Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 09 Jun 2001

Malaysia keluarkan pesawat peninjau tanpa pemandu


NAJIB Tun Razak melihat model pesawat buatan Malaysia, Eagle ARV di Kuala Lumpur, semalam sambil diperhatikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Dr. Chen Lip Keong (kiri) dan Pengarah Urusan Pemasaran BAE, Charles Masefield. - Gambar ASWAD YAHYA.

KUALA LUMPUR 8 Jun - Malaysia bakal mencatat sejarah dalam industri aeroangkasa melalui pembuatan pesawat peninjau udara tanpa pemandu yang dijangka mempamerkan keupayaannya pada pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Oktober ini.

Pesawat itu yang dikenali sebagai Eagle Airborne Reconnaissance Vehicle (ARV), dibina oleh Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) secara usaha sama dengan British Aerospace Systems (BAE).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembuatan pesawat itu mencipta sejarah kerana keseluruhan komponennya menggunakan bahan tempatan.

Katanya, kos keseluruhan bagi sistem yang mengandungi tiga pesawat Eagle serta Pusat Kawalan di darat itu ialah RM47 juta.

``Ia membuka peluang peningkatan keupayaan pengawasan manakala eksport ke luar negara amat cerah berdasarkan maklum balas awal yang kita terima,'' katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Najib menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pertahanan dengan CTRM dan CTRM dengan BAE.

Kementerian diwakili oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Hashim Meon, CTRM oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Chen Lip Keong dan BAE oleh Pengarah Urusan Pemasarannya, Charles Masefield.

Eagle ARV boleh dikendalikan oleh juruterbang atau tanpa juruterbang dengan keupayaan terbang selama 10 jam.

Ia juga dilengkapi dengan kamera inframerah dan boleh terbang pada ketinggian 5,200 meter.

Selain itu, kelajuannya boleh mencapai 125 knot sejam dengan jarak sejauh 250 kilometer serta sukar dikesan oleh radar kerana rangkanya dibuat daripada bahan komposit.

Najib berkata, selain kegunaan ketenteraan, pesawat itu mampu membuat pengawasan di kawasan pantai negara terutama di Sabah, mengesan kemasukan pendatang asing, pembalakan haram dan pembakaran hutan. Katanya, ketiga-tiga pesawat itu akan digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di lokasi strategik sejurus tamatnya LIMA.

``Jumlah tiga pesawat ini adalah sebagai permulaan, pada masa depan kita akan timbang untuk menambahnya berdasarkan penilaian keupayaan yang kita buat,'' jelasnya.

Sementara itu, Charles berkata, tiada sebarang sekatan dikenakan untuk Malaysia mengeksport pesawat itu ke mana-mana negara lain.

Katanya, penggunaan teknologi ialah dengan nisbah 50:50 antara BAE dan CTRM dengan semua sistem dan reka bentuknya dibuat di negara ini.

``Kita juga memindahkan 100 peratus teknologi dalam projek ini,'' tambahnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum