Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 08 Jun 2001

Kerajaan sasar tambah pakar onkologi

KUALA LUMPUR 7 Jun - Kementerian Kesihatan meletakkan matlamat untuk mencapai nisbah seorang pakar onkologi klinikal bagi setiap 600,000 penduduk menerima rawatan kanser di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Chua Jui Meng berkata, usaha giat sedang dilakukan termasuk menghantar 10 pakar onkologi tempatan menjalani latihan subkepakaran bagi perkhidmatan merangkumi rawatan radioterapi dan kimoterapi di luar negara menjelang akhir tahun ini.

Ini adalah kerana, katanya, bilangan pakar onkologi tempatan masih tidak mencukupi bagi memberi rawatan kepada pesakit kanser yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

``Negara hanya mempunyai 28 orang pakar onkologi klinikal di seluruh negara dengan nisbah seorang pakar bagi setiap 793,000 penduduk.

``Daripada jumlah itu, hospital kerajaan memiliki satu pertiga daripada jumlah pakar onkologi klinikal manakala selebihnya adalah dari pusat rawatan swasta,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengiringi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah yang mengadakan lawatan ke Jabatan Radioterapi dan Onkologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Tuanku Siti Aishah turut menyampaikan sumbangan peribadi sejumlah RM10,000 kepada pengurusan HKL yang diwakili Pengarahnya, Dr. Abdul Razak Kechik.

Perangkaan Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL tahun lalu sahaja mencatat sebanyak 20,000 pesakit kanser menjalani rawatan di HKL.

Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL menjadi pusat rujukan rawatan kanser kini menambah tiga buah mesin iaitu pemecut `linear', `simulator' dan `Computerised Treatment Planner' bernilai RM10 juta.

Dalam perkembangan lain, Chua berkata, kementerian turut membeli perkhidmatan rawatan radioterapi daripada empat pusat rawatan swasta memandangkan kemudahan sedia ada di hospital kerajaan tidak dapat menampung keperluan pesakit.

Menurutnya, sejumlah RM11 juta diperuntukkan bagi kontrak perolehan perkhidmatan radioterapi antara kementerian dengan Hospital Mount Miriam Pulau Pinang, Hospital Tung Shin, Pusat Perubatan Mahkota Melaka dan Pusat Perubatan Sabah.

``Menerusi kontrak ini, pesakit kanser yang dirujuk oleh hospital kerajaan akan mendapat rawatan di pusat rawatan swasta dengan harga subsidi,'' katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL, Dr. Gerard Lim berkata, pakar onkologi klinikal tempatan perlu didedahkan dengan latihan sub-kepakaran memandangkan bilangan pakar dalam bidang rawatan radioterapi dan kimoterapi amat berkurangan berbanding Singapura.

Oleh: RAJMAH HASAN SHIRAT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum