Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 12 Jun 2001

Telefon awam paling tidak memuaskan

KUALA LUMPUR 11 Jun - Telefon berbayar awam merupakan perkhidmatan telefon yang paling tidak memuaskan hati pengguna di negara ini.

Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie berkata, 98 peratus daripada 2,000 pengguna yang ditinjau pendapat mereka menyatakan isu utama telefon berbayar awam adalah tidak berfungsi dengan cekap.

Keputusan itu diperoleh hasil kajian jururunding pemasaran dan penyelidikan, Taylor Nelson Sofres yang dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Kajian yang melibatkan temu duga bersemuka itu diadakan dari 1 Februari hingga 15 April lalu membabitkan isi rumah berumur 18 tahun ke atas termasuk di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Bagi kemudahan perkhidmatan talian tetap pula, skor kepuasan pengguna adalah 7.4 iaitu tahap yang agak memuaskan, katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan kajian kepuasan pengguna mengenai perkhidmatan berkenaan, di sini, hari ini.

Skor itu ditetapkan mengikut skala satu hingga 10 dengan skala 10 menunjukkan tahap paling baik.

Bagaimanapun, kata Moggie, terdapat beberapa kelemahan yang dipertikaikan oleh pengguna serta perlu dipertingkatkan mutunya.

Bidang-bidang terlibat ialah mempermudahkan lagi proses permohonan serta menjadikannya lebih jelas, di samping mempercepatkan lagi pemasangan dan pembaikan kerosakan.

Beliau berkata, untuk telefon mudah alih pula, skor purata perkhidmatan ialah 7.1 iaitu lebih rendah daripada talian tetap.

Kajian yang sama juga mendapati perkhidmatan Maxis memberikan kepuasan paling tinggi dengan skor 7.39, diikuti TM Touch (7.13), DIGI (6.96) dan Celcom 019 (6.75).

Mengenai televisyen pula, Moggie berkata, skor kepuasan pengguna untuk penyiaran tanpa bayar adalah 7.3 manakala untuk televisyen langganan Astro adalah 7.4.

Dalam masa yang sama, soal kelemahan mutu rangkaian, liputan serta kapasiti terus menjadi isu di kalangan pengguna perkhidmatan tersebut.

Moggie berkata, rangkaian televisyen yang paling memberi kepuasan kepada pengguna ialah TV3 dengan 7.44, diikuti TV1 (7.22), ntv7 (7.20) dan TV2 (6.91).

Tambahnya, rungutan yang paling banyak berhubung siaran televisyen adalah mutu penyiaran serta kandungannya.

Sementara itu, tinjauan ke atas pemilik radio pula mendapati mereka berpuas hati dengan rancangan yang disajikan oleh 16 stesen radio, dengan memberikan purata skor 7.6.

Berdasarkan keputusan kajian, Radio Era memberi kepuasan tertinggi dengan 7.86, diikuti oleh Radio Muzik (7.80), Radio 1 (Bahasa Melayu) (7.56) dan Radio 3 (7.54).

Empat stesen radio lain turut mempunyai skor melebihi 7 iaitu MY FM, HITZ FM, Redifussion dan Radio 5 (Mandarin).

Berhubung perkhidmatan akses Internet pula, jelas Moggie, Jaring memperoleh skor kepuasan 7.4 manakala TM NET (6.62).

Moggie memberitahu, hasil kajian yang sama menunjukkan para pengguna pada amnya berpuas hati dengan mutu perkhidmatan telefon tetap, bergerak, televisyen, radio dan akses Internet yang disediakan.

Katanya, skor purata kepuasan pengguna untuk telekomunikasi tetap, telekomunikasi bergerak, penyiaran televisyen dan radio adalah melebihi 7 manakala skor untuk kepuasan perkhidmatan Internet adalah 6.77.

Sementara itu Moggie berkata, suruhanjaya berkenaan akan menggubal satu sistem penalti sebagai tindakan ke atas pembekal pelbagai perkhidmatan telekomunikasi dan penyiaran yang didapati prestasi perkhidmatannya di bawah tahap yang ditetapkan.

Ini termasuk perkhidmatan telekomunikasi tetap, perkhidmatan telekomunikasi bergerak, perkhidmatan penyiaran televisyen, perkhidmatan penyiaran radio dan perkhidmatan akses Internet.

Suruhanjaya berkenaan akan mengadakan perbincangan dengan kesemua pembekal perkhidmatan terbabit dan sistem ini dijangka diperkenalkan sebelum hujung tahun ini, katanya.

Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum