Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 07 Jun 2001

Dua lagi jana kuasa guna minyak sawit

Oleh:ABU HAKIM TANZIMUDDIN
KUALA LUMPUR 6 Jun - Dua lagi stesen jana kuasa elektrik akan menggunakan minyak sawit mentah (MSM) sebagai bahan bakar untuk penghasilan tenaga bertujuan meningkatkan harga komoditi itu.

Pengerusi Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, pihaknya sedang berurusan dengan anak syarikat TNB, Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) di samping merancang mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Perbekalan Letrik Sarawak (SESCO) bagi tujuan tersebut.

Ketika ini TNB terlibat membakar minyak sawit sebagai sebahagian bahan api bersama disel di sebuah stesen jana kuasanya di Pulau Pinang setelah harga MSM turun kepada sekitar RM750 setan metrik berbanding melebihi RM2000 setahun pada 1998.

``Rancangan ini akan memakan sedikit masa untuk diselesaikan,'' katanya pada sidang akhbar selepas Naib Presiden (Perancangan Strategik dan Pembangunan Korporat) TNB, Che Zurina Zainul Abidin menyampaikan taklimat kepada media mengenai penyusunan semula dan hala tuju industri bekalan elektrik Malaysia.

Dalam usaha menambah penggunaan MSM bagi meningkatkan harganya, kerajaan telah menyokong dengan tawaran harga yang lebih rendah daripada harga pasaran bagi MSM kepada TNB melalui Projek Diesel MSM sebagai sumber bahan api di loji jana kuasa, yang dijangka akan menggunakan kira-kira 500,000 tan metrik MSM setiap tahun.

Jamaluddin juga berkata, TNB akan menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang diubahsuai dengan tiga syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) iaitu Malakoff, Power Tech dan Sepang Power akhir bulan ini atau selewat-lewatnya bulan depan.

Menurut beliau, perjanjian itu diubahsuai berdasarkan keperluan semasa di mana pertumbuhan permintaan terhadap bekalan tenaga dijangka lebih rendah dari unjuran sebelum ini disebabkan kesan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Permintaan bekalan elektrik dalam suasana sekarang dijangka mencatat pertumbuhan pada kadar 6.5 peratus berbanding unjuran sebelum ini antara lapan hingga 10 peratus.

Mengulas mengenai hala tuju industri bekalan tenaga Malaysia pula Jamaluddin berkata, kerajaan pada dasarnya menyokong pendapat TNB bahawa model pasaran terurus (Managed Market Model - M3) merupakan yang terbaik untuk dipraktikkan di negara ini.

Beliau berkata, M3 dilihat sebagai model terbaik berbanding model perkongsian penjanaan sebagai mengambil iktibar daripada fenomena yang melanda industri bekalan tenaga di California, AS dan banyak tempat lain di seluruh dunia.

Pembukaan pasaran penjanaan tenaga kepada persaingan bebas tanpa kawalan di California telah menyaksikan tiga syarikat utiliti di situ terjejas teruk termasuk sebuah yang jatuh muflis selepas terpaksa membeli tenaga pada harga yang tinggi dari syarikat-syarikat IPP.

Ia juga menyaksikan salah sebuah syarikat utiliti itu dibenarkan menaikkan harga untuk membolehkannya menampung kos di mana ini telah menyebabkan kenaikan tarif antara 50 hingga 200 peratus kepada para pengguna di samping menyebabkan kerap berlaku gangguan bekalan elektrik.

Menurut Jamaluddin, kos paling besar iaitu melebihi 50 peratus dalam industri elektrik ialah dalam kerja-kerja penjanaan berbanding transmisi dan pengagihan di mana faktor ini memerlukan TNB kekal dalam penjanaan tenaga pada kadar 60 peratus manakala 40 peratus lagi oleh IPP.

``M3 merupakan model terbaik yang berupaya mengekalkan tarif yang stabil, menggalakkan peningkatan kecekapan dan persaingan serta mengawal risiko,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum