Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 03 Jun 2001

Dunia terasa lebih terang - Kaedah pembedahan Lasik CustomEyes

Oleh: NAJIBAH HASSAN
``JIKA saya diberi peluang kali kedua, saya pasti akan memilih Lasik CustomEyes untuk merawat masalah penglihatan yang kabur.

``Ingin saya khabarkan kepada dunia atau sesiapa saja bahawa saya kini boleh melihat tanpa perlu bergantung kepada cermin mata,'' demikian luahan William Ng, yang ditemui sejurus selepas menjalani rawatan laser baru-baru ini.

William, 25, merupakan pesakit pertama di negara ini yang menjalani pembedahan rawatan laser CustomEyes dengan disaksikan wartawan dan jurugambar.

Pembedahan yang hanya mengambil masa setengah jam bagi kedua-dua belah mata diketuai oleh pakar bedah mata terlatih, Dr. Aloysius Joseph Low dan dibantu oleh Pengurus Teknologi Refraktif, Tobias Meythaler.

Menurut eksekutif pemasaran salah sebuah syarikat swasta ini, sukar untuk menggambarkan perasaan gembiranya kerana buat pertama kalinya dia dapat melihat jam dengan jelas tanpa perlu memakai cermin mata.

``Melihat tanpa cermin mata adalah saat yang paling bahagia dalam hidup saya. Kini saya bebas melakukan apa sahaja aktiviti tanpa sekatan atau gangguan daripada cermin mata,'' katanya yang telah menggunakan cermin mata sejak 18 tahun lalu akibat masalah penglihatan.

William menghadapi masalah kabur penglihatan dan tahap astigmatisme yang begitu tinggi.

Keadaan itu menyebabkan dia tidak boleh menggunakan kanta sesentuh, sebaliknya perlu bergantung kepada cermin mata untuk melihat dengan jelas.

Katanya, meskipun dia berasa sedikit gementar pada peringkat awal proses pembedahan bermula, namun semangat dan sokongan daripada doktor dan jururawat di sekeliling akhirnya dapat menghilangkan rasa cemas yang dihadapinya.

``Perasaan saya ketika itu seolah-olah hanya saya seorang berada di tempat asing,'' katanya.

Menurut William, pembedahan yang menggunakan bius setempat itu di mana pesakit dalam keadaan sedar tidak menyebabkan sebarang rasa sakit.

``Cuma saya rasa sedikit gementar dan tekanan apabila kelopak mata dibuka,'' katanya.

Tambahnya, pembedahan bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti penglihatannya itu hanya mengambil masa setengah jam untuk kedua-dua belah matanya.

SEBAHAGIAN besar daripada kita mungkin terpaksa menjalani kehidupan dengan kualiti penglihatan kelas kedua melainkan setelah menggunakan sepasang cermin mata atau kanta sesentuh.

Bagaimanapun, kaedah konvensional ini bagi sesetengah individu menjejaskan penampilan sekali gus mengehadkan mereka membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti lasak mahupun kerjaya tertentu.

Namun, penggunaan kanta sesentuh juga tidak menjanjikan impian untuk `bebas' daripada belenggu ini terutamanya bagi mereka yang menghadapi masalah astigmatisme iaitu permukaan kornea yang tidak rata.

Sehubungan itu, Lasik atau Laser in-situ keratomileusis, iaitu prosedur pancaran laser telah diperkenalkan pada awal 90-an bagi menangani masalah penglihatan seperti masalah rabun dekat, jauh dan astigmatisme.

Prosedur pembedahan yang menggabungkan pancaran laser excimer dan teknik lama yang dikenali sebagai Automated Lamellar Keratoplasty (ALK) ini mempunyai banyak kelebihan untuk memperbaiki dan meningkatkan tahap penglihatan.

Satu lapisan kornea yang nipis akan dipotong menggunakan microkeratome dan dilipat ke tepi bagi membolehkan pancaran laser ditujukan pada bahagian tersebut.

Setelah pancaran laser dilakukan, lapisan kornea ini diletakkan balik ke tempat asalnya dan proses penyembuhan akan berlaku dengan sendiri.

Bagaimanapun, dengan pencapaian dalam bidang Lasik dan penghasilan teknologi terkini, prosedur Lasik ini dipertingkatkan bagi menghasilkan penglihatan yang lebih baik.

Kaedah terkini yang dikenali sebagai Lasik CustomEyes, membolehkan mereka yang menghadapi masalah penglihatan menikmati kelebihannya yang lebih baik daripada prosedur Lasik biasa.

Pengarah dan Pengasas Pusat Laser Mata Lasik, Lim Boon Siong berkata, prosedur pembedahan yang lebih efisyen dan efektif ini meningkatkan kualiti penglihatan terutama pada waktu malam.

Menurut beliau, dengan menggunakan pancaran laser yang hanya mengambil masa 30 minit untuk kedua-dua belah mata, pesakit terbabit dapat mencapai kualiti dan ketajaman penglihatan 20/10.

``Kadar ketajaman 20/10 yang lebih dikenali sebagai supervision ini mampu menandingi ketajaman penglihatan mereka yang mempunyai penglihatan normal,'' jelasnya.

Boon Siong memberitahu, prosedur yang dijamin selamat ini bukan saja dapat meningkatkan mutu penglihatan, malah individu terbabit tidak perlu menggunakan cermin mata selepas rawatan.

``Jika dibandingkan dengan rawatan Lasik biasa, tahap ketajaman penglihatan yang diperoleh mencecah 20/20 dan pesakit masih perlu menggunakan cermin mata tetapi dengan kuasa yang sedikit,'' katanya.

Menurut beliau perbandingan prosedur Lasik CustomEyes dengan Lasik biasa diumpamakan seperti seseorang yang memakai pakaian yang ditempah dengan pakaian siap.

``Biasanya kita lebih selesa memakai pakaian yang ditempah berbanding pakaian yang telah siap dijahit.

``Begitu juga dengan prosedur Lasik CustomEyes kerana selain menggunakan peralatan yang berteknologi tinggi bagi menghasilkan ukuran yang dilakukan ke atas mata lebih tepat,'' katanya.

Boon Siong memberitahu, prosedur yang cukup mudah ini membolehkan pesakit pulang ke rumah selepas menjalani pembedahan.

Tambahnya, kaedah yang pertama seumpamanya diperkenalkan di negara ini dan di rantau Asia Pasifik telah digunakan hampir 60 hingga 70 peratus di seluruh dunia.

Pusat Laser Mata VISTA, merupakan pusat Lasik pertama seumpamanya di negara ini telah ditubuhkan sejak April 1999 oleh dua orang pesakit yang pernah menjalani pembedahan laser.

Bermatlamatkan ingin memberi kualiti dan penjagaan terbaik di negara ini, VISTA merupakan syarikat yang menggunakan teknologi terunggul dalam prosedur membetulkan masalah penglihatan.

CustomEyes pusat penglihatan laser iaitu jenama yang menggabungkan penggunaan zyoptix, iaitu teknologi yang diperkenalkan oleh Baush & Lomb dan Pusat Laser Penglihatan iaitu perintis dan pakar dalam Lasik.

Custom Lasik adalah satu perkembangan terkini dalam membantu menangani masalah penglihatan yang buat julung kalinya potensi penglihatan super.

Seperti ibu jari, setiap individu mempunyai bentuk mata yang unik dan tahap penglihatan berbeza-beza.

Sehubungan itu, Lasik CustomEyes mengembangkan pelan rawatan software secara individu bagi setiap mata.

Menurut Boon Siong, meskipun prosedur dan teknologi yang digunakan adalah yang tercanggih dan terbaik buat masa ini, namun kualiti penglihatan seseorang itu turut dipengaruhi beberapa faktor seperti:

* Kesihatan individu terbabit secara keseluruhan termasuklah diabetes, katarak dan faktor penuaan

* Tindak balas penyembuhan selepas prosedur

* Biologi kanta mata

* Bagaimana otak menerima dan memproses mesej penglihatan

Kelebihan kaedah ini
* Mencapai tahap penglihatan 20/20 atau lebih baik

* Mengurangkan masalah kabur penglihatan pada waktu malam

* Penyembuhan yang lebih cepat

Individu yang layak menjalani prosedur

Lasik
* Berumur sekurang-kurangnya 18 tahun

* Mempunyai penglihatan yang stabil sekurang-kurangnya setahun

* Memiliki ketebalan kornea yang mencukupi

* Mata bebas daripada sebarang kecederaan dan penyakit seperti

masalah mata kering yang teruk, glaukoma atau katarak.

* Mempunyai kesihatan yang baik

* Tidak hamil atau menyusukan anak

Maklumat lanjut mengenai kaedah ini, anda boleh menghubungi talian 03-79543937.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum