RENCANA

Utusan Malaysia 03 April 2001

Perpaduan tidak kira parti (Bahagian Dua)

DATUK Ruhanie Ahmad: Terima kasih, Tuan Yang Dipertua. Kami amat menginsafi akan premis perpaduan Melayu yang telah pun dihuraikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Dalam hal ini saya ingin mendapat penjelasan daripada Yang Amat Berhormat, bagaimanakah apabila telah diwujudkan satu persetujuan untuk mengadakan dialog perpaduan Melayu di antara UMNO dengan Pas, maka pihak Pas pula mengeluarkan beberapa syarat dan meminta perkara ini supaya dilebarkan kepada premis perpaduan nasional. Adakah ini memberi gambaran bahawa seolah-olah Pas ini ditekan oleh kehendak-kehendak bukan Melayu supaya menggagalkan Dialog Perpaduan Melayu itu. Terima kasih.

Perdana Menteri: Tuan Yang Dipertua, saya tidak tahu sama ada Pas ditekan oleh bukan Melayu atau oleh ahli Pas sendiri tetapi syarat-syarat ini sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan perpaduan. Namun UMNO tidak mahu menolak syarat-syarat ini supaya tidak memberi peluang sesiapa menuduh bahawa UMNO tidak ingin kepada perpaduan. Kita ingin perpaduan yang terhad, yang saya nyatakan tadi.

Nasharudin Mat Isa: Terima kasih, Tuan Yang Dipertua dan terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Satu ketika dahulu ketika negeri Kelantan berusaha untuk melaksanakan syariat, hukum-hukum dan undang-undang Islam, satu alasan yang sentiasa diberikan oleh pihak UMNO khasnya adalah undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan di Malaysia atas alasan Malaysia bersikap majmuk...

Timbalan Yang Dipertua: Apa kaitan dengan soalan ini?

Nasharudin Mat Isa: Soalannya ialah, alasan yang diberikan ialah masyarakat majmuk ketika hendak melaksanakan undang-undang Islam, masyarakat majmuk dijadikan alasan tetapi sekarang ini apabila sokongan orang-orang Melayu terhadap UMNO merosot... [Disampuk] tiba-tiba isu yang berkaitan dengan masyarakat majmuk dilupakan, berbincang hanya tentang perpaduan Melayu, berbincang tentang perpecahan Melayu di mana Melayu sebenarnya tidak berpecah, yang berpecah hanyalah Melayu dalam UMNO. [Tepukan]

Timbalan Yang Dipertua: Soalannya Yang Berhormat.

Nasharudin Mat Isa: Saya ingin mendapat penjelasan juga daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bila menyebut soal jawapan tadi menyatakan bahawa UMNO mewakili semua orang Melayu. Apakah autoriti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menyebut perkataan ini kerana jelas...

Timbalan Yang Dipertua: Semua orang Melayu ini semasa menentang Malayan Union. Yang Berhormat mesti pasti.

Nasharudin Mat Isa: ... pilihan raya 1999 baru-baru ini sokongan orang-orang Melayu terhadap UMNO jelas merosot. Pilihan raya yang terakhir di Lunas contohnya, sokongan orang-orang Melayu terhadap UMNO, terhadap Barisan Nasional juga jelas merosot. Jadi, apakah autoritinya mengatakan bahawa UMNO mewakili semua orang Melayu di Malaysia?

Perdana Menteri: Tuan Yang Dipertua, saya tidak pernah berkata bahawa UMNO mewakili semua orang Melayu di Malaysia bahkan semasa kita menentang Malayan Union pun ada juga orang Melayu yang tidak sokong. Dan di waktu kita tuntut kemerdekaan, ada orang Melayu yang kata, orang Melayu tidak boleh buat jarum, jadi oleh kerana itu tidak layak merdeka. Jadi, orang Melayu macam itu ada dalam Pas lah. [Tepukan]

Berkenaan dengan undang-undang Islam, kita tidak pernah berkata bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan di Malaysia. Kita kata undang-undang Islam dilaksanakan mengikut kemampuan sesuatu negara. Kalau kita duduk di dalam sebuah negara yang mana majoriti terdiri daripada bukan Islam, percubaan untuk melaksanakan undang-undang Islam hanya akan menimbulkan masalah dan Islam tidak suruh kita membuat sesuatu yang menimbulkan masalah. Di dalam negara kita, banyak undang-undang Islam telah pun kita laksanakan tetapi Pas sengaja bangkitkan soal hudud ini kerana ingin menimbulkan masalah kepada kerajaan dan menjadikan ini sebagai bahan untuk mereka meraih sokongan bagi mereka.

Sekarang ini mereka berada sebagai kerajaan di negeri Kelantan dan Terengganu, cubalah macam mana dia hendak laksanakan semua undang-undang Islam, [Tepukan] dia pun tidak upaya juga.

Berkenaan dengan sokongan kepada UMNO ini merosot, ia bukan merosot. Sebenarnya kita menang 72 kerusi, dia menang 27 kerusi. [Tepukan] Lebihlah sikit daripada dahulu tetapi hanya kerana mata lebam, bukan kerana apa-apa lain, bukan kerana kebolehan Pas tertentu untuk mendirikan kerajaan yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara. Pi dok tayang mata lebam itu dan kata saya yang pukul si polan-si polan. Kalau ini cara, satu parti yang ingin menjadi pemerintah, saya khuatir apa akan jadi kepada negara kita.

Berkenaan dengan soal kemenangan Pas yang sedikit pada tahun 1999, itu perkara biasa. Dahulu pun sekali Kelantan dan Terengganu dimenangi oleh Pas tetapi akhirnya ia kembali kepada UMNO apabila orang semuanya sedar Pas tidak boleh buat apa-apa yang baik selain daripada memecahbelahkan orang Melayu, hendak sembahyang pun tidak boleh, apa pun tidak boleh. Inilah yang dibawa oleh Pas dan saya yakin bahawa rakyat sudah pun sedar sekarang ini tentang niat ataupun cara-cara dan pendekatan Pas ini yang langsung tidak menyumbang kepada kebahagiaan Islam ataupun umat Islam. Saya yakin mereka akan teruk dalam tahun 2004. [Tepukan]

Datuk Mohamad Aziz: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Tuan Yang Dipertua. Saya bersyukur pada pagi ini dengan jawapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri jelas dan terang [Disorak]. Jelas sejelas-jelasnya. Saya harap jawapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan menjadi panduan kepada seluruh rakyat Malaysia... [Disorak] ... kerana jelas dan terang bahawa UMNO lah pendukung utama kepada perpaduan Melayu [Tepukan]. Dan dengan perpaduan Melayu itu juga akan menjadi teras yang utama kepada perpaduan negara.

Timbalan Yang Dipertua: Ya, apa soalannya Yang Berhormat.

Datuk Mohamad Aziz: Tetapi saranan yang suci ini telah cuba dipolitikkan oleh setengah-setengah pihak kerana kepentingan politik. Saya hendak tanya soalan, apa tindakan kita seterusnya dalam menghadapi taktik-taktik kotor parti-parti politik khasnya Pas yang begitu takbur pada hari ini. Sebenarnya takbur ini akan membunuh Pas pada tahun 2004. [Tepukan] Apa saranan-saranan yang boleh dimainkan oleh rakyat dalam mengetepikan segala putar belit Pas dalam hal perpaduan Melayu dan perpaduan negara. Terima kasih.

Perdana Menteri: Tuan Yang Dipertua, kita percaya kepada sistem demokrasi tetapi kita juga percaya kepada pemerintahan mengikut undang-undang. Kalau mana-mana pihak menyalahi undang-undang maka tindakan akan diambil tetapi kita tidak akan mengambil tindakan undang-undang dengan sewenang-wenang. Kita akan memberi peluang kepada mereka untuk membetulkan diri mereka.

Apabila mereka melakukan kesalahan terutama kesalahan seperti menuduh orang UMNO ini kafir, membuat kenyataan dan amanat dan sebagainya yang tidak hendak ditarik balik. Kononnya tidak boleh ditarik balik kerana ini adalah pendapat seorang ulama.

Kalau dia hendak buat macam itu, kita akan terangkan betapa mereka telah menyeleweng daripada memegang kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Sebenarnya mereka memperalatkan Islam untuk mengelirukan dan menggagalkan pegangan orang Islam kepada ajaran Islam yang sebenar.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi