertama ini dijadual pada Mei ini tetapi ia berlangsung sebulan lebih awal (April). Ini pencapaian yang membanggakan,'' katanya.

Majlis pelancaran tren ERL pada 25 April lalu yang berlangsung meriah sebenarnya mempunyai simboliknya tersendiri.

Di sebalik itu, ia menyerlahkan keyakinan Siemens terhadap kewibawaan kerajaan memacu pantas ekonomi dan pembangunan negara.

Pengarah Projek, Kewangan dan Pentadbiran Siemens, Bernd Lutkenhoner yang ditemui Utusan berkata, usaha Siemens mendapatkan pinjaman export credit agency dari Jerman untuk membiayai sebahagian daripada kos ERL khususnya bahagian sistem, membuktikan keyakinan syarikatnya terhadap program ekonomi Malaysia.

Ratusan tetamu termasuk para pegawai eksekutif Siemens menunggu penuh debar pada pelancaran yang mempunyai makna besar bukan sahaja pada sistem pengangkutan awam negara, malah masa depan pelaburan Siemens.

Mohd. Nadzmi menyifatkan ERL sebagai mercu tanda yang dituntut pelaksanaannya bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negara.

``Matlamat ERLSB ketika ini ialah untuk menghasilkan perkhidmatan pengangkutan efisien menghubungkan KL-KLIA,'' katanya.

Siemens adalah kontraktor komunikasi utama projek ERL yang dijadual beroperasi sepenuhnya pada April tahun depan.

Konglomerat teknologi dan komunikasi Jerman ini mencatat keuntungan 75 bilion Deuchtmark (DM) tahun lalu, iaitu 10 peratus daripadanya hasil pembinaan rel dari seluruh dunia.

ERLSB pula merupakan pengendali projek ERL sepanjang 57.6 kilometer menghubung KL-KLIA.

Sebanyak dua set tren lagi sedang disiapkan di kilang Siemens di Vienna, dengan dua tren akan digunakan bagi perkhidmatan terus Express KLIA dan satu bagi Transit KLIA iaitu perkhidmatan henti-henti.

Menurut Mohd. Nadzmi, salah satu yang menarik tentang ERL adalah konsepnya menghubungkan terus kereta api ke kapal terbang. Ia kian popular di seluruh dunia.

``Ini bukan satu projek yang berprestij sebaliknya ia untuk kemudahan orang ramai. ERL berfungsi kerana ia didukung oleh projek yang dipercayai dan bukannya projek mega,'' katanya.

Menurut Lutkenhoner, selepas tiga tahun pertama bermula dari April tahun depan, Siemens akan mengkaji sama ada syarikat sekutu ERLSB, Express Rail Link Maintenance Support (EMAS) berkeupayaan mengambil alih pengendalian ERL sepenuhnya.

Di bawah projek turnkey, Siemens bertanggungjawab menentukan pembekalan komponen yang akan digunakan dalam pembinaan landasan dan sistem ERL.

``Walaupun pegangan ekuiti tempatan masih dimiliki oleh TH Technologies Sdn. Bhd. (60 peratus) dan YTL Corporation (40 peratus), projek ini juga melibatkan pinjaman sebanyak 55 juta Deuchtmark daripada konsortium bank di Jerman,'' kata Lutkenhoner.

Mengulas peluang pekerjaan melalui projek ERL, Mohd. Nadzmi memberitahu, selain menawarkan pekerjaan kepada golongan profesional seperti jurutera dan pemandu tren untuk mengendalikan sistemnya yang berkelajuan tinggi, projek ini akan turut membenarkan peruncit melabur di ruang-ruang niaga KL Sentral.

``Kira-kira RM10 juta dijangka diperoleh dari ruang niaga di KL Sentral, iklan di stesen dan di atas tren,'' katanya.

Perolehan, katanya, diyakini mencapai 20 peratus daripada penumpang yang melalui KLIA, iaitu dari Express KLIA sebanyak 10,000 penumpang sehari manakala 8,000 penumpang bagi Transit KLIA.

Jika tiada aral melintang, Ekspres KLIA dijadual berfungsi sepenuhnya pada 19 April 2002. Dengan keupayaan menampung 156 penumpang duduk pada satu-satu masa, ia cuma memerlukan 28 minit ke KLIA dengan kekerapan setiap 15 minit.

Perjalanan Transit KLIA yang dijangka siap pada Jun 2002 pula memakan masa 36 minit pada kekerapan setiap setengah jam dengan kapasiti 540 penumpang.

Kunjungan sekumpulan wartawan Malaysia ke kilang membina baki dua lagi set tren ERL di Vienna mendapati jurutera dan pekerja Siemens sedang bertungkus-lumus menyiapkan kerja mereka.

``Hampir 80 peratus keseluruhan kerja pembinaan ERL termasuk pembinaan landasan, bangunan terminal dan sistem telah disiapkan oleh kontraktor.

``Cuma impian itu akan menjadi kenyataan tahun depan,'' kata Ketua Pegawai Eksekutif ERLSB, Dr. Aminuddin Adnan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum