RENCANA

Utusan Malaysia 03 April 2001

Perpaduan tidak kira parti (Bahagian Satu)

MUKADIMAH:
PERPADUAN Melayu menjadi topik perbincangan paling menarik sejak kebelakangan ini, dan ia merupakan asas kepada perpaduan nasional.

Ada dua peristiwa penting tentang perpaduan sekarang ini. Pertama, pertemuan bersejarah antara UMNO dan Pas untuk membincangkan isu perpaduan Melayu yang masih sedang dirangka

Keduanya, pergaduhan di Kampung Medan, Petaling Jaya baru-baru ini turut dikaitkan dengan longgarnya ikatan perpaduan antara kaum di negara yang berbilang bangsa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan asal Ahli Parlimen Parit Sulong (BN), Datuk Ruhanie Ahmad dan beberapa soalan berbangkit tentang perpaduan Melayu, perpaduan nasional dan pertemuan UMNO-Pas di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Teks ini dipetik daripada hansard Dewan Rakyat yang dipaparkan dalam laman web Parlimen. (www.parlimen.gov.my) - Pengarang.

DATUK Ruhanie Ahmad [Parit Sulong] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada pendapat sesetengah golongan yang mengatakan bahawa perpaduan Melayu adalah kurang penting berbanding perpaduan nasional di Malaysia itu benar. Tidakkah perpaduan Melayu merupakan komponen utama kepada perpaduan nasional?

Perdana Menteri: Perpaduan Melayu yang dimaksudkan oleh UMNO bukanlah perpaduan secara total sehingga mereka tidak boleh ada hubungan ataupun kerjasama dengan orang bukan Melayu sama sekali. Ia juga bukan untuk bermusuh dan menentang atau berperang dengan bukan Melayu. Perpaduan ini hanyalah untuk mempertahankan apa yang sudah pun diiktiraf sebagai hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Negara khususnya disebut dalam Perlembagaan Negara bahawa:

* Orang Melayu iaitu penduduk asal negeri-negeri Melayu mempunyai hak yang istimewa sebagai rakyat Malaysia;

* Bahasa Melayu diiktiraf sebagai Bahasa Kebangsaan Negara Malaysia;

* Agama Islam adalah agama rasmi Malaysia;

* Raja-raja Melayu adalah Raja Berperlembagaan di negeri-negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Perpaduan Melayu hanya diperlukan jika ada cabaran berkenaan empat perkara di atas. Cabaran ini mengancam hak semua orang Melayu sama ada daripada parti UMNO, Pas ataupun lain-lain.

Justeru itu mempertahankannya tidak menguntungkan UMNO daripada segi politik parti. Yang untung ialah semua orang Melayu dan semua mereka patut terlibat dengan pertahanan ini. Tanpa penyertaan Melayu Pas akan ada persepsi bahawa sebenarnya Melayu Pas tidak bersetuju dengan adanya hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan raja-raja Melayu sebagai raja negeri-negeri Melayu.

Jika Pas ternampak rela menggugurkan keempat-empat perkara ini dan Keadilan pula menafikan kemelayuannya, maka sukarlah bagi UMNO sahaja mempertahankan dengan jayanya. Sebab itulah Melayu UMNO dan Melayu Pas harus ketepikan parti dan bersatupadu mempertahankan perkara-perkara yang mengancam kedua-dua Melayu Pas dan UMNO dan lain-lain Melayu.

UMNO tidak menolak perpaduan nasional tetapi mempertahankan hak-hak Melayu, tidak akan menjejaskan perpaduan nasional sebaliknya ia akan kukuhkan lagi perpaduan nasional yang telah tercapai. Buktinya ialah secara umum semua rakyat Malaysia bersatu menentang penyangak mata wang baru-baru ini tanpa mengambil kira kaum ataupun parti. Tetapi jika Melayu Pas mengasingkan diri daripada Melayu UMNO dan Melayu lain, maka perpaduan nasional tidak akan menjadi penuh kerana Melayu Pas tidak menyertainya.

Parti Pas tidak akan terhapus kerana Melayu Pas bersepadu dengan Melayu UMNO hanya dalam mempertahankan hak orang Melayu. Dalam perkara lain Pas boleh terus bermusuh dengan UMNO. Betapa pentingnya perpaduan Melayu telah diperlihatkan semasa perjuangan melawan Malayan Union dan menuntut kemerdekaan. Pada masa itu hampir semua orang Melayu bersatu dalam UMNO dan penjajah terpaksa tunduk kepada tuntutan UMNO.

Jika pada masa itu terdapat perpecahan yang ketara di kalangan orang Melayu seperti sekarang, sudah tentu penjajah tidak akan layan tuntutan orang Melayu dan syarat-syarat yang melindungi orang Melayu mungkin tidak dipersetujui. Tetapi kerana UMNO mewakili hampir semua orang Melayu, iaitu orang Melayu bersatu padu dalam UMNO, segala tuntutan UMNO diterima dan orang Melayu terselamat daripada ancaman bahawa perpaduan Melayu dalam UMNO di waktu itu tidak menjejaskan perpaduan nasional terbukti jelas kerana orang Cina dan India turut menuntut kemerdekaan bersama-sama orang Melayu UMNO serta menerima syarat-syarat yang melindungi hak dan keistimewaan orang Melayu dimaktubkan dalam Perlembagaan.

Perpaduan nasional juga terbukti kerana hak kaum lain juga dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Oleh itu perpaduan Melayu adalah baik bagi Malaysia dan akan menyumbang kepada perpaduan nasional.

Dr. Tan Seng Giaw: Tuan Yang Dipertua, soalan tambahan. Saya memang tertarik dengan jawapan Yang Amat Berhormat yang sudah berfikir dengan sedalam-dalam yang boleh. Cuma saya dapat - semua kaum yang datang hari ini, baik juga dengan kehadiran Yang Amat Berhormat sangat mempesonakan semuanya. [Disampuk] [Tepukan]

Timbalan Yang Dipertua: Ya, teruskan soalan Yang Berhormat.

Dr. Tan Seng Giaw: Soalan memang banyak. Soal perpaduan memang banyak. [Disampuk] Bolehkah Yang Berhormat terangkan kepada negara ini pada suatu ketika Yang Amat Berhormat membangkitkan bangsa Malaysia dengan Wawasan Malaysia memang satu konsep yang diterima oleh semua kaum kerana kita percaya kepada bangsa Malaysia, Malaysia Boleh tetapi dengan hanya pada ketika ini menekankan perpaduan Melayu sahaja.

Apakah akan terjadi sekiranya kaum India pun hendak perpaduan sendiri, kaum Cina pun hendak perpaduan sendiri, kaum Iban dan Kadazan pun berbuat demikian. [Disampuk] Apakah akan terjadi dengan negara ini? Sebab Yang Amat Berhormat, kita boleh nampak sekarang suasana kecuali dengan peristiwa Taman Medan, suasana lebih baik kalau dibandingkan dengan 1957. Banyak perkara, tidak mengenal kaum lagi dan dengan keadaan sedemikian, apakah Yang Amat Berhormat akan buat untuk memastikan konsep bangsa Malaysia itu dapat dikuatkuasakan, dapat diamalkan di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua: Cukup Yang Berhormat.

Perdana Menteri: Tuan Yang Dipertua, kalau kita ingin mendapatkan satu bangsa Malaysia yang tulen, cara yang terbaik ialah dengan cara asimilasi iaitu semua kaum yang bukan Melayu akan diserap menjadi Melayu semua termasuklah mengislamkan mereka, maka dengan itu akan wujudlah bangsa Malaysia tetapi kita lebih liberal di sini. Kita tidak mahu mereka menukar agama mereka, nama mereka, bahasa mereka tetapi dalam soal-soal yang mempunyai kepentingan bersama untuk negara, mereka harus bersatu padu sebagai bangsa Malaysia.

Umpamanya seperti saya sebutkan tadi, semasa kita melawan penyangak mata wang, rakyat Malaysia bersatu padu dengan kerajaan, menyokong, tidak menimbulkan masalah, tidak ada rusuhan di jalan, tidak ada percubaan untuk menggulingkan kerajaan tetapi rakyat Malaysia sebagai bangsa Malaysia menyokong tindakan kerajaan sebab itu kita berjaya. Kalau masing-masing kaum ingin mengadakan perpaduan mereka, tidak jadi masalah kerana perpaduan itu adalah terhad. Terhad untuk menjaga kepentingan kaum itu dalam rundingan-rundingan antara kaum tetapi walaupun mereka bersatu-padu mengikut kaum, termasuk orang Iban sama orang Iban, orang Kadazan sama orang Kadazan, dalam soal negara mereka akan bersatu padu sebagai bangsa Malaysia.

Jadi, keadaan ini tidak menjadi masalah kalau orang Melayu bersatu padu tetapi perpaduan itu seperti saya sebut dalam jawapan saya adalah terhad. Terhad kepada mempertahankan beberapa perkara yang sudah pun ada dalam Perlembagaan negara kita, tidak minta lebih. Kalau kita hendak tuntut supaya orang Cina tidak boleh jadi rakyat Malaysia, mereka mesti terima agama Islam, tukar nama mereka, masuk `jawi' dan sebagainya. [Ketawa]. Itu kita tidak suruh, kita tuntut apa yang sudah menjadi hak pada kita dan tidak menyentuh hak orang lain sebabnya kita tahu bahawa walaupun agama Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dianuti oleh orang lain. Bahasa Malaysia adalah bahasa berasaskan kepada bahasa Melayu tetapi bahasa-bahasa lain boleh diguna sehingga ke sekolah, sehingga ke urusan mereka sendiri.

Kita tidak ada halangan. Kita adalah sebuah negara majmuk yang begitu liberal, lebih liberal daripada Amerika Syarikat [Tepukan]. Umpamanya penduduk Amerika Syarikat terdiri daripada pelbagai kaum tetapi bahasa kebangsaan adalah bahasa Inggeris, bahasa di sekolah, bahasa Inggeris ataupun English Americanlah, tidak boleh ada bahasa lain yang disokong oleh kerajaan. Di sini kerajaan membantu, sekolah Cina kita bantu, sekolah Tamil kita bantu, banyak kegiatan, sehingga kepada bangunan kuil pun kita ada bagi bantuan, gereja pun kita bagi bantuan. Kita lebih liberal daripada kerajaan-kerajaan lain di dunia ini. Kita boleh berbangga dengannya.

Bersambung: Perpaduan tidak kira parti (Bahagian Dua)

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi