RENCANA

Utusan Malaysia 03 April 2001

Sikap wajar pada Pokemon

POKEMON adalah produk terbaru yang menjadi kegilaan kanak-kanak di seluruh dunia. Sebelum ini banyak produk yang promosi terancang dan giat dibuat menerusi siri program TV atau filem di pawagam. Tentu banyak yang masih ingat dengan siri Superman, Batman atau Power Rangers. Apa sebenarnya yang dijual menerusi jenama-jenama ini? Siri TV atau produk yang meminjam jenama siri TV?

Arab Saudi telah mengambil keputusan mudah dengan mengharamkan siri animasi Pokemon dan produk yang berjenama Pokemon. Siri ini dikatakan membawa pengaruh Zionisme yang bertentangan dengan Islam. Sementara pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) sedang mengkaji.

Siri Pokemon dan produk berjenama Pokemon telah menjadi sebahagian daripada nilai dan bahan yang membesarkan kanak-kanak di negara ini. Pengaruh dan populariti Pokemon sebenarnya bukan saja kepada siri TV tetapi produk yang rapat dengan kanak-kanak. Kalau dilihat penerbit Pokemon bukanlah mahu mencatatkan keuntungan dengan menerbitkan siri TV. Tetapi mahu menjadikan siri TV sebagai pemangkin untuk menjual produk lain yang berjenama Pokemon.

Banyak kalangan kita sering bercakap tentang globalisasi atau dasar langit terbuka dalam bidang teknologi maklumat. Tetapi pada masa yang sama banyak juga kalangan kita cepat gelabah dan mengambil tindakan mudah apabila berhadapan dengan isu seperti Pokemon ini. Mengharamkan apa sahaja yang dianggap bertentangan dengan nilai kita adalah tindakan mudah.

Maknanya tindakan itu mudah dibuat tetapi bukanlah jalan penyelesaian yang konkrit untuk mendepani hal yang serupa yang akan menyerang khalayak kita pada masa akan datang. Kali ini kita boleh mengharamkan Pokemon. Maka haramkan satu siri yang menjadi kegemaran kanak-kanak di negara ini.

Bagaimana kalau selepas ini ada berpuluh lagi siri seumpama Pokemon yang disiarkan di TV tempatan? Adakah kita akan mengambil tindakan yang sama? Birokrasi perlu mengambil pendekatan lain dan sikap lebih banyak `mempertahan' daripada `menyerang balas' sudah tidak sesuai lagi dengan serangan globalisasi.

Kerajaan yang kaya raya seperti Arab Saudi seharusnya tidak mengambil pendekatan semudah itu menangani serangan globalisasi media. Sebaliknya perlu menyerang balas dengan menghasilkan produk yang lebih kuat tarikannya kepada kanak-kanak. Tidak cukup dengan itu, mereka juga perlu mengkaji bagaimana pengedar dan penerbit Pokemon menjana promosi hingga menjadi sebuah jenama yang paling berpengaruh.

Memanglah kerja begini tidak mudah. Tetapi ini juga membuktikan bahawa untuk menangani isu seperti Pokemon sebenarnya tidak semudah mengambil tindakan mengharamkan. Siapa saja boleh mengharamkan Pokemon tetapi pada masa yang sama memberikan sepuluh alternatif lain untuk mengalih perhatian khalayak sasaran siri ini.

Tetapi yang selalu menjadi tradisi dalam kerja-kerja mengharamkan pengaruh luar adalah dengan mengharamkan. Dari segi keprihatinan, memanglah kelihatan pihak-pihak tertentu mengambil berat masalah sosial yang melanda rakyat. Tetapi menunjukkan prihatin saja belum cukup untuk memastikan pengaruh itu dapat diatasi dengan jayanya.

Sebenarnya banyak yang tidak terkejut kalau Jakim atau LPFM mengambil tindakan seperti pihak berkuasa di Arab Saudi. Tetapi untuk meletakkan diri realistik dengan cabaran zaman, selain mengharamkan kita juga perlu mengalih tumpuan dengan menghasilkan sesuatu yang bukan saja lebih bermoral malah lebih bermutu.

Kalau kita mampu menghasilkan sesuatu yang lebih baik dan pendekatan yang mampu menarik kanak-kanak, tanpa tindakan mengharamkan sekalipun kanak-kanak sudah tidak berselera kerana mereka mempunyai alternatif untuk menonton siri lain yang diterbitkan oleh kita sendiri.

Ada kalangan yang realistik dengan penjajahan media Barat bertanya, cuba namakan tiga program TV popular di seluruh dunia diterbitkan oleh syarikat Islam? Kalau tidak boleh namakan tiga, satu contoh pun cukuplah.

Tetapi satu contoh pun tidak boleh diberi kerana penjajahan media lebih pantas dilakukan oleh Barat yang dianggap Yahudi atau penyebar Zionisme. Kerana itu negara yang menganggap Zionisme sebagai pencabul kemanusiaan sejagat, eloklah memikirkan pendekatan untuk menyerang kembali dan bukan sekadar mempertahankan diri. Tentunya yang penting jangan fikir mudah terhadap sesuatu yang sebenarnya tidak mudah. Apabila anak saya bertanya, salahkah menonton Pokemon? Saya hanya menjawab, tontonlah sehingga kita mampu membuat Pokemon sendiri.

E-mel:kuseman@pc.jaring.my

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi